Isnin, 19 Februari 2024 | 9:31am
Ibu bapa perlu menyedari kepentingan pemeriksaan mata anak, elak rabun bertambah kronik. - Foto hiasan
Ibu bapa perlu menyedari kepentingan pemeriksaan mata anak, elak rabun bertambah kronik. - Foto hiasan
Tiga jenis, iaitu rabun jauh; rabun dekat dan rabun silau. - Foto hiasan
Tiga jenis, iaitu rabun jauh; rabun dekat dan rabun silau. - Foto hiasan

Tak perlu risau anak kecil pakai cermin mata

SEBAGAI optometris tentu biasa mendengar rungutan daripada ibu bapa yang tidak mahu anak mereka memakai cermin mata.

Namun, tidak dapat dielakkan hasil pemeriksaan mata anak menunjukkan keperluan untuk memakai cermin mata agar dapat melihat dengan jelas.

Justifikasinya, mereka terpaksa menerima anak ada rabun. Secara umumnya, rabun pada kanak-kanak terbahagi kepada tiga jenis, iaitu rabun jauh; rabun dekat dan rabun silau.

Rabun jauh

Rabun jauh atau lebih dikenali sebagai miopia, iaitu rabun yang sering dihadapi oleh kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mengalami rabun jauh akan mengalami kekaburan apabila melihat objek yang jauh.

Bagi rabun dekat

Rabun dekat atau dikenali hiperopia. Rabun jenis ini boleh juga berlaku pada kanak-kanak, namun rabun ini mungkin lebih sukar untuk dikenal pasti dengan mata kasar.

Hal ini kerana mata kanak-kanak mempunyai kebolehan menyesuaikan jarak fokus secara automatik lebih baik berbanding orang dewasa.

Jika kebolehan ini tidak mampu lagi menampung pembetulan jarak fokus, mata akan nampak kabur dekat mahupun jauh.

Bagi rabun silau

Bagi kategori ini, kanak-kanak akan mudah melihat dengan jelas dengan cara mengecilkan mata dan mengiring muka.

Perkara ini terjadi kerana penglihatan rabun silau hanya nampak kabur pada sesetengah sudut. Ini dapat menyebabkan kesilapan penglihatan, terutama pada huruf-huruf yang seakan-akan sama, seperti D dan O atau N dan H.

Rabun adalah masalah penglihatan yang sering berlaku pada kanak-kanak dan boleh dikesan bermula seawal berumur lima tahun.

Peringkat umur ini, kanak-kanak sedang menggunakan potensi penglihatan mereka untuk proses pembelajaran di Tadika.

Kanak-kanak yang rabun mungkin akan ketinggalan dari segi akademik akibat kesulitan untuk melihat dengan jelas lebih-lebih lagi apabila membabitkan aktiviti pengajaran oleh guru di papan tulis.

Oleh itu, guru di peringkat prasekolah dan Tadika juga amat disaran untuk menganjurkan program saringan penglihatan di sekolah mereka bagi mengelak kelewatan memberi bantuan penglihatan seperti cermin mata kepada kanak-kanak yang terjejas penglihatannya.

Tanda-tanda awal rabun

Bagi ibu bapa, tanda-tanda awal rabun boleh dilihat dengan meneliti perilaku yang ada pada anak-anak mereka di rumah.

Kanak-kanak yang rabun mungkin suka melihat objek dengan dekat, sering menggosok-gosok mata dan mengecilkan mata mereka apabila melihat jauh.

Mata kanak-kanak yang rabun juga mungkin menjadi merah dan berair akibat kerap digosok kerana perilaku menggosok mata adalah refleksi kepada kesulitan melihat.

Apabila tanda-tanda ini muncul, langkah pertama yang harus diambil oleh ibu bapa adalah membawa anak mereka berjumpa dengan optometris yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan mata menyeluruh.

Mata malas

Kelewatan memberi pembetulan cermin mata boleh mengakibatkan masalah penglihatan yang lebih teruk seperti ambliopia, iaitu mata malas.

Ambliopia ini terjadi apabila sel-sel saraf otak yang bertanggungjawab untuk melihat tidak berkembang dengan baik oleh sebab kurangnya rangsangan penglihatan yang optimum.

Maka tanpa pengembangan fungsi ini, penglihatan kanak-kanak yang ada mata malas tidak dapat dibetulkan dengan pemakaian cermin mata sahaja tetapi memerlukan bantuan terapi penglihatan.

Terapi penglihatan seperti terapi katup boleh membantu dengan memaksa mata untuk belajar melihat agar rangsangan dapat diberikan kepada sel-sel saraf otak secara khusus.

Justeru, ibu bapa perlu menyedari kepentingan pemeriksaan mata anak-anak mereka untuk mengelak masalah ini berlaku.

Pemeriksaan mata pada kanak-kanak kadangkala amat mencabar kerana terdapat kanak-kanak yang sukar memberi kerjasama yang baik dengan optometris mereka.

Penting buat pemeriksaan mata

Optometris akan menggunakan kemahiran yang ada untuk mendapatkan sekurang-kurangnya bacaan kuasa pembetulan yang diperlukan untuk melihat dengan optimum.

Ada kala pemeriksaan mata dengan ubat titis yang melumpuhkan kebolehan mata memfokus iaitu ubat titis mata sikloplegik diperlukan bagi kes yang mempunyai rabun yang tinggi.

Pemeriksaan mata akan menjadi lebih tepat dengan kaedah seperti ini. Bagaimanapun, kaedah ini juga boleh memberi kesan trauma pada kanak-kanak kerana ubat titis mata ini agak perit sedikit apabila dititis ke dalam mata.

Kerjasama ibu bapa juga amat penting agar pemeriksaan mata dapat dijalani dengan lancar.

Cermin mata bukan penyebab rabun teruk

Pada era ini, masih terdapat juga ibu bapa yang merasakan pemakaian cermin mata menyebabkan rabun semakin teruk pada anak-anak mereka.

Jawapan bagi soalan ini, tidak kerana faktor rabun semakin teruk terutama rabun jauh bergantung kepada pemanjangan bola mata kanak-kanak yang sedang membesar.

Pemakaian cermin mata boleh melambatkan progresi rabun itu dengan mengambil kira faktor jenis kanta yang digunakan, genetik dan persekitaran.

Dengan pembetulan penglihatan, setidaknya anak mereka dapat melihat dengan jelas dan memudahkan anak-anak mereka dalam proses pembelajaran di sekolah.

Oleh itu, janganlah bimbang sekiranya kanak-kanak yang kecil ini perlu memakai cermin mata.

Sebaliknya, bantu mereka untuk tingkatkan potensi mereka dengan memberi bantuan penglihatan yang sememangnya mereka perlukan. Ini tidak lain hanya untuk masa depan mereka.

* Penulis adalah Pegawai Optometri Pusat Pengajian Optometri, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM cawangan Selangor.

Berita Harian X