Selasa, 30 Januari 2024 | 11:46am
Khasiat perubatan rumput sambau atau nama saintifiknya Eluesine indica diiktiraf dan mempunyai sejarah dalam amalan perubatan tradisional di seluruh dunia.
Khasiat perubatan rumput sambau atau nama saintifiknya Eluesine indica diiktiraf dan mempunyai sejarah dalam amalan perubatan tradisional di seluruh dunia.

Khasiat rumput sambau sebagai sumber perubatan semula jadi diiktiraf - UPM

KUALA LUMPUR: Khasiat perubatan rumput sambau atau nama saintifiknya Eluesine indica diiktiraf dan mempunyai sejarah dalam amalan perubatan tradisional di seluruh dunia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, rumput ini mudah ditemui di kawasan pertanian seperti kebun sayur-sayuran, tanaman dan juga di tapak semaian kelapa sawit dan ia juga adalah rumpai biasa di sepanjang jalan dan turapan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr Keeren Sundara Rajoo berkata di India, pucuk muda dimakan sebagai sumber makanan berkhasiat manakala akar dan bijinya itu akan dijadikan sebagai ubat tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti asma, demam, dan jangkitan saluran kencing.

"Di Malaysia, rumput sambau tidak dimakan, tetapi khasiat perubatannya diiktiraf. Ianya juga digunakan dalam perubatan tradisional Melayu untuk bersalin, melegakan kesakitan, dan gejala selesema.

"Ilmu tradisional menonjolkan potensi rumput sambau sebagai sumber perubatan semula jadi. Penggunaan ubatan alternatif mendapat permintaan meluas oleh pengamal tradisional di seluruh pelusuk dunia untuk mengurangkan kesakitan dan penyakit," katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman UPM, Dr Norazua Zakaria pula mendedahkan rumput sambau juga digunakan untuk merawat penyakit seperti keradangan dan gangguan berkaitan imun.

"Kajian sebelum ini juga menunjukkan rumput sambau berpotensi mengatasi masalah kekurangan serat hijau sewaktu musim kering yang melanda di Nepal. Perubatan etnoterinar pula mendapati bahawa rumput ini telah digunakan bagi merawat demam pada ruminan.

"Dalam kertas terbitan Makinano pada 2020 melaporkan penggunaan daun tumbuhan dalam pengeluaran biskut. Daripada kajian ini, ia menunjukkan bahawa warna, rasa, aroma, tekstur dan keboleh terimaan umum produk dipengaruhi secara signifikan oleh tahap serbuk daun.

"Namun di Malaysia masih lagi tiada produk komersial yang berjaya dihasilkan dari rumput sambau. Sebagai pengguna anda perlu pastikan bahawa produk yang berasakan rumput sambau itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

UPM turut berkata, kajian menunjukkan rumput sambau kaya dengan pelbagai fitokimia yang bermanfaat, termasuk flavonoid, steroid, dan asid lemak.

"Sebatian ini mempunyai sifat antioksidan, antimikrob dan anti-radang, yang berpotensi menjelaskan keberkesanan tumbuhan dalam merawat beberapa penyakit.

"Penyelidik mencadangkan kandungan flavonoid pada rumput sambau boleh membantu mengurangkan keradangan dan mengurangkan kesakitan bagi menyokong kegunaannya dalam perubatan tradisional," katanya.

Katanya lagi, walaupun banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami rumput sambau sepenuhnya, rumpai sederhana ini boleh dikembangkan menjadi sumber makanan dan ubat semula jadi yang berharga.

"Ladang rumput sambau yang ditanam dapat menyediakan makanan berkhasiat dan ubat semula jadi. Rumput sambau adalah makanan super dan amalan penanaman, kaedah pemprosesan dan penilaian keselamatan memerlukan pertimbangan yang teliti.

"Ianya juga memberi manfaat kepada kesihatan dan ekonomi yang mampan. Khazanah yang paling berharga ini boleh didapati di tempat yang tidak dijangka," katanya.

Berita Harian X