Selasa, 19 March 2024 | 8:22am
Kuatkan sistem imun menerusi pemakanan. - Foto hiasan
Kuatkan sistem imun menerusi pemakanan. - Foto hiasan

Kerap selesema, sistem imun rendah amalkan 4 petua ini

APABILA memikirkan sistem imun, kita lazimnya membayangkan peranannya menentang selesema atau melawan jangkitan.

Pada hakikatnya, terdapat hubung kait secara langsung antara sistem imun dan pemakanan.

Sistem imun antara bentuk pertahanan paling berkesan menentang jangkitan virus.

Terdapat dua kategori fungsi imun dalam badan setiap orang – keimunan semula jadi yang mencegah penyakit daripada memasuki badan, dan keimunan boleh suai yang membasmi atau mencegah pertumbuhan patogen seperti virus dan bakteria dalam badan.

Pengerusi Institut Herbalife, David Heber, berkata mereka yang kekurangan zat makanan, sistem imun mereka akan terjejas.

Katanya, dalam kalangan individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti pula sistem imun ini menjadi hiperaktif dan menyebabkan keradangan.

Hakikat ini amat membimbangkan memandangkan data daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS): Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 mendedahkan kira-kira satu daripada tiga rakyat Malaysia diklasifikasikan sebagai mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, disebabkan gaya hidup tidak aktif dan corak pemakanan yang kurang sihat.

David Heber.
David Heber.

Sementara itu, penemuan NHMS 2019 mendapati bahawa 50.1 peratus daripada orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Bagaimana pemakanan memberi kesan terhadap sistem imun badan

Sesungguhnya terdapat hubungan yang jelas antara sistem imun dan pemakanan.

Apa yang kita makan, di mana kita tinggal, berapa lama kita tidur, cara kita bersenam dan malah siapa teman kita hidup, semuanya disebabkan oleh tindak balas kimia yang boleh mengubah status kesihatan.

Satu lagi penentu tambahan ialah kandungan mikrobiom, yang terdiri daripada mikroorganisma yang kita perlukan untuk melindungi diri daripada kuman, menguraikan makanan untuk menghasilkan tenaga dan menguatkan sistem imun.

Bahagian sistem imun yang paling besar – iaitu kira-kira 70 peratus daripadanya – terletak berhampiran usus dan memantau pengambilan makanan dan cara badan menggunakannya.

Memandangkan hakikat ini, kita perlu menikmati diet yang seimbang dengan vitamin, mineral, dan nutrien yang sewajarnya sambil mengekalkan gaya hidup sihat.

4 petua meningkatkan nutiren yang membantu menguatkan sistem imun

Diet seimbang bermakna kita perlu mendapatkan khasiat pemakanan optimum yang bermanfaat di peringkat sel. Pastikan makanan anda mengandungi nutrien berikut yang secukupnya:

1. Rangkumkan protein dalam pemakanan harian anda

Protein yang juga dikenali sebagai blok binaan asas badan, membolehkan badan untuk menghasilkan antibodi yang diperlukan untuk mempertahankan diri daripada virus dan bakteria.

Untuk memastikan kita mempunyai protein secukupnya dalam diet, kita boleh menikmati lebih banyak makanan protein sihat seperti ikan, ayam, daging tanpa lemak, makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe dan juga produk tenusu rendah lemak.

2. Menggabungkan vitamin dan fitonutrien

Vitamin A dan C dan juga fitonutrien adalah unsur penting dalam kesihatan sistem imun. Sebagai salah satu penggalak sistem imun yang paling penting, Vitamin C menggalakkan badan untuk menghasilkan antibodi yang melawan penyakit.

Kita perlu mengambil Vitamin C setiap hari kerana badan tidak menghasilkan atau menyimpan vitamin ini. Vitamin A pula menyokong kesihatan kulit, tisu, saluran penghadaman dan sistem pernafasan.

Fitonutrien, yang didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan tekanan pengoksidaan badan, yang berpotensi melemahkan keupayaan kita melawan penyakit.

Beberapa fitonutrien didapati mengurangkan risiko kanser dan penyakit kardiovaskular, menentang keradangan, mengurangkan tekanan darah, dan meningkatkan kesihatan sistem imun secara keseluruhan.

3. Memberi tumpuan terhadap kesihatan usus dengan probiotik dan prebiotik

Sistem penghadaman memainkan peranan penting untuk menyokong sistem imun.

Saluran usus ialah laluan utama yang berhubung dengan persekitaran luar dan mengandungi mikrobiom yang membantu penghadaman dan juga penyerapan nutrien.

Bakteria usus yang sewajarnya dikaitkan dengan manfaat seperti penurunan berat, sistem penghadaman lebih baik, kulit lebih sihat dan paling penting, fungsi imun yang lebih kuat, walaupun kajian dalam bidang ini belum lagi muktamad atau diguna pakai secara umum.

Kajian mendapati bahawa probiotik, yang merupakan "bakteria baik", berguna untuk menyenggarakan sistem penghadaman, manakala prebiotik – jenis serat yang tidak boleh dihadamkan oleh badan manusia – menjadi makanan bagi probiotik ini.

4. Meningkatkan asid lemak omega-3

Asid lemak Omega-3 seperti DHA dan EPA, adalah lemak asas yang sihat dan diperlukan, yang boleh didapati dalam makanan seperti makanan laut, biji rami dan biji chia dan suplemen seperti minyak ikan.

Asid lemak Omega-3 mampu menguatkan fungsi sel imun, yang memainkan peranan penting dalam sistem imun semula jadi dan boleh suai yang bertindak balas terhadap jangkitan.

Mengikuti garis panduan kesihatan umum – iaitu diet seimbang dan senaman yang kerap – menjadi benteng pertahanan pertama anda dalam usaha memastikan sistem imun anda kuat dan sihat secara semula jadi.

Berita Harian X