Isnin, 26 Februari 2024 | 11:47am
Peringkat awal kehamilan boleh membawa kepada jangkitan kongenital kepada bayi baru lahir. - Foto hiasan
Peringkat awal kehamilan boleh membawa kepada jangkitan kongenital kepada bayi baru lahir. - Foto hiasan

Jangkitan ketika hamil boleh bahayakan janin, bayi baharu dilahirkan

KEHAMILAN perjalanan yang luar biasa, namun ia membawa cabaran tersendiri terutama dalam memberi kesan kepada sistem imun wanita dan menjadikannya lebih terdedah kepada jangkitan.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Tan Gaik Imm, berkata ibu mengandung perlu mengelak daripada jangkitan ketika hamil kerana ia boleh menyebabkan gejala lebih teruk dan berpotensi membahayakan janin atau bayi yang baru lahir.

Beliau berkata, jangkitan yang didapati semasa kehamilan boleh menjejaskan pertumbuhan janin yang sihat, menyebabkan kelahiran pramatang, malah mengakibatkan keguguran.

"Selain itu, jika ibu mengandung mengalami jangkitan terutama pada peringkat awal kehamilan, ia boleh membawa kepada jangkitan kongenital tertentu kepada bayi baru lahir, termasuk masalah pada mata, pendengaran, perkembangan otak dan jantung serta jangkitan kulit," katanya dalam kenyataan sempena Bulan Pencegahan Jangkitan Pranatal Antarabangsa yang disambut pada Februari setiap tahun.

Rundingan perubatan segera sebaik sahaja mengalami sebarang gejala amat digalakkan kerana menurut Dr Gaik Imm, pengesanan awal membolehkan rawatan diberikan tepat pada masanya dan berpotensi mengelakkan komplikasi yang teruk.

Terdapat pelbagai sumber jangkitan pada wanita hamil termasuk hubungan interpersonal, haiwan, nyamuk, makanan atau aktiviti seksual, dan menambah jangkitan biasa dialami semasa mengandung merangkumi influenza, difteria, pertusis, sitomegalovirus, rubela, varicella zoster, tetanus, toksoplasmosis dan Listeria.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan ketika kehamilan, beliau menyarankan wanita mematuhi amalan kebersihan yang ketat seperti mencuci tangan dengan kerap, khususnya selepas menggunakan tandas, menukar lampin, mengendalikan haiwan atau menyediakan makanan.

Wanita hamil juga perlu mengelak berkongsi makanan, minuman atau peralatan makan dengan orang lain dan memastikan vaksinasi mereka sentiasa terkini.

Pengubahsuaian gaya hidup berperanan penting dalam pencegahan jangkitan ketika mengandung, termasuk vaksinasi terhadap jangkitan tertentu, penyesuaian pemakanan, amalan kebersihan, perjalanan yang berwaspada dan mengamalkan seks selamat.

Dr Gaik Imm juga menekankan kepentingan vaksinasi dalam mencegah jangkitan serius, menyarankan vaksinasi terkini bagi melindungi diri daripada penyakit campak, beguk, rubela, cacar air dan hepatitis B, melainkan imuniti daripada jangkitan terdahulu sudah terbukti.

"Mendapatkan vaksin dapat mencegah jangkitan serius tertentu. Wanita perlu menerima vaksin terhadap campak, beguk, rubela, cacar air dan hepatitis B, kecuali mereka sudah mempunyai sistem imuniti daripada jangkitan serius sebelum hamil," katanya.

Awasi kawasan ada jangkitan

Bakal ibu juga dinasihatkan mengelak perjalanan ke kawasan dikesan mempunyai penyakit berjangkit dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga, memakai baju berlengan panjang dan berada di dalam rumah pada waktu senja.

Walaupun melancong ketika hamil secara amnya selamat, ibu serta bapa harus berhati-hati apabila mengunjungi kawasan yang mempunyai jangkitan meluas seperti denggi dan malaria.

"Lazimnya, melancong ketika mengandung adalah selamat, namun perlu amalkan langkah berjaga-jaga jika pergi ke kawasan yang jangkitan di situ agak membimbangkan.

"Jangkitan ini termasuk penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan malaria," katanya.

Bulan Pencegahan Jangkitan Pranatal Antarabangsa ialah usaha di seluruh dunia untuk menggalakkan kesedaran mengenai jangkitan yang ditularkan daripada ibu kepada bayi.

Jangkitan pranatal termasuk penyakit bakteria atau virus yang boleh disebarkan oleh ibu kepada bayi semasa hamil atau proses kelahiran. - BERNAMA

Berita Harian X