Rabu, 28 Februari 2024 | 8:43am
 Dua jenis penyakit radang usus, iaitu ulcerative colitis dan Crohn’s disease berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat.- Foto hiasan.
Dua jenis penyakit radang usus, iaitu ulcerative colitis dan Crohn’s disease berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat.- Foto hiasan.

Radang usus bertukar kanser

CIRIT-BIRIT berpanjangan dan keadaan perut kurang selesa sehingga tiga atau empat minggu antara gejala penyakit radang usus yang perlu mendapatkan rawatan segera.

Ini kerana, gejala itu seakan-akan sama dengan penyakit lain seperti jangkitan kuman, keracunan makanan, penyakit gastrik berpanjangan dan menyebabkan banyak kes gagal mendapat rawatan yang sewajarnya.

Penyakit radang usus gagal dirawat lebih awal, boleh menyebabkan komplikasi seperti kanser usus.

Ini kerana inflamasi atau radang berpanjangan berpotensi menukar sel-sel itu kepada kanser usus, namun jika dikesan awal dan dirawat penyakit itu boleh pulih.

Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata radang usus penyakit menyebabkan keradangan dinding usus atau saluran pencernaan dan penghadaman.

Dr Raja Affendi Raja Ali.
Dr Raja Affendi Raja Ali.

Ada dua jenis penyakit radang usus, iaitu ulcerative colitis dan Crohn's disease.

"Boleh berlaku kepada seawal umur bayi sehingga yang berusia. Biasanya berlaku babitkan usia 15 sehingga 40 tahun dan 60 sehingga 80 tahun," katanya.

Punca radang usus

Punca utama radang usus masih tidak diketahui, namun faktor pertama dikaitkan adalah persekitaran seperti gaya hidup tidak sihat, merokok dan pengambilan antibiotik berlebihan, stres berpanjangan, pengambilan makanan pro radang, tinggi gula dan berlemak.

Faktor kedua, gentik dan jumlahnya kecil di Malaysia.

"Faktor ketiga, sistem imun tidak dapat di kawal (autoimun) di dalam badan, manakala faktor keempat; akibat mikroorganisma tidak baik berlebihan berada dalam usus.

"Semua faktor ini menyebabkan keradangan berlaku secara perlahan-lahan di dinding usus dan menyebabkan berlaku banyak gejala lain," katanya.

Komplikasi terlalu lama, radang semakin banyak boleh bertukar menjadi kanser usus dan jadi masalah besar. - Foto hiasan.
Komplikasi terlalu lama, radang semakin banyak boleh bertukar menjadi kanser usus dan jadi masalah besar. - Foto hiasan.

Simptom radang usus

Selain cirit-birit dan ketidakselesaan pada perut, simptom lain ialah hilang selera makan, sembelit dan berat badan turun mendadak.

Simptom itu sama seperti jangkitan kuman atau keracunan makanan sekali gus menyebabkan lambat dikesan, selain pesakit diberikan rawatan ubat salah.

"Tahap kesedaran bagi radang usus masih lagi rendah sebab itu ramai pesakit gagal dirawat lebih awal.

"Disebabkan jangkitan kuman lebih biasa dijumpai, ia ada kalanya tidak cakna dan disedari.

"Kajian pasukan penyelidik kumpulan Gut kami, turut mendapati ada kes pesakit mengambil masa sehingga lima tahun untuk diagnosis.

"Apabila sudah diagnosis, rupa-rupanya luka sudah banyak dan menyebabkan ramai pesakit terpaksa menjalani pembedahan terus kerana penyakit sudah tahap teruk," katanya.

Dr Raja Affendi berkata, walaupun penyakit itu bukan kanser, komplikasi terlalu lama, radang semakin banyak boleh bertukar menjadi kanser usus dan jadi masalah besar.

Jika individu hidap hidap radang usus ketika berusia 20 tahun, selepas 20 tahun kemudian dia berisiko lima peratus mendapat kanser usus.

"Kanser masih boleh berlaku berikutan keradangan masih berlaku kerana salah satu punca utama kanser adalah keradangan.

"Proses keradangan menyumbang hampir 15 sehingga 20 peratus kanser. Radang boleh sembuh jika rawatan awal, kesedaran tinggi dan mendapat ubat betul," katanya.

Simptom lain termasuk murung, sakit sendi berpanjangan, sakit belakang, mata merah, kulit terlalu kering dan ulser.

Simptom di luar radang usus seperti itu turut mempunyai kaitan dan berkait rapat dengan radang usus.

Rawatan radang usus

Ada dua jenis rawatan iaitu, ubat konvensional dan pembedahan memotong usus.

Terkini, ada rawatan ubat yang dikenali sebagai 'biologics and small molecules' dan rawatan awal mampu menyembuhkan penyakit.

Ubatan terkini terbukti dapat mengurangkan kadar pembedahan untuk pesakit menghidap radang usus.

Namun katanya, jika pengambilan ubat sahaja tidak berkesan menyembuhkan penyakit, kaedah pembedahan perlu dilakukan, iaitu memotong usus yang mempunyai radang dan kemudian akan disambung semula.

"Bagaimanapun, pembedahan pemotongan usus tidak menjamin radang usus pulih sepenuhnya kerana lazimnya akan kembali selepas satu atau dua tahun dan mungkin perlu pembedahan lagi.

"Namun, pengambilan ubatan 'biologics dan small molecules' mampu mengelakkan pesakit daripada pembedahan seterusnya," katanya.

Justeru, dirawat awal dapat mengelak pembedahan dan lebih teruk

Katanya, jika ada cirit-birit dan sakit perut berpanjangan, pesakit perlu terus berjumpa pakar untuk proses kolonoskopi, iaitu memasukkan tiub ke dalam saluran usus diambil sampel biopsi bagi tujuan diagnosis penyakit.

"Apabila pesakit ke klinik biasa, dibimbangi hanya dianggap itu jangkitan bakteria atau kuman jadi mereka akan salah diberi ubat dan rawatan.

"Ini yang menyebabkan ramai pesakit gagal didiagnosis awal dan lambat mendapat rawatan yang sewajarnya," katanya.

Ditanya akan keadaan penyakit radang usus di Malaysia, katanya, kajian pasukan penyelidik kumpulan Gut mereka, dalam tempoh 20 tahun, mendapati jumlah penyakit semakin meningkat setiap tahun.

Hasil kajian juga mendapati lelaki berusia 15 sehingga 40 tahun lebih ramai mendapat penyakit itu, terutama India, kini meningkat dalam kalangan Melayu dan Cina.

"Cepat dirawat, dapat kurangkan kos yang tinggi, kualiti kehidupan lebih baik, tidak selalu cuti sakit dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X