Isnin, 29 Januari 2024 | 8:36am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

5 penyakit bawaan air ketika banjir, jangan ambil remeh

BENCANA banjir banyak kesan buruk termasuk berlaku peningkatan jangkitan penyakit seperti cirit-birit (termasuk taun dan disentri), jangkitan pernafasan, hepatitis A dan E, demam kepialu, leptospirosis serta penyakit bawaan serangga selepas surut.

Kejadian banjir di Malaysia terutama ketika musim tengkujuh memberi ancaman kepada kesihatan awam khususnya bagi negara beriklim tropika.

Ia boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan yang memberi kesan jangka masa panjang.

Pertambahan sampah dan air tercemar yang melimpah masuk ke dalam takungan dan saliran air meningkatkan risiko terjadinya penyakit berjangkit.

Justeru, Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC),

Dr Lim Eu Jack dan Perubatan Kecemasan, hospital sama, Dr Mohd Khalis Abdul Rahim, memberikan penjelasan mengenai masalah kesihatan ketika musim tengkujuh seperti di bawah:

Antara impak banjir terhadap kesihatan termasuk:

Penyakit bawaan air

Merebak melalui air dan makanan tercemar boleh berlaku semasa dan selepas banjir, seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, disentri atau radang pada usus dan keracunan makanan.

Antara gejalanya ialah demam, cirit-birit, muntah dan sakit perut.

1. Leptospirosis

Jangkitan bakteria yang tersebar melalui kontak dengan air kencing haiwan terutama tikus dalam persekitaran selepas banjir.

Gejalanya termasuk demam, sakit kepala, sakit otot dan ada kala loya, muntah dan sakit perut.

2. Demam denggi

Disebarkan oleh nyamuk Aedes, meningkat dengan ketara selepas banjir disebabkan oleh pertambahan air bertakung yang menjadi tempat pembiakannya, serta hujan yang berlebihan semasa musim tengkujuh.

Ia boleh menyebabkan gejala yang teruk seperti demam panas, sakit kepala, sakit otot dan sendi, dan mungkin loya, muntah dan cirit-birit.

3. Malaria

Penyakit bawaan nyamuk yang disebabkan oleh parasit Plasmodium, terutamanya disebarkan melalui gigitan nyamuk tiruk (Anopheles) betina yang dijangkiti.

Penyakit ini lebih berleluasa di kawasan tropika tempat nyamuk ini berkembang biak. Ketika musim tengkujuh yang sinonim dengan hujan lebat dan suhu yang lebih panas, pembiakan nyamuk juga bertambah sehingga meningkatkan risiko penularan malaria.

4. Jangkitan saluran pernafasan

Kebimbangan yang utama selepas banjir kerana persekitaran yang sesak dan pemakanan yang tidak sihat, serta kemudahan penjagaan kesihatan yang terhad menyumbang kepada peningkatan risiko.

5. Dehidrasi

Menjadi kebimbangan kesihatan, terutama di daerah yang sering terjadi bencana alam seperti banjir kerana kekurangan akses terhadap air bersih dapat menyebabkan komplikasi kronik dan parah, bahkan boleh membawa maut.

Dr Khalis berkata, dehidrasi antara masalah kesihatan paling utama ketika banjir kerana akses yang terhad kepada air bersih.

"Sebagai seorang pengamal perubatan, dehidrasi adalah kebimbangan utama bagi golongan yang terjejas akibat banjir, terutama mereka yang menderita penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan dan cirit-birit.

"Golongan rentan termasuk kanak-kanak, bayi serta warga emas, berisiko lebih tinggi disebabkan badan mereka lebih sensitif terhadap kehilangan cairan.

"Individu dengan masalah kesihatan kronik seperti kencing manis, sakit jantung atau kegagalan buah pinggang juga berdepan dengan risiko lebih tinggi," katanya.

Dr Jack menambah, dehidrasi boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti ketidakseimbangan elektrolit, yang boleh menjejaskan fungsi normal sel dan organ, sehingga menyebabkan kekejangan otot dan kelesuan.

Komplikasi lain termasuk masalah kemerosotan fungsi buah pinggang, gangguan fungsi kognitif yang menyebabkan sukar memberi tumpuan, bingung, dan kecelaruan ingatan.

Dalam kes dehidrasi yang melampau, ada kemungkinan timbul keadaan yang mengancam nyawa seperti kejutan hipovolemik yang boleh menyebabkan tanda tanda seseorang yang kritikal seperti tekanan darah rendah serta denyutan jantung yang laju.

Ini berlaku sedemikian apabila seseorang kehilangan kandungan air dalam kuantiti yang banyak.

Masalah denggi

Nyamuk Aedes mempunyai ciri khas badan bergaris hitam-putih dan lebih suka membiak dalam air bersih dan bertakung.

Biasanya berlaku trend peningkatan kes denggi di Malaysia, terutamanya semasa musim tengkujuh kerana tempat yang terdedah kepada air bertakung cenderung bertambah.

Justeru, mereka perlu mengambil langkah berwaspada seperti menggunakan ubat nyamuk atau penghalau nyamuk alami yang menggunakan ekstrak daripada tumbuh-tumbuhan atau nabati semasa tidur atau di luar rumah, kerap memeriksa dan menghapuskan tempat takungan air di rumah, cegah penularan demam denggi.

"Penyakit bawaan serangga seperti denggi dan malaria berpotensi menyebabkan kematian atau sakit kronik, penting segera mendapatkan bantuan perubatan serta buat pemeriksaan jika demam panas, sakit otot, sakit sendi, keletihan, loya dan muntah, sakit perut dan kecenderungan pendarahan kerana boleh mengancam nyawa," kata Dr Jack.

Kesan kesihatan mental

Beberapa kajian mendapati, pendedahan secara langsung atau tidak langsung kepada banjir boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada kesihatan mental, termasuk gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), tekanan psikologi, kemurungan dan kebimbangan.

Bencana alam seperti banjir boleh mencetuskan masalah kesihatan mental seperti tekanan, PTSD, kebimbangan dan kemurungan.

Tip keselamatan musim tengkujuh

· Minum air selamat dan bersih

Minum air sudah dimasak atau dibotolkan. Elakkan meminum air tidak dirawat.

· Makan makanan dimasak

Hanya makan makanan dimasak dan disimpan panas. Kupas buah-buahan dan elak makanan mentah.

· Amalkan kebersihan yang baik

Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih. Guna sanitasi dan buang sampah dengan betul.

· Guna ubat nyamuk

Untuk melindungi diri daripada digigit nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

· Periksa dan buang air bertakung supaya nyamuk Aedes tidak dapat membiak di rumah.

· Dapatkan rawatan segera

Jika mengalami demam, cirit-birit, muntah, atau masalah kesihatan lain, walaupun selepas bencana.

· Elakkan bermain air banjir atau sungai

Jauhkan kanak-kanak daripada air banjir bagi mengelakkan kecederaan dan penyebaran penyakit melalui air bertakung dan tercemar, atau tikus dan haiwan serta ular dalam air banjir.

· Matikan suis elektrik, bekalan air dan injap gas sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan kecelakaan.

· Utamakan keselamatan individu rentan:

Jika ada masalah kesihatan seperti diabetes, atau golongan rentan (bayi, warga emas dan wanita hamil), sebaiknya dapatkan bantuan dan berikan penjagaan tambahan kepada mereka semasa banjir atau peralihan monsun.

Berita Harian X