Isnin, 12 Februari 2024 | 10:29am
Virus 'bertebaran' melalui udara apabila jika mangkuk tandas tidak ditutup selepas dipam.
Virus 'bertebaran' melalui udara apabila jika mangkuk tandas tidak ditutup selepas dipam.

Mangkuk tandas jadi punca 'sarang' penyakit

JARANG dilihat sama ada di rumah atau tempat awam individu menutup mangkuk tandas selepas dipam.

Hakikatnya, tabiat menutup mangkuk tandas mungkin sedikit sebanyak mampu mengekang penularan bakteria dan virus tidak diingini, sekali gus mengekang sebarang penyakit.

Hasil kajian dijalankan oleh beberapa penyelidik dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat untuk mengetahui sama ada tabiat menutup mangkuk tandas selepas dipam, boleh atau tidak mengurangkan pencemaran silang dalam bilik mandi.

Memetik laporan www.thesun.co.uk, tandas boleh menjadi 'sarang' untuk bakteria bawaan udara dan zarah virus 'bertebaran' melalui udara apabila jika mangkuk tandas tidak ditutup selepas dipam.

Oleh itu, pakar percaya dengan mengubah tabiat itu sebelum keluar tandas mampu melindungi pengguna.

Penggunaan pembasmi kuman seperti pembersih mangkuk tandas atau 'blok rim' sebelum pam juga sedikit sebanyak boleh mengurangkan pencemaran silang dengan ketara.

Berdasarkan kajian yang terkandung dalam jurnal bertajuk American Journal of Infection Control, mereka menemukan 'sesuatu' yang menarik.

Kajian dijalankan penyelidik dari Universiti Colorado Boulder menunjukkan tandas boleh bertukar menjadi kotor mahupun persekitaran bilik air terdedah pencemaran selepas ia dipam.

Lampu khas berwarna hijau terang yang dipancarkan ke udara atas mangkuk tandas mendedahkan betapa banyaknya patogen keluar dari tandas selepas dipam.

Patogen merujuk kepada agen yang menyebabkan penyakit terutama organisma seni seperti bakteria dan virus.

Bakteria boleh merebak di udara

Pencemaran berpunca dari mangkuk tandas dalam bilik air boleh merebak menerusi udara, termasuk berpotensi membawa bakteria seperti Escherichia coli (E-coli) atau virus seperti norovirus jika ia dibawa oleh seseorang.

E-coli adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit-birit, demam dan kesakitan abdomen.

Norovirus dianggap sebagai penyebab paling umum dari gastroenteritis akut (penyakit cirit-birit dan muntah) di seluruh dunia.

Tandas yang dimiliki individu yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan sekali pun mungkin tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi bilik air mereka 'tercemar' dengan patogen.

Katy Kremer, menganggap dirinya sebagai 'wanita pembersih' berkongsi penemuan dalam bilik airnya.

Dia menggunakan cahaya hitam untuk menunjukkan air tandas menyembur keluar dari mangkuk tandas dan di atas tempat duduk selepas dipam.

Dia menyifatkan penemuan itu agak menakutkan selepas baru mengetahui pencemaran silang berpunca daripada mangkuk tandas juga boleh 'terkena' peralatan lain yang selalu digunakan.

Ia termasuk boleh mencemari tisu, tikar dan mungkin pada berus gigi.- Agensi

Berita Harian X