Ahad, 17 March 2024 | 9:14am
Pesakit buah pinggang kronik tak digalakkan puasa. - Foto fail NSTP
Pesakit buah pinggang kronik tak digalakkan puasa. - Foto fail NSTP

Pesakit buah pinggang kronik tak digalakkan puasa

PESAKIT buah pinggang kronik terutama yang sedang menjalani rawatan hemodialisis, tidak digalakkan berpuasa.

Ini kerana jika mereka juga ada penyakit kronik lain seperti diabetes, ia dibimbangi boleh menyebabkan komplikasi kepada organ dalaman, selain berisiko tinggi mendapat penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar.

Mereka yang menghidap penyakit kronik boleh mengancam nyawa dan tidak diwajibkan berpuasa.

Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan, Unit Nefrologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozita Mohd, ada garis panduan untuk berpuasa yang khusus kepada pesakit diabetes yang mana diabetes adalah penyebab utama kerosakan buah pinggang kronik di Malaysia.

"Mengikut garis panduan ini, pesakit diabetes menghidapi kerosakan buah pinggang kronik tahap ke empat, lima dan yang menjalani rawatan dialisis tergolong berisiko sangat tinggi dan tidak boleh berpuasa.

"Jika pesakit masih ingin puasa, mereka perlu dapatkan nasihat doktor yang merawat untuk mengelakkan risiko itu," katanya.

Namun pesakit digalakkan mengambil peluang berpuasa sebelum ketibaan bulan Ramadan untuk mengetahui ketahanan badan mereka ketika berpuasa.

"Bagi pesakit dialisis, jika ingin berpuasa, boleh mencuba berpuasa pada hari tidak menjalani dialisis. Jika mampu boleh cuba berpuasa.

Apabila rawatan hemodialisis ketika berpuasa, pesakit diabetes berisiko mendapat hipoglisemia kerana rawatan itu selama empat jam dan merendahkan paras gula di dalam badan.

Selain itu, insulin dos perlu dilaraskan ketika rawatan dialisis untuk semua pesakit diabetes mengguna insulin mengikut keperluannya.

"Mungkin sebelum memulakan hemodialisis dos insulin diperlukan tinggi tetapi apabila kerosakan buah pinggang di peringkat akhir, keperluan insulin semakin berkurangan," katanya.

Jika paras garam terutama garam potassium perlu dipantau dan tahap dehidrasi kerana boleh memudaratkan pesakit.

Rawatan pesakit buah pinggang

Bagi pesakit buah pinggang kronik yang belum menjalani rawatan dialisis juga membimbangkan kerana kebanyakan mereka turut mempunyai penyakit diabetes yang memerlukan persediaan awal jika mahu berpuasa.

"Selain insulin, ubat-ubatan diabetes yang lain yang berbentuk pil juga perlu dilaraskan pesakit diabetes yang berpuasa.

"Ini kerana ada sesetengah ubat diabetes yang akan menyebabkan risiko hypoglisemia jika diambil ketika sahur kerana kebanyakan ubat diabetes diproses oleh buah pinggang.

"Jadi kebanyakan ubat penyakit kencing manis dihapuskan melalui buah pinggang, ia tidak boleh dimakan kerana bila buah pinggang tidak lagi berfungsi ia akan menyebabkan kesan ubat itu berlebihan di dalam badan," katanya.

Mengenai pesakit buah pinggang kronik yang mempunyai penyakit diabetes, Dr Rozita berkata, risiko pesakit berkenaan juga tinggi.

Berpuasa memerlukan seseorang itu tidak makan makanan atau ubat-ubatan serta tidak minum untuk tempoh 13 atau 14 jam sehari di Malaysia dan sekali gus boleh merosakkan organ dalaman.

"Apabila pesakit berpuasa, mereka perlu menahan lapar dan dahaga yang akan memberi kesan kepada paras gula jika tidak makan.

"Jika tidak minum akan menyebabkan kekurangan air atau dehidrasi. Jadi dua perkara ini boleh memberi impak apabila mereka berpuasa," katanya.

Prof Madya Dr Rozita Mohd.
Prof Madya Dr Rozita Mohd.

Faedah berpuasa sangat banyak termasuk dapat mengurangkan kalori, berat badan, kencing manis, tekanan darah dan tahap kolesterol.

Golongan berisiko mendapat hipoglisemia iaitu paras gula dalam darah yang rendah kerana berlapar.

"Ini kerana pengambilan jumlah makanan diambil ketika bersahur tidak seimbang atau sedikit menyebabkan penurunan paras gula dengan ketara.

"Mereka juga berisiko mendapat hiperglisemia iaitu kenaikan paras gula yang tinggi atau tidak terkawal kerana pesakit mungkin mengambil jumlah makanan yang berlebihan di bulan

"Ramadan berikutan kerisauan berlakunya hipoglisemia dan juga disebabkan tindak balas badan yang berlaku ketika berlapar," katanya.

Selain itu katanya, apabila air di dalam badan berkurangan sehingga tahap dehidrasi, boleh mengakibatkan penurunan tekanan darah yang menyebabkan tahap kerosakan buah pinggang merosot secara akut.

Bagaimanapun Dr Rozita berkata, kajian mendapati bahawa kira- kira 72 sehingga 85 peratus pesakit diabetes walaupun mempunyai risiko masih berkeras untuk berpuasa.

Justeru katanya, pesakit diminta melakukan pemantauan kendiri kandungan glukos secara berkala, mendapatkan penyeliaan perubatan dan perlu berbuka sekiranya mengalami hipoglisemia atau hiperglasemia.

"Jika pesakit diabetes yang sudah mempunyai masalah buah pinggang kronik di tahap ke empat dan lima, mereka ini dikategorikan sebagai berisiko sangat tinggi dan amat tidak digalakkan untuk berpuasa.

"Sekiranya berpuasa sunat sebelum Ramadan, pesakit akan tahu bagaimana cara melaraskan insulin, ubat dan pemakanan supaya gula terkawal, mengelak mengalami mengalami hipoglisemia atau hiperglasemia.

Katanya, jika mereka mahu berpuasa, doktor yang merawat akan melakukan modifikasi kepada dos insulin at u ubat makan semasa bersahur dan berbuka.

"Jika sebelum itu insulin diambil tiga kali sehari tetapi jika berpuasa boleh diambil dua kali sahaja iaitu pada waktu bersahur dan berbuka.

"Dos pula perlu dikurangkan kerana pada hari biasa, jarak waktu makan daripada sarapan pagi ke makan tengahari dan makan malam kebanyakannya adalah lima hingga enam jam dan apabila berpuasa jarak bersahur dan berbuka adalah sehingga 14 jam.

"Jadi hanya pada waktu berbuka sahaja dos insulin sama seperti sebelum Ramadan. Namun insulin yang biasa di gunakan perlu dicucuk 20 sehingga 30 minit sebelum makan.

"Oleh kerana pesakit berlapar untuk tempoh yang lama semasa berpuasa, pesakit disarankan hanya menyucuk insulin selepas azan berkumandang" katanya.

Jelas beliau dos ketika sahur pula perlu dikurangkan sebanyak 30 sehingga 50 peratus daripada dos asal selain pesakit diabetes turut disarankan untuk melewatkan sahur dan tidak melengahkan waktu berbuka.

Mereka perlu memantau pesakit supaya tekanan darah tidak terlalu rendah kerana ia akan membahayakan pesakit.

Dr Rozita berkata, rawatan hemodialisis bertujuan membersihkan bahan kumuh yang berlebihan di dalam darah, menstabilkan asid, garam galian serta menarik lebihan air dalam badan.

Oleh itu katanya, jika pesakit berpuasa sudah pasti mereka tidak minum jadi memerlukan pelarasan pengeluaran air daripada badan oleh doktor.

Berita Harian X