Isnin, 18 March 2024 | 11:09am
Hadkan penggunaan kurang daripada sejam penggunaan fon kepala bagi mengelak mencegah risiko kehilangan pendengaran. - Foto hiasan
Hadkan penggunaan kurang daripada sejam penggunaan fon kepala bagi mengelak mencegah risiko kehilangan pendengaran. - Foto hiasan

Peranti peribadi punca kanak-kanak, remaja pekak

PENGGUNAAN peranti peribadi seperti telefon pintar, tablet dan fon kepala secara meluas terutama kanak-kanak dan golongan belia meningkatkan risiko hilang pendengaran akibat bunyi hingar (NIHL).

Ibu bapa mungkin tidak sedar mendedahkan kanak-kanak kepada penggunaan fon kepala selama lebih daripada 80 minit membuatkan mereka 4.7 kali lebih berisiko mengalami kehilangan pendengaran berbanding mereka yang menggunakannya selama kurang daripada 80  minit sehari.

Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan menetapkan had masa kepada 30 minit

hingga satu jam sebagai tempoh masa penggunaan fon kepala yang dibenarkan untuk kanak-kanak bagi membantu mencegah risiko kehilangan pendengaran jenis ini.

Kajian terbaharu di Amerika Syarikat mendapati 17 peratus remaja hari ini menunjukkan tanda-tanda NIHL.

Kira-kira 1.1 bilion remaja dan belia di seluruh dunia mengalami NIHL terutama akibat penggunaan fon kepala dan peranti pemain muzik.

Pakar Perunding ENT Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Priatharisiny Velayutham, berkata terdapat dua jenis kehilangan pendengaran, iaitu konduktif dan sensorineural.

Dr Priatharisiny Velayutham
Dr Priatharisiny Velayutham

Kehilangan pendengaran konduktif biasanya terjadi disebabkan penyakit yang menjejaskan telinga seperti pengumpulan cecair tahi telinga dan boleh dirawat.

Kehilangan pendengaran sensorineural menjejaskan sel-sel saraf biasanya berlaku disebabkan terdedah bunyi kuat.

Sifatnya kekal, bilateral membabitkan kedua-dua belah telinga dan tidak dapat dipulihkan. Ini termasuk kehilangan pendengaran akibat bunyi hingar kerana sering terdedah kepada bunyi berfrekuensi tinggi daripada peranti peribadi, konsert dan sumber lain.

Punca pekak

Pendedahan berterusan boleh merosakkan sel saraf di telinga dalam sekali gus menyebabkan hilang pendengaran.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO), kira-kira 466 juta individu di seluruh dunia mengalami hilang upaya pendengaran pada 2020.

Ini dijangka meningkat kepada hampir dua kali ganda menjelang 2050. Dapatan paling membimbangkan ialah sehingga 60 peratus daripada kes itu boleh dicegah.

"Sebelum ini, kehilangan pendengaran akibat hingar sering dikaitkan dengan pendedahan kepada bunyi industri perkilangan.

"Bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan peranti peribadi seperti telefon pintar dan fon kepala, masalah kehilangan pendengaran akibat hingar menjadi semakin lazim dalam kalangan kanak-kanak dan belia.

"Lebih teruk lagi, kehilangan pendengaran jenis ini bersifat kekal dan tidak dapat dipulihkan," katanya.

Tanda awal hilang pendengaran

Tanda dan simptom awal kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak selalunya berlaku tanpa disedari, namun terdapat beberapa tanda awal perlu diambil perhatian ibu bapa.

"Petanda biasa ialah jika kanak-kanak kerap menonton televisyen atau menggunakan peranti elektronik lain pada kelantangan yang tinggi, mereka juga mungkin menghadapi cabaran di sekolah, seperti sukar mengikuti arahan atau ketinggalan dalam akademik serta pertumbuhan kosa kata yang terbantut.

"Lambat bertutur dan berbahasa juga boleh menjadi tanda amaran ketara kerana kanak-kanak mungkin menghadapi masalah mengungkapkan perkataan atau memahami percakapan orang lain.

"Ramai ibu bapa barangkali tidak menyedari punca kemungkinan kehilangan pendengaran akibat hingar, jadi mustahak melakukan ujian pendengaran dan berjumpa doktor pakar atau pediatrik," katanya.

Dr Priatharisiny berkata, apabila bercakap mengenai kehilangan pendengaran akibat bunyi hingar, kunci utama ialah pencegahan.

Ibu bapa berperanan penting memantau penggunaan peranti peribadi dalam kalangan kanak-kanak dan mengehadkan pendedahan kepada bunyi yang kuat.

Sebaiknya rehatkan pendengaran antara sesi dan pertimbangkan penggunaan penyumbat telinga atau peralatan perlindungan bunyi untuk kanak-kanak dalam persekitaran bising seperti konsert.

Dr Priatharisiny menyuarakan salah satu fahaman yang biasa iaitu, semakin kurang pendedahan semakin baik.

Kepentingan saringan awal, pengesanan

Beliau menekankan kepentingan intervensi awal dan pemeriksaan pendengaran yang kerap.

Menangguh terlalu lama untuk menangani masalah kehilangan pendengaran boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.

Malah, ramai individu kehilangan sehingga 50 peratus pendengaran pada masa mereka mendapatkan bantuan atau berjumpa pakar.

Rawatan pendengaran

Dari segi rawatan, Dr Priatharisiny berpendapat pilihan rawatan yang paling umum yang ada ialah alat bantuan pendengaran untuk masalah kehilangan pendengaran sederhana hingga teruk, dan implan koklea bagi kes kehilangan pendengaran yang lebih teruk.

Beliau menambah, alat bantu pendengaran membantu menguatkan bunyi dan membantu mereka mendengar dengan lebih baik.

Namun, ia memerlukan sedikit waktu penyesuaian dengan pakar audiologi.

Disebabkan amplifikasi bunyi, memakainya lebih kerap dapat membantu otak menyesuaikan diri dengan alat bantuan pendengaran dengan lebih baik.

Peranan ibu bapa cegah jadi pekak

Dr Priatharisiny berkongsi beberapa nasihat untuk ibu bapa membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko kehilangan pendengaran akibat hingar, antaranya:

● Mengehadkan penggunaan peranti peribadi pada awal usia seperti penggunaan fon kepala

● Menyemai tabiat yang sihat serta menekankan elemen kualiti berbanding kuantiti dalam penggunaan peranti.

● Galakkan aktiviti seperti membaca dan mendengar buku atau cerita beraudio berbanding video atau skrin televisyen yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak. Ini kerana pengecaman pertuturan melalui bunyi dikaitkan dengan keupayaan kognitif, iaitu memori untuk bekerja dan tempoh masa membaca menjadi lebih berkesan daripada ukuran keupayaan umum.

● Galakkan masa tanpa peranti peribadi terutama waktu makan atau meluangkan masa bersama dapat membantu memupuk interaksi yang bermakna dan mengurangkan pergantungan pada skrin dan peranti.

● Intervensi awal dan pemeriksaan biasa penting untuk segera mengesan dan menangani isu pendengaran bagi memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi muda.

Berita Harian X