Khamis, 15 Februari 2024 | 9:25am
Kemunculan 5G mencetuskan kembali kebimbangan risiko radiasi telefon bimbit yang menular sebelum ini. - Foto hiasan
Kemunculan 5G mencetuskan kembali kebimbangan risiko radiasi telefon bimbit yang menular sebelum ini. - Foto hiasan

Benarkan 5G ada ancaman radiasi untuk kesihatan manusia?

KUALA LUMPUR: Sekiranya anda memiliki telefon pintar atau peranti yang sama, anda mungkin menggunakan 5G.

Teknologi 5G ini menyediakan sambungan tanpa wayar berkelajuan tinggi serta meningkatkan kemampuan 4G.

Selain daripada kelajuan sambungan yang lebih tinggi, ia juga membuka penggunaan baharu dalam Internet Benda ( IoT) kerana jalur lebar yang tinggi dan kadar lengahan yang rendah.

Ia juga meningkatkan pencapaian serta menawarkan pelbagai aplikasi baharu yang meluas termasuk memperkukuhkan e-Kesihatan, seperti teleperubatan, pengawasan jarak jauh dan telesurgeri.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan pada 10 Januari lalu, perkhidmatan rangkaian 5G di Malaysia mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 31 Disember 2023.

Bagaimanapun, kemunculan 5G yang menggunakan gelombang udara radio berfrekuensi tinggi mencetuskan kembali kebimbangan risiko radiasi telefon bimbit yang pernah menular sebelum ini.

Sememangnya boleh menjadi cemas jika memikirkan apa yang disalurkan menerusi udara yang kita tidak dapat melihat, terutamanya jika terdapat kebimbangan bahawa 5G mungkin memberi kesan kepada kesejahteraan manusia.

"Sekiranya anda bimbang tentang radiasi elektromagnet yang dikaitkan dengan kanser atau masalah kesihatan lain, apa yang perlu anda lakukan ialah cari semua maklumat untuk anda faham bagaimana 5G berfungsi.

"Hakikatnya, setakat ini, tidak ada sebarang bukti kukuh atau dapatan muktamad yang membuktikan 5G boleh membahayakan kesihatan manusia," kata Prof Emeritus Dr Tharek Abd Rahman dari Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sewaktu majlis taklimat media di My5G Portal Digital Nasional Bhd (DNB) baru-baru ini.

Ancaman kesihatan?

Menurut Tharek, ada yang berpandangan 5G membawa kesan negatif ke atas kehidupan mereka, terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan.

Beliau menjelaskan, dalam spektrum elektromagnet, peranti harian seperti radio, ketuhar mikro, telefon bimbit, alat kawalan jauh dan instrumen ultrasound, mengeluarkan radiasi 'non-ionising' yang tidak memberi sebarang ancaman kepada kesihatan manusia.

"Medan Elektromagnet Frekuensiradio (RF-EMF) dikategorikan di bawah radiasi non-ionising, yang bermakna gelombang elektromagnet tidak membawa kuantum yang mencukupi yang boleh memecah talian antara molekul dan atom ionise, berbanding radiasi ionising.

"Dalam konteks ini, pendedahan kepada radiasi non-ionising akan hanya menyebabkan kesan haba, tetapi tidak cukup kuat untuk menyebabkan kecacatan jangka panjang kepada tisu manusia, sementara radiasi ionising lebih mampu menyebabkan kesan kesihatan akibat proses ionising.

"Beberapa contoh yang dikategorikan sebagai radiasi ionising adalah X-Ray dan cahaya Gamma, yang digunakan untuk tujuan perubatan," katanya.

Beliau berkata, cahaya matahari dengan sinaran ultravioletnya boleh membahayakan kesihatan seseorang berbanding peranti harian atau menara telekomunikasi yang dibina di kawasan kediaman.

"Radiasi matahari adalah ribuan kali lebih kuat daripada radiasi yang dipancarkan oleh peranti berkenaan, yang boleh menyebabkan kanser kulit akibat haba yang memancar terus ke kulit kita," katanya.

Hadkan pendedahan kepada peranti elektronik

Sementara itu, pakar hematologi Pusat Perubatan Sunway, Datuk Dr Chang Kian Meng, menasihatkan orang awam, terutama mereka yang secara konsistennya terdedah kepada radiasi seperti komputer dan peranti elektronik, untuk lebih berhati-hati dan mengehadkan pendedahan itu.

"Saya percaya amalan baik untuk meminimumkan pendedahan kepada kimia dan polutan persekitaran sebagai langkah pencegahan kanser.

"Saya tidak fikir ada hubungan jelas untuk menekankan penggunaan berlebihan telefon bimbit boleh menyebabkan kanser otak atau penggunaan berpanjangan komputer dengan radiasi boleh menyebabkan kanser," katanya.- BERNAMA

Berita Harian X