Ahad, 28 Januari 2024 | 9:48am
Ramai pesakit kanak-kanak boleh diselamatkan kerana ibu bapa boleh digunakan sebagai penderma sel stem.
Ramai pesakit kanak-kanak boleh diselamatkan kerana ibu bapa boleh digunakan sebagai penderma sel stem.

Pemindahan sumsum tulang sembuhkan banyak penyakit

KEPERLUAN bagi pemindahan sumsum tulang atau sel stem dalam kalangan pesakit kanak-kanak dikesan meningkat ekoran terdapat banyak penyakit diwarisi atau genetik yang dikenal pasti.

Pemindahan sumsum tulang atau sel stem adalah prosedur bagi pesakit leukemia atau penyakit berkaitan darah supaya sel stem mereka dapat berfungsi kembali kepada keadaan sempurna.

Sel stem boleh diperoleh daripada salur darah, sumsum tulang atau darah daripada tali pusat bayi yang baharu dilahirkan, yang mana sel itu boleh menghasilkan pelbagai jenis komponen darah yang diperlukan untuk merawat pesakit.

Pakar Perunding Kanan (Hematologi Pediatrik dan Onkologi) Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Hany Mohd Ariffin berkata, penyakit yang boleh disembuhkan melalui pemindahan sumsum tulang ialah leukimia.

Prof Dr Hany Mohd Ariffin. - Foto NSTP
Prof Dr Hany Mohd Ariffin. - Foto NSTP

Selain itu katanya, penyakit lain yang boleh disembuhkan melalui pemindahan sumsum tulang termasuk kecacatan sistem imun, masalah metabolik dan talasemia.

"Dengan adanya teknologi lebih bagus kini, lebih ramai pesakit kanak-kanak dapat diselamatkan kerana kini ibu bapa boleh digunakan sebagai penderma sel stem.

"Di Malaysia, pemindahan sumsum tulang membabitkan pesakit pediatrik pertama berjaya dilakukan pada 1987, manakala pada 1993, pula membabitkan pesakit dewasa pertama," katanya kepada BH.

Dalam tempoh lebih 30 tahun, PPUM yang juga hospital pertama berjaya melakukan prosedur itu, sudah melakukan prosedur pemindahan sumsum tulang kepada 468 pesakit dewasa dan hampir 600 pesakit kanak-kanak.

Pemindahan sum-sum tulang pesakit kanser

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan (Hematologi), Jabatan Perubatan PPUM, Prof Dr Gan Shiaw Sze,, pula berkata pemindahan sumsum tulang atau sel stem adalah satu prosedur perubatan yang dijalankan ke atas pesakit kanser.

Beliau berkata, ia susulan sel stem darah mereka dimusnahkan oleh kemoterapi dan selepas itu, ia diganti dengan sumsum tulang atau sel stem yang baharu melalui prosedur terbabit.

Katanya, prosedur pemindahan adalah tidak rumit tetapi tetap berisiko.

"Kadar penyembuhan pesakit leukemia selepas prosedur ini dijalankan adalah kira-kira 65 hingga 70 peratus.

"Namun, bagi penyakit lain kadar kejayaannya boleh mencecah sehingga 90 peratus," katanya.

Penjagaan rapi diperlukan kerana pada jangka masa panjang, pesakit mungkin mudah terdedah untuk mendapat jangkitan kuman.

Katanya, rakyat Malaysia turut digalakkan untuk mendaftar sebagai penderma sel stem menerusi platform Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR) bagi membantu mereka yang menghidapi penyakit berkaitan darah.

Sehingga kini, Dr Gan berkata, antara teknologi terbaharu dalam perubatan membabitkan rawatan penyakit itu adalah melalui makmal sel CAR-T iaitu sel T yang mempunyai antigen berganda.

Katanya, makmal ini mempunyai fungsi lebih canggih menggunakan teknologi sel imun.

"Dengan adanya makmal CAR-T, rawatan aspek itu dijangka lebih mampu milik dan ia turut menawarkan perkhidmatan ke pesakit penyakit darah yang lain.

"Sel CAR-T setakat ini adalah kaedah bagi merawat pesakit selepas pemindahan sumsum tulang yang memerlukan banyak kemoterapi namun dengan kaedah perubatan ini, ia adalah cara lain untuk mengawal penyakit ini," katanya.

INFO:

  • Pengambilan sum-sum tulang adalah pintu gerbang diagnosis kepada penyakit yang berkaitan dengan kanser darah seperti leukemia, multiple myeloma, anemia, pancytopenia, myelodysplastic syndrome (MDS), plasma cell dysplasia, dan thrombocytopenia.

  • Ia juga penting kerana dapat memantau keberkesanan sebarang rawatan yang dilakukan kepada pesakit.

  • Kebiasaannya apabila pesakit disyaki menghidap penyakit berkaitan kanser darah, doktor akan segera menetapkan tarikh dan temujanji untuk pengambilan sum-sum tulang dengan pihak makmal.
Berita Harian X