Rabu, 24 Januari 2024 | 9:32am
Pemeriksaan darah dilakukan sebagai ujian diagnostik untuk membantu doktor memahami sesuatu penyakit. - Foto hiasan
Pemeriksaan darah dilakukan sebagai ujian diagnostik untuk membantu doktor memahami sesuatu penyakit. - Foto hiasan

Ujian darah untuk kenal pasti kanser

MEMBUAT pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali amat digalakkan untuk mengetahui tahap kesihatan sekali gus mendorong individu sentiasa berjaga-jaga.

Pemeriksaan darah dilakukan sebagai ujian diagnostik untuk membantu doktor memahami sesuatu penyakit.

Jenis sel darah boleh diakses melalui ujian darah bagi mengenal pasti jangkitan kuman atau penyakit berkaitan imun badan, selain dapat menilai profil organ di dalam badan untuk memastikan berfungsi baik atau tidak.

Berdasarkan kajian sekumpulan penyelidik dari United Kingdom (UK), berjaya membangunkan satu teknologi ujian darah terbaharu yang berupaya mengesan 18 jenis kanser berbeza pada peringkat awal.

Kenal pasti pelbagai jenis kanser

Penyelidik Amerika Syarikat (AS) berkata, alat yang digunakan itu boleh mengesan pelbagai jenis tumor pada peringkat paling mudah dirawat, yang mana ketika ini tidak boleh dicapai dengan ujian atau teknik sedia ada.

Penyelidik firma bioteknologi Novelna, berkata teknologi itu mempunyai kadar sensitiviti jauh lebih baik daripada ujian Galleri yang sedang diuji di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) UK.

"Teknologi "generasi baharu" ini berupaya mengesan 93 peratus kes peringkat satu, pada lelaki dan 84 peratus pada wanita.

"Ujian Novelna ini juga disifatkan berjaya mengungguli teknologi sedia ada, menyediakan pendekatan yang lebih cekap untuk pengesanan awal kanser," menurut penyelidik.

Ia berfungsi dengan kaedah melihat protein dalam plasma darah, boleh membezakan sampel kanser daripada yang biasa.

Kajian yang diterbitkan dalam BMJ Oncology itu, turut menguji sejauh mana alat terbabit mengesan kanser terhadap 440 orang yang sudah didiagnosis sebelum ini, dan 44 penderma darah yang sihat.

Berdasarkan keputusan ujian itu, pesakit yang didiagnos menghidap kanser menunjukkan ia menjejaskan semua organ utama badan.

Ujian itu juga mengenal pasti protein yang menunjukkan kanser peringkat awal dengan ketepatan yang tinggi dan 80 peratus kes menunjukkan dari mana sel kanser itu mula menjangkiti badan seseorang.

Pakar bebas berkata, ujian menunjukkan beberapa perkara positif, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Dr Mangesh Thorat, dari Queen Mary University of London, berkata aspek menarik ujian ini adalah kadar sensitiviti yang lebih tinggi untuk kanser peringkat satu berbanding ujian lain yang serupa dalam pembangunan.

Bagi Profesor Stephen Duffy, dari Queen Mary University of London, berkata hasilnya menunjukkan sensitiviti yang baik, termasuk kanser peringkat awal dan kadar positif palsu yang rendah.

"Bagaimanapun, mengenal pasti tapak asal tumor adalah kurang tepat, namun begitu mengagumkan," katanya.

Dr Bogdan Budnik, dari Universiti Harvard pula berkata, ujian plasma berasaskan protein adalah bahan yang kuat untuk digunakan sebagai alat pemeriksaan seluruh populasi.

"Ia menunjukkan sensitiviti yang tinggi dalam mengesan pelbagai tumor peringkat awal terhadap pesakit tanpa gejala," katanya.

Penyakit ini lebih mudah dirawat pada peringkat awal sebelum gejala muncul, tetapi kebanyakan ujian adalah khusus untuk jenis tumor yang ada pada pesakit, yang boleh melambatkan diagnosis.

NHS kini cuba melakukan ujian darah yang dibuat oleh syarikat California, Grail yang mendakwa boleh mengesan 50 kanser sebelum tanda-tanda sesuatu penyakit. - Agensi

Berita Harian X