Rabu, 24 Januari 2024 | 7:42am
Cari masa 20 hingga 30 minit sehari sama ada pada waktu pagi atau petang untuk melakukan aktiviti fizikal. -Foto hiasan
Cari masa 20 hingga 30 minit sehari sama ada pada waktu pagi atau petang untuk melakukan aktiviti fizikal. -Foto hiasan

Bersenam 30 minit sehari mampu kawal emosi

BAGI meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri anda perlu memilih mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan konsep kecergasan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, rohani, emosi, intelektual dan sosial.

Konsep kecergasan menyeluruh mampu memberikan kesan positif terhadap kesihatan dan kecergasan diri apabila dilakukan secara konsisten.

Komponen kecergasan fizikal menekankan kepada keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan dalam menghadapi cabaran dan tugasan harian serta menggunakan masa lapang dengan efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk menghadapi kecemasan.

Komponen kecergasan rohani merujuk kepada keupayaan individu untuk membentuk satu sistem nilai, bertindak berlandaskan kepercayaan dengan menetapkan dan melaksanakan matlamat kehidupan bermakna dan konstruktif.

Seterusnya bagi kecergasan emosi pula, merujuk kepada keupayaan untuk mengawal tekanan dan menyatakan emosi dengan sewajarnya.

Dalam kesibukan kerja seharian, kita perlu bijak memilih dan melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kecergasan diri seperti selalu menggunakan tangga serta meletakkan kenderaan lebih jauh dari tempat kerja.

Kita juga boleh melakukan sedikit senaman ringan di tempat kerja dengan meregangkan tangan atau meluruskan kaki supaya peredaran darah dapat berjalan dengan baik.

Selain itu, menarik nafas panjang beberapa kali mampu memberikan sedikit kelegaan dan ketenangan.

Carilah masa sekitar 20 hingga 30 minit sehari sama ada pada waktu pagi atau petang untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu seperti bersenam, berbasikal, berlari, berenang dan pelbagai aktiviti lain kerana kesan daripada melakukan aktiviti fizikal ini bukan saja baik untuk kesihatan, malah baik untuk aspek psikologi serta sosial.

Aktiviti fizikal juga mampu mengurangkan tekanan darah, kebimbangan, kesedihan serta mengawal berat badan seseorang.

Individu yang sentiasa bersenam dan melakukan aktiviti fizikal mampu meningkatkan sistem kardiovaskular, meningkatkan daya pemikiran serta mampu mengawal emosi diri.

Bagi memudahkan kita merancang dan melakukan aktiviti fizikal dan senaman, bolehlah merujuk kepada piramid aktiviti fizikal dan senaman bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri mengikut keperluan masing-masing.

Perlu diingatkan, setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza, oleh itu bagi memulakan aktiviti fizikal dan peka terhadap respons tubuh semasa melakukan senaman atau aktiviti fizikal.

Mulakan aktiviti senaman atau riadah dengan intensiti yang rendah dan penambahan intensiti boleh dilakukan mengikut keperluan dan jenis aktiviti yang dilakukan.

Sebelum memulakan aktiviti fizikal atau riadah

* Rancang sesi senaman/fizikal anda

* Mulakan aktiviti regangan dan memanaskan badan

* Lakukan aktiviti dengan intensiti yang rendah terlebih dahulu

* Pastikan persekitaran tempat aktiviti adalah selamat

* Peka terhadap perubahan kepada tubuh yang berlaku semasa melakukan aktiviti

* Berhenti jika terlalu penat

* Melakukan aktiviti menyejukkan badan setelah selesai aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal yang dilakukan secara konsisten akan memberikan kesan yang positif kepada sistem tubuh dengan mengurangkan risiko penyakit kronik, menguatkan jantung, meningkatkan stamina, melancarkan peredaran darah, meningkatan sistem pertahanan tubuh, mengurangkan lemak dan mampu mengekalkan berat badan yang ideal serta meningkatkan motivasi diri seseorang

Berita Harian X