Selasa, 23 Januari 2024 | 7:58am
Lilin beraroma walaupun menggunakan minyak pati semula jadi, boleh berisiko kepada kesihatan. - Foto hiasan
Lilin beraroma walaupun menggunakan minyak pati semula jadi, boleh berisiko kepada kesihatan. - Foto hiasan

Lilin beraroma dibakar tingkatkan risiko penyakit berkaitan pernafasan - Pakar

MENYALAKAN wangian lilin perkara biasa dilakukan individu untuk menyemarak dan menjadikan ruangan rumah berbau harum, menambah pencahayaan, suasana nyaman serta menenangkan.

Bagaimanapun, tahukah anda lilin beraroma dinyalakan itu boleh meningkatkan risiko penyakit berkaitan pernafasan.

Pakar kesihatan awam Universiti Semmelweis, Hungary, Dr Tamás Pándics, berkata penggunaan bau-bauan itu memburukkan lagi terutama kepada individu yang sudah sedia ada penyakit tertentu seperti asma.

Justeru, beliau menyarankan supaya mengurangkan penggunaan bahan itu yang kononnya untuk memberi kesegaran di dalam rumah dan untuk meningkatkan kualiti udara dalaman di kediaman anda.

Tingkat risiko pelbagai penyakit

Lilin beraroma walaupun menggunakan minyak pati semula jadi, boleh berisiko kepada kesihatan, contohnya bahan 'thujone' yang terdapat dalam minyak pati itu dikaitkan dengan kerosakan sistem saraf.

Begitu juga cinnamaldehye, iaitu minyak esensial daripada kulit kayu manis digunakan dalam lilin boleh menyebabkan kerengsaan dan alahan kepada kulit.

Sebahagian besar lilin dibuat daripada lilin parafin (yang diekstrak daripada petroleum), dan kajian sebelum ini menunjukkan ia boleh menyebabkan barah (yang masih menjadi perdebatan).

Sesetengah jenama lilin juga menggunakan logam yang boleh menyebabkan masalah paru-paru.

Pakar menjelaskan tidak kira sama ada ia dihasilkan sendiri atau bahan dibeli secara semula jadi setiap bahan asing itu boleh menimbulkan risiko.

Justeru, penggunaan produk bau-bauan seperti lilin dan produk lain seperti semburan, pembersih, vape dan perabot dalam juga boleh menjejaskan masalah kesihatan.

Ini kerana walaupun wangian lilin menghasilkan sebilangan kecil zarah dan wap pada satu masa, ini bertambah semakin lama menggunakannya. - Agensi

Berita Harian X