Jumaat, 19 Januari 2024 | 9:20am
Peria dikatakan, boleh membantu menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah. - Foto hiasan
Peria dikatakan, boleh membantu menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah. - Foto hiasan

Pahit peria, ubat mujarab rawat penyakit

RASA peria memang pahit menyebabkan tidak ramai yang menggemarinya.

Tetapi, kata orang tua, pahit itu elok, pahit itu ubat dan sememangnya, peria banyak khasiatnya, malah boleh dijadikan hidangan enak jika kena cara memasaknya.

Ramai yang kurang menyukai sayur itu, tetapi ia mempunyai banyak kebaikan.

Antara pelbagai khasiat yang terdapat dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium.

Khasiatnya sudah diketahui sejak zaman purba lagi. Ketika itu, peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit.

Selain kegunaan dalam perubatan dan menyembuhkan penyakit, peria boleh juga dijadikan hidangan enak yang membuka selera.

Kelebihan lain peria ialah memberikan manfaat dalam penjagaan kecantikan terutama kulit.

Peria dikatakan, boleh membantu menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah.

Dengan kebaikan dan kelebihan yang ada pada peria, rugi sekali jika tidak mengambil kesempatan atau memanfaatkan ia sepenuhnya dalam kehidupan seharian anda.

Bagi yang ingin menjaga dan mengekalkan kesihatan yang baik, bolehlah menggunakan sayur pahit itu dalam masakan.

Dengan kandungan khasiatnya yang merangkumi serat, lemak, karbohidrat dan protein, anda boleh menghasilkan menu sihat.

Untuk mengurangkan rasa pahit peria, amalan petua tradisional yang boleh diamalkan ialah merendamkan sayur itu dalam air kapur sirih sebelum dimasak.

Kurangkan rasa pahit

Petua lain yang boleh diamalkan bagi mengatasi rasa pahit peria ialah hiriskan peria terlebih dulu mengikut keperluan masakan, kemudian gaulkan dengan garam kasar.

Biarkan selama lima minit, selepas itu cuci peria berkenaan beberapa kali dengan air bersih sebelum dimasak.

Hasilnya, buah peria yang sudah dimasak itu tidak akan berasa pahit apabila dimakan.

Peria juga boleh dijadikan hidangan sayur goreng yang sedap. Untuk tidak membiarkan hidangan sayur goreng itu hambar, anda boleh menambahkan kesedapannya dengan meletak rencah seperti udang, ayam dan telur.

Berita Harian X