Khamis, 18 Januari 2024 | 9:39am
Pengesanan dan rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi lebih teruk. - Foto hiasan Freepik
Pengesanan dan rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi lebih teruk. - Foto hiasan Freepik

Penyakit Kawasaki punca serangan jantung kepada kanak-kanak

SEKITAR 1960-an, seorang doktor pakar kanak-kanak di Jepun kehairanan melihat beberapa kes kanak-kanak di bawah umur lima tahun datang dengan gejala demam berterusan, bengkak limpa di leher serta tanda-tanda keradangan seperti mata kemerahan, ruam kulit dan hujung jari-jemari bengkak dan merah.

Perbincangan dengan kawan sekerja ketika itu merumuskan kanak-kanak ini menghidap sejenis jangkitan 'atypical' bakteria streptokokkal.

Bagaimanapun, doktor terbabit, iaitu Prof Dr Tomisaku Kawasaki, tidak berpuas hati dengan penjelasan itu dan beliau melabelkan fail kes-kes terbabit sebagai kes 'hanya Tuhan yang tahu'.

Selepas kajian lanjutan dibuat Dr Tomisaku mendapati kanak-kanak yang terbabit bukan disebabkan jangkitan bakteria, sebaliknya penyakit radang salur darah.

Dr Tomisaku Kawasaki mengeluarkan satu laporan terperinci kes terbabit yang beliau namakan sebagai 'acute febrile mucocutaneous lymph node syndrome'.

Dr Asrar Abu Bakar
Dr Asrar Abu Bakar

Justeru, berdasarkan pengamatan dan nukilan terhadap ciri-ciri penyakit, Dr Tomisaku Kawasaki ia masih menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Penyakit yang kini lebih dikenali sebagai penyakit Kawasaki, nama yang diberikan sempena nama profesor itu, kini membabitkan sekitar 200 hingga 300 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun terutama dalam kalangan warga Asia termasuk Malaysia.

Punca penyakit kawasaki

Penyakit Kawasaki adalah punca utama penyakit jantung (bukan 'congenital') dalam kalangan kanak-kanak di negara membangun.

Penyakit ini berlaku disebabkan tindak balas berlebihan badan sehingga berlaku serangan terhadap salur darah dalam badan.

Sehingga kini, punca penyakit ini masih belum diketahui tetapi beberapa teori dikemukakan antaranya pengaktifan tindak balas imun badan yang berterusan walaupun selepas pulih daripada jangkitan virus atau bakteria.

Gejala Kawasaki

Antara gejala penyakit Kawasaki adalah demam tinggi berterusan sehingga melebihi empat hari, radang kemerahan di bahagian mata, kulit, mulut dan lidah, jari jemari di tangan dan kaki serta bengkak limpa terutamanya di bahagian leher.

Bagi kanak-kanak yang menerima suntikan BCG, lokasi suntikan itu akan menjadi bengkak dan kemerahan. Ujian darah akan menunjukkan paras keradangan yang amat tinggi.

Namun, tidak semua pesakit Kawasaki akan mempunyai semua ciri dan gejala ini seterusnya menyukarkan mengesan awal penyakit ini.

Masalah utama diagnosis penyakit ini ialah tiadanya ujian khusus yang boleh dilakukan serta pertindihan gejala penyakit ini dengan penyakit lain seperti jangkitan streptokokkal dan virus seperti adenovirus.

Disebabkan masalah ini, berlaku kelewatan diagnosis penyakit Kawasaki seterusnya melambatkan pemberian rawatan penyakit ini.

Kepekaan ibu bapa dengan gejala penyakit Kawasaki serta pengesanan awal doktor penting untuk mengurangkan komplikasi penyakit Kawasaki.

Komplikasi utama penyakit Kawasaki seperti yang disebutkan itu adalah keradangan salur darah koronari jantung.

Sekitar 25 peratus kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan mengalami komplikasi jantung sekiranya tidak dirawat.

Komplikasi jantung ini kebiasaannya tidak akan menyebabkan sebarang gejala awal tetapi penghidap akan berisiko terkena serangan jantung akut yang boleh meragut nyawa apabila mereka capai umur dewasa.

Bagaimanapun, sekiranya rawatan awal diberikan ketika usia kanak-kanak, jangkaan berlakunya komplikasi menurun sekitar tiga hingga lima peratus.

Rawatan Kawasaki

Rawatan utama penyakit Kawasaki adalah dengan pemberian antibodi 'intravenous immunoglobulin' atau singkatannya IVIG serta ubat aspirin dan steroid.

Kajian masih dijalankan untuk menentukan rawatan kombinasi terbaik termasuk dalam kalangan ubat-ubat supres imun badan yang lain.

Rawatan perlu disusuli dengan pengesanan sebarang komplikasi jantung melalui kaedah scan ultrasound jantung (echocardiogram) secara berkala.

Sekiranya berlaku komplikasi jantung, rawatan susulan daripada pakar jantung dan penyakit berjangkit perlu dilakukan.

Yang penting, setiap kanak kanak yang mempunyai gejala Kawasaki perlu diberikan perhatian dan tindakan awal ibu bapa untuk dapatkan rawatan.

Ini kerana pengesanan awal akan diikuti rawatan awal dan seterusnya mengelak daripada kesan komplikasi jantung yang berpanjangan.

Penulis adalah Pakar Penyakit Berjangkit Paediatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X