Selasa, 30 Januari 2024 | 7:48am
Berdengkur boleh mengganggu keselesaan orang bersebelahannya. - Foto hiasan
Berdengkur boleh mengganggu keselesaan orang bersebelahannya. - Foto hiasan

Tak tahan bunyi dengkur pasangan di sebelah, ada petua cara atasi

BERDENGKUR menandakan seseorang itu tidur nyenyak, namun jika bunyi kuat dan membingitkan membuatkan siapa bersebelahannya jadi jengkel.

Masalah berdengkur ini bukanlah sejenis sindrom yang berbahaya, cuma ia mengganggu waktu tidur orang lain dan untuk pengetahuan, ia tidak hanya kepada lelaki bahkan wanita juga.

Bagaimana anda boleh mengatasi masalah berdengkur secara semula jadi.

Berikut petuanya:

Tukar posisi tidur

Perhatian kepada anda yang gemar tidur 'terlentang'. Itu sebenarnya adalah posisi paling teruk untuk mereka yang berdengkur.

Oleh itu, tukar posisi tidur anda dengan mengiring ke tepi. Ia akan mengurangkan tekanan ke atas tekak dan lidah kerana geseran antara lidah dan tekak sewaktu telentang itulah sebenarnya sebab utama masalah berdengkur.

Mandi air panas

Kebanyakan kita lebih gemar mandi awal kerana takut diserang paru-paru berair.

Tetapi, apa yang anda tidak tahu, mandi air panas sebelum tidur dapat membuka rongga hidung (saluran pernafasan anda).

Ini kemudian dapat memberi kualiti tidur yang lena tanpa dengkuran kuat kerana saluran hidung yang tersekat menyebabkan seseorang berdengkur.

Elak pembiakan hama di tilam

Serangga mikro yang tidak boleh dilihat dengan penglihatan kasar manusia sebenarnya berkeliaran dan membiak di tempat tidur terutamanya bantal.

Selain penyebab alahan, hama juga menjadi punca masalah berdengkur. Hama akan menyumbat saluran rongga hidung anda.

Lebih teruk, tanpa disedari binatang halus itu merayap di permukaan kulit dan kepala anda.

Bersihkan kipas, bantal

Selalu bersihkan kipas dan bantal sebelum tidur. Jangan lupa tukar sarung bantal dan cadar dua minggu sekali agar kebersihannya terjamin.

Panaskan sarung bantal dan cadar anda di dalam pengering diikuti putaran lembut untuk mematikan sisa kuman dan hama yang melekat.

Jalan mudah, boleh gunakan jalur hidung yang dijual di farmasi dengan harga berpatutan sebagai alat bantuan. Ia pastinya mengurangkan dengkuran ketika tidur.

Berita Harian X