Sabtu, 23 March 2024 | 10:47am

Kanser prostat serang lelaki muda

Kanser prostat iaitu kanser yang menjadi pembunuh senyap, lazimnya dihidapi lelaki berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun, kini seawal usia 30-an dan 40-an turut berisiko menghidapinya.

Lebih membimbangkan, jika kanser itu gagal dikesan dan dirawat awal boleh menyebabkan masalah kesuburan.

Pakar Perunding Kanan Onkologi dan Radioterapi, Pusat Kanser dan Radiosurgeri, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin, berkata kanser prostat kini bukan lagi penyakit 'orang tua' kerana terbukti yang berusia 30-an sudah mendapat kanser ketiga tertinggi dalam kalangan lelaki.

"Prostat adalah kelenjar berada di bawah pundi kencing. Kanser prostat berbeza dengan bengkak prostat kebiasaannya berlaku di kalangan mereka sudah berusia.

"Bengkak prostat antara masalah biasa mereka berusia 60 tahun ke atas yang menyebabkan pesakit kencing tidak lawas dan sebagainya," katanya.

Kanser berpunca daripada kelenjar prostat dan jika tidak dikesan awal, ia boleh melarat dan merebak, selain menyebabkan masalah kesuburan serta sakit mengadakan hubungan intim dengan pasangan.

"Kanser juga boleh merebak ke organ lain seperti tulang, hati, paru-paru dan menyebabkan simptom kanser prostat peringkat empat," katanya.

Masalah itu berkait dengan fungsi hormon lelaki iaitu testosterone.

Katanya, hormon itu dihasilkan oleh buah zakar manakala kelenjar prostat pula membantu dalam penghasilan air mani.

"Dalam kesuburan ini ada beberapa faktor iaitu pertama, hormon daripada buah zakar yang juga menghasilkan sperma.

"Kedua, air mani daripada prostat dan ketiga fungsi zakar untuk melakukan hubungan.

"Namun, jika salah satu daripada ketiga-tiga faktor ini terjejas akan menyebabkan seseorang mengalami masalah kesuburan," katanya.

Ini kerana kanser prostat boleh menjejaskan faktor itu seperti menjejaskan penghasilan air mani dan fungsi zakar.

"Tidak dapat dielakkan faktor umur meningkat juga boleh menjadi punca hormon berkurang daripada buah zakar.

"Ini bermakna kanser prostat bukan punca utama masalah kesuburan tetapi faktor usia juga mainkan peranan.

"Rawatan kanser prostat boleh memberi kesan tahap kesuburan lelaki terutama apabila ia gagal dikesan di peringkat awal.

"Justeru, penting mengesan kanser awal kerana untuk memulihkan kanser dan masalah kesuburan," katanya.

Rawatan kanser prostat

Beliau berkata, antara rawatan kanser prostat adalah rawatan hormon bagi mengurangkan hormon testosterone.

Hormon itu walaupun penting untuk fungsi kesuburan menghasilkan sperma dalam testis dan keinginan seksual juga merangsang kanser prostat.

"Walaupun hormon dari testis, tetapi ia merangsang kanser prostat sebab itu rawatan bertujuan menyekat atau mengurangkan hormon testis itu.

"Ada rawatan jenis suntikan dan ubat oral pil terkini untuk rawatan kanser bagi menyekat kesan hormon testis ini kepada kelenjar prostat yang ada kanser itu," katanya.

Sebelum ini rawatan pembedahan dilakukan bagi membuang kelenjar prostat yang mempunyai kanser.

Namun, ada kesan sampingan selepas pembedahan termasuk sukar mengawal fungsi kencing (incontinence), mengadakan hubungan kerana zakar tidak lagi berfungsi dan sebagainya.

"Kini ada rawatan teknologi tinggi radioterapi yang boleh memelihara organ prostat daripada perlu dibuang, tanpa memerlukan pembedahan dan menyembuhkan kanser dan kurang kesan sampingan," katanya.

Pesakit yang masih muda dan masih mementingkan tahap kesuburan, rawatan kesuburan terutama dalam mengembalikan fungsi zakar juga boleh dilakukan.

Pesakit boleh berbincang dengan pakar mengenai pilihan dari segi rawatan kesuburan sebelum membuat rawatan kanser prostat.

"Antara rawatan kesuburan yang boleh dilakukan termasuk memakan ubat seperti Viagra untuk mengembalikan fungsi zakar yang ada masalah mati pucuk dan juga menerusi bank sperma jika berhasrat mendapatkan zuriat lagi.

"Usaha ini boleh membantu mengembalikan kualiti hidup pesakit selepas pulih daripada rawatan radioterapi kanser prostat," katanya.

Beliau berkata, jika rawatan lewat dilakukan, kanser itu dapat memberi kesan seperti fungsi prostat akan terjejas, sakit ketika melakukan hubungan dan juga boleh menjejaskan fungsi salur kencing di zakar.

Selain itu katanya, kanser yang sudah merebak juga boleh menyebabkan kencing berdarah, sakit, merebak pada organ lain seperti tulang.

Malah katanya, kanser itu juga boleh mengakibatkan gejala serius yang lain seperti sakit bahagian pinggang dan tulang belakang yang boleh membawa pada kelumpuhan, hilang selera makan, berat badan berkurang dan juga akhirnya boleh membawa maut.

Justeru katanya, penting untuk membuat ujian saringan iaitu ujian darah antigen spesifik prostat (PSA) seawal usia 50 tahun yang mudah dilakukan dan dapat membantu mengesan kanser prostat sebelum ada sebarang gejala.

Katanya, jika bacaan ujian darah itu yang lebih 4 ng/mL dan semakin meningkat jika diulang, ada kemungkinan ia adalah kanser prostat dan akan dirujuk kepada pakar urologi untuk membuat biopsi bagi mendiagnosa kanser itu seterusnya melakukan rawatan radioterapi.

"Ujian PSA ini boleh dilakukan di mana-mana pusat perubatan apabila menjalani ujian saringan kesihatan dan digalakkan dilakukan secara berkala iaitu sekali dalam setahun.

"Bagi mereka yang sudah mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser ini, mereka digalakkan menjalani ujian saringan seawal usia 40 tahun untuk pengesanan awal," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data oleh Registri Kanser Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semakin ramai pesakit kanser prostat tampil ketika sudah berada pada tahap empat iaitu tahap akhir yang selalunya membawa maut.

"Ini kerana kesedaran kanser prostat masih rendah.

"Malah lebih membimbangkan ramai pesakit mendapatkan rawatan alternatif di luar hospital yang tidak berkesan sehingga kanser prostat semakin teruk dan melarat ke tahap empat," katanya.

Beliau berkata, data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Global Canser Observatory (GLOBOCAN) menjangkakan kes kanser di Malaysia termasuk kanser prostat akan terus meningkat dalam tempoh 10 sehingga 20 tahun akan datang.

Malah, data itu turut menunjukkan semakin ramai lelaki berusia kurang daripada usia 50 tahun dijangka terkesan dengan kanser prostat.

Berita Harian X