Khamis, 14 March 2024 | 2:03pm
 Pesakit buah pinggang tahap empat, V. Thilaga, 46, (kanan) menerima cenderahati daripada kakitangan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun. - Foto BERNAMA
Pesakit buah pinggang tahap empat, V. Thilaga, 46, (kanan) menerima cenderahati daripada kakitangan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun. - Foto BERNAMA

Kerap sakit kepala, sesak nafas tanda buah pinggang tahap kritikal - pesakit

Oleh Bernama

SERING sakit kepala dan sesak nafas beberapa tahun lalu antara gejala dialami seorang guru tuisyen sebelum ibu kepada seorang anak itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.

V Thilaga, 46, berkata pemeriksaan yang dilakukan di sebuah klinik menyatakan ia keadaan normal namun pemeriksaan lanjut yang dijalankan disebabkan sakit berterusan termasuk ketika haid membawa kepada penemuan penyakit itu pada Januari 2021.

"Pada mulanya saya tidak percaya dan enggan mendapatkan rawatan dialisis untuk mencuci buah pinggang, namun anggota keluarga yang kebanyakannya adalah doktor menasihati saya supaya berbuat demikian kerana keadaan saya semakin teruk, susah bernafas dan buah pinggang semakin mengecut.

"Selepas melihat anak perempuan saya yang masih kecil iaitu berusia tujuh tahun, saya nekad menjalani rawatan dialisis dan mengubah tanggapan supaya kembali sihat serta menjaga pemakanan dan minum kerana anak dan ramai pelajar yang perlukan saya," katanya ketika ditemui di Pusat Hemodialisis, Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH), Ipoh, Perak, semalam.

Beberapa pesakit buah pinggang di PCSH didekati bagi mendapatkan kisah perjalanan hidup yang terpaksa diharungi mereka selepas disahkan mengidap penyakit itu, selaras dengan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac tahun ini dengan tema 'Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua'.

Thilaga yang tinggal di Chemor, berkata sehingga kini beliau menjalani rawatan dialisis darah di hospital itu tiga kali seminggu dengan kos dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan terpaksa mengawal pemakanan dengan tidak mengambil makanan yang mengandungi fosfat dan potassium yang tinggi.

Katanya, beliau hanya menunggu giliran untuk mendapatkan pemindahan buah pinggang supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pakar Nefrologi dan Perubatan, Dr Ng Yong Muh ditemuramah semalam di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun. - Foto BERNAMA
Pakar Nefrologi dan Perubatan, Dr Ng Yong Muh ditemuramah semalam di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun. - Foto BERNAMA

Pakar Nefrologi dan Perubatan, Dr Ng Yong Muh, berkata mereka yang mempunyai risiko seperti kencing manis, darah tinggi, kegemukan dan ahli keluarga mempunyai risiko penyakit buah pinggang disaran membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala menerusi ujian air kencing bagi mengesan penyakit itu di peringkat awal.

"Pesakit biasanya tidak mengalami gejala pada peringkat awal, kalau ada pun mereka alami petanda seperti kaki bengkak dan kencing berbuih serta berdarah.

Jadi jika pesakit dapat mengesan dari peringkat awal, mereka boleh mengawal punca penyakit itu supaya buah pinggang tidak merosot hingga tahap kritikal yang akan menyebabkan mereka perlu menjalani dialisis air dan darah," katanya.

Rawatan sakit buah pinggang

Beliau berkata, rawatan terbaik bagi pesakit buah pinggang adalah pemindahan buah pinggang, namun kebanyakan mereka terpaksa menunggu giliran bagi mendapatkan penderma organ menyebabkan kira-kira 80 orang pesakit di PCSH ketika ini terpaksa menjalani dialisis air di rumah setiap hari, dan dialisis darah di hospital itu dua hingga tiga kali seminggu.

Menurutnya kebanyakan pesakit di PCSH yang mengalami kerosakan buah pinggang tahap kritikal terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Penderma buah pinggang pun tidak ramai berbanding jumlah pesakit yang ramai, jadi mereka perlu melakukan dialisis supaya badan sihat sementara menunggu pemindahan organ, kalau tidak badan tidak dapat bertahan dan tempoh hayat menjadi pendek disebabkan racun tinggi dan sesak nafas," katanya.

Pesakit, Zulkifli Mohammad, 66, berkata sering makan ubat tahan sakit disebabkan gout dipercayai punca beliau menghadapi kerosakan buah pinggang sejak lapan tahun lalu.

"Kalau dahulu saya suka makan durian dan air manis seperti bergas tetapi sekarang saya tidak dapat lagi menikmati semua itu, makan pun sudah kurang," katanya.

Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Pekan Razaki itu, berkata beliau juga tidak dapat aktif bersukan dalam badminton selepas mengalami kerosakan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis darah tiga kali seminggu di hospital itu dengan dibiaya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. - BERNAMA

Berita Harian X