Sabtu, 3 Februari 2024 | 8:18am
Simpan ubat cara selamat, betul penting untuk jaga kualiti, keberkesanan ubat. - Foto hiasan
Simpan ubat cara selamat, betul penting untuk jaga kualiti, keberkesanan ubat. - Foto hiasan

Simpan ubat cara selamat

PENGAMBILAN ubat dengan kaedah dan dos yang betul amat penting bagi memastikan tindak balasnya mencapai kesan penyembuhan diinginkan.

Namun, cara penyimpanan ubat yang selamat dan betul juga penting kerana ia dapat memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.

Berikutan cara menyimpan ubat:

1. Simpan ubat di tempat yang selamat dan khas supaya mudah dicari

Menyimpan ubat di tempat yang dikhaskan akan memudahkan pencarian ubat yang diinginkan jika berlaku sebarang kecemasan.

Selain itu, ia juga memudahkan kita untuk mengingati tempat ubat berkenaan disimpan. Cara ini dapat meningkatkan kepatuhan atau disiplin untuk mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan.

2. Simpan ubat secara berasingan mengikut jenis berbeza

Ubat perlu disimpan berasingan seperti ubat makan (seperti tablet dan sirap) dan ubat kegunaan luar (seperti krim, salap dan ubat titis mata).

Mengasingkan ubat-ubatan mengikut jenis ubat dapat membantu mengurangkan kekeliruan.

Mencampur aduk ubat-ubatan yang berlainan jenis boleh menyebabkan kesilapan pengambilan ubat dan juga tindak balas fizikal di antara ubat berkenaan.

Jika ini berlaku dikhuatiri kualiti ubat terjejas, keberkesanannya akan berkurang dan keselamatan pengambilan tidak terjamin sepenuhnya.

3. Simpan ubat mengikut suhu yang disarankan (sila rujuk kepada label bungkusan ubat).

Penyimpanan ubat di tempat yang betul juga boleh mengelakkan kerosakan.

Terdapat beberapa jenis ubat yang memerlukan tempat penyimpanan dengan suhu tertentu.

Jika ubat berkenaan rosak disebabkan kesilapan cara penyimpanan, kualiti ubat akan terganggu, keberkesanan rawatan tidak terjamin dan berkemungkinan mendapat kesan sampingan yang tidak diingini.

4. Simpan ubat dalam bekas asal, jangan tanggalkan label ubat

Setiap ubat dilabelkan pada bekasnya, jangan ditanggalkan kerana ia penting sebagai rujukan mengenai maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan, kaedah penyimpanan dan tarikh luput.

5. Simpan ubat di tempat selamat dicapai kanak-kanak

Menyimpan dan meletakkan ubat jauh daripada kanak-kanak antara cara penyimpanan yang selamat.

Meletakkan ubat di tempat yang tinggi dan bekas berpenutup dapat mengelakkan kanak-kanak daripada termakan ubat yang boleh membahayakan mereka.

Elakkan beberapa perkara ketika menyimpan ubat

  • Jangan simpan ubat di dalam kereta dalam jangka masa lama.

  • Jangan simpan ubat berlainan dalam bekas yang sama dan bercampur aduk.

  • Jangan simpan ubat di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari, suhu tinggi dan kawasan yang lembap seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk atau di dalam bilik mandi.

  • Jangan simpan ubat di dalam peti sejuk kecuali diarahkan berbuat demikian (sila rujuk kepada label bungkusan ubat).

  • Jangan simpan ubat yang sudah tamat tarikh luput, rosak atau hilang labelnya.
Berita Harian X