Sabtu, 20 Januari 2024 | 11:46am
Nyilu menandakan bahagian luar gigi, lapisan enamel, mungkin sudah terhakis. - Foto hiasan
Nyilu menandakan bahagian luar gigi, lapisan enamel, mungkin sudah terhakis. - Foto hiasan

Gigi ngilu buat hari tak tenteram, apa puncanya?

PERNAH anda alami gigi nyilu selepas minum air ais, makan manis, asam masin dan seumpamanya?

Dalam keadaan itu, buat apa sahaja semua tidak kena, hari-hari dilalui rasa tidak tenteram.

Jadi, rasa nyilu berkenaan menandakan bahagian luar gigi, iaitu lapisan enamel, mungkin sudah terhakis.

Keadaan ini akan mendedahkan jejalur saraf kecil yang terdapat dalam terowong kecil lapisan kedua gigi yang dinamakan dentin.

Dentin mengandungi banyak serat deria yang halus dengan hujungnya terjulur keluar ke arah enamel.

Apabila air sejuk mengenai hujung cabang serat itu, suatu tindak balas dalam bentuk rasa nyilu akan terjadi secara automatik.

Punca gigi nyilu?

Apa yang menyebabkan jejalur saraf tadi terdedah? Salah satu puncanya ialah apabila permukaan luar gigi (enamel) mengalami hakisan atau pelelasan.

Fenomena ini boleh ditimbulkan kerana memakan makanan berserat yang memerlukan banyak aktiviti pengunyahan atau disebabkan amalan meminum air bergas, makanan asam jeruk, makanan manis-manis dan seumpamanya.

Ia boleh terjadi di permukaan mengunyah gigi geraham atau mana-mana permukaan gigi dan akar yang mengalami kehakisan.

Kehausan lapisan permukaan mengunyah atau menggigit boleh terjadi kerana tabiat buruk suka menggetap gigi sekuat-kuat hati.

Ini sering dilakukan kalau kita sedang merasa geram atau marah. Tidak kurang juga ada antara kita sering menggetap gigi ketika sedang tidur malam tanpa disedari.

Struktur gigi
Struktur gigi

Antara penyebab tabiat menggetap gigi ini terjadi bersabit kait dengan masalah emosi atau stres, sentiasa berada dalam keadaan yang tegang atau bimbang.

Perasaan ini boleh timbul kerana rasa takut yang berlebihan terhadap sesuatu atau seseorang. Rasa tertekan juga boleh timbul semasa mengambil peperiksaan atau ketika menjalani sebarang peraduan.

Jika tabiat ini menjadi lazim sebaiknya anda berjumpa dengan doktor perubatan berkenaan.

Mengamalkan tabiat menggetap gigi begini akan menyebabkan permukaan mengunyah menjadi haus dan licin.

Lazimnya, gigi belakang mempunyai bentuk bukit-bukau, berfungsi sebagai penahan terjadinya keluncuran tulang rahang bawah ke depan.

Jika penahan dalam bentuk bukit-bukau pada permukaan mengunyah gigi tiada, rahang bawah kita akan meluncur ke depan.

Keadaan ini akan mengoyakkan otot dan melukakan tisu lembut mulut serta merosakkan bebola di bahagian sendi tulang rahang.

Silap pilih berus gigi

Rasa nyilu gigi boleh juga terjadi disebabkan salah teknik memberus gigi.

Penekanan berus gigi yang berlebihan semasa menggosok gigi atau menggunakan ubat gigi atau bahan pembersih gigi yang mempunyai sifat pelelas (abrasives) yang tidak sesuai.

Berbeza dengan lapisan enamel dan dentin, lapisan luar akar gigi mudah terhakis kerana amat nipis dan lembut.

Penekanan bulu berus gigi berlebihan pada permukaan yang terdedah akan menyebabkan rasa nyilu terjadi.

Bentuk dan jenis bulu berus pada berus gigi juga penting. Memadai memilih bulu berus yang lembut atau sederhana lembut.

Ngilu sering terasa ketika makan, makanan sejuk dan manis. - Foto hiasan
Ngilu sering terasa ketika makan, makanan sejuk dan manis. - Foto hiasan

Teknik memberus juga sama penting. Gunakan Teknik bulu berus ditempatkan 45 darjah dari gusi dan guna teknik seolah-olah mencungkil ke luar dan ke atas atau ke bawah dengan tekanan minimum.

Berus gigi dua kali sehari

Selain menjaga kebersihan mulut seperti di atas, kawal juga makanan yang anda makan sehari-hari.

Pastikan ia seimbang dan berkhasiat. Bentuk dan jenis makanan atau pengeluaran air liur secara semula jadi yang mencukupi juga penting terutama yang usia meningkat, banyakkan meminum air suam agar air liur mulut kita sentiasa cair bagi menghindar terjadinya ulser (kudis) pada tisu lembut mulut.

Cecair liur penting sebagai pembersih semula jadi rongga mulut. Selain itu, pastikan rongga mulut bersih dan gigi tidak terendam dalam keadaan keasidan yang terlalu lama.

Ini boleh kita lakukan dengan sekurang-kurangnya melakukan amalan berkumur setiap kali selepas makan.

Rawatan profesional

Ada beberapa penyebab nyilu dalam mulut termasuk infeksi pada gusi atau sinus dan lain-lain.

Jangan tunggu ke doktor pergigian, jika ia berkait dengan masalah perubatan, doktor akan merujuk anda kepada doktor perubatan berkaitan.

Berkunjung ke klinik doktor gigi terdekat untuk rawatan lanjut jika diperlukan.

Kaedah rawatan bergantung pada lamanya keadaan berlaku. Untuk anak kecil, suatu plat logam akan dibuat untuk membantu anak mengatasi kebiasaan meluncurkan tulang rahang ke depan.

Jika keadaan ini terjadi pada orang dewasa, tampalan atau sejenis alat boleh diberikan untuk membentuk semula tinggi gigi yang sesuai, sekali gus akan membantu membaiki kedudukan rahang dan sendi temporomandibel.

Jangan biarkan keadaan ini berlarutan, ia boleh menyebabkan rasa sakit pada tengkuk, pening kepala dan rasa sakit berterusan pada hujung tulang rahang.

Jangan berlengah jumpa doktor

Rasa nyilu juga boleh menjadi petanda gigi diserang penyakit karies. Walaupun lubangnya kecil dan sukar dilihat dengan mata kasar, tetapi ia cukup besar untuk dapat dikesan oleh deria perasa.

Jika ia masih amat kecil dan terletak di permukaan mengunyah, doktor boleh menampalnya dengan bahan pelapik seperti plastik yang dinamakan resin komposit.

Bahan ini mudah diletakkan dan tidak menyakitkan. Malah, ada kemungkinan doktor pergigian tidak perlu menggunakan alat penggerudi untuk tujuan rawatan ini dan bahan-bahan pelapik seperti bahan varnis atau kaca glassionomer.

Jadi, jangan berlengah lagi berkunjung ke klinik pergigian terdekat untuk mendapatkan nasihat terbaik untuk masalah yang anda hadapi. Saya yakin doktor pergigian anda akan memberi nasihat terbaik kepada anda.

Penulis adalah Pakar Kesihatan Awam Pergigian yang juga Pengerusi, Pertubuhan Pergigian Bebas Kaviti Malaysia

Berita Harian X