Rabu, 17 Januari 2024 | 7:52am
Memasak pada suhu didih (100 darjah Celcius dalam tempoh lima minit hingga 10 minit untuk membunuh bakteria. - Foto hiasan
Memasak pada suhu didih (100 darjah Celcius dalam tempoh lima minit hingga 10 minit untuk membunuh bakteria. - Foto hiasan

Lauk tak dimasak sempurna, mengundang keracunan makanan

KERACUNAN makanan berlaku antaranya apabila memakan makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh lama, iaitu lebih empat jam.

Menyimpan makanan dimasak dan disimpan lama pada suhu bilik akan menyebabkan pertumbuhan bakteria. Keadaan ini menyebabkan makanan menjadi rosak dan basi.

Untuk mengelakkannya, makanan perlu disimpan di tempat bersih dan tertutup serta tidak disimpan bersama dengan bahan mentah bagi mengelakkan pencemaran silang dan tidak terdedah kepada ejen pembawa bakteria seperti lalat dan lipas.

Makanan tidak dimasak dengan sempurna juga boleh menyebabkan keracunan makanan.

Bagi mengelakkannya, proses memasak perlu dipandang serius kerana ia bukan hanya bertujuan menambahkan kelazatan, tetapi juga bertujuan membunuh bakteria dalam makanan berkenaan.

Secara umumnya, memasak pada suhu didih (100 darjah Celcius) dalam tempoh lima minit hingga 10 minit sudah cukup untuk membunuh bakteria.

Penggunaan haba basah seperti kukus dan rebus juga berkesan berbanding dengan haba kering seperti penggunaan ketuhar untuk membunuh bakteria.

Bagaimanapun, bahan kimia dan toksin adalah stabil dan tidak musnah melalui proses memasak.

Keracunan makanan juga mempunyai beberapa tahap bahayanya sendiri, bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis ejen penyebab yang mengakibatkan keracunan berkenaan serta jumlah bakteria, virus atau toksin yang masuk ke dalam badan.

Faktor umur juga menjadi penentu di samping sistem ketahanan badan seseorang. Jika mereka mempunyai sistem imuniti yang lebih kuat, peluang untuk sembuh daripada keracunan makanan juga lebih tinggi.

Makanan terdedah lebih 4 jam pada suhu bilik akan basi dan rosak.- Foto hiasan
Makanan terdedah lebih 4 jam pada suhu bilik akan basi dan rosak.- Foto hiasan

Apa perlu buat:

* Sentiasa menjaga kebersihan.

* Basuh tangan dengan betul sebelum mengendalikan makanan.

* Basuh tangan selepas keluar tandas.

* Basuh dengan bersih peralatan digunakan untuk menyediakan makanan.

* Pastikan kawasan dapur bebas daripada serangga, makhluk perosak dan haiwan lain.

* Sentiasa pisahkan makanan mentah dan sudah masak.

* Gunakan perkakas seperti pisau dan papan pemotong berbeza untuk penyediaan makanan yang belum dimasak.

* Simpan makanan yang telah dimasak dan yang mentah di dalam bekas berbeza untuk mengelakkan pencemaran silang.

* Masak dengan sempurna, terutama sekali daging, ayam, telur dan makanan laut.

* Simpan makanan pada suhu betul.

* Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih daripada empat jam.

* Simpan semua makanan dimasak dan mudah basi di dalam peti sejuk/peti sejuk beku.

* Sentiasa gunakan air dan bahan mentah yang bersih.

* Minum hanya air yang dimasak atau air minuman dibotolkan atau berbungkus.

* Pilih makanan yang segar dan berkhasiat.

* Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan mentah.

* Jangan makan makanan sudah melepasi tarikh luput.

* Sentiasa pilih kedai makan bersih jika makan di luar.

* Hindari gerai atau kedai makan yang kotor.

Berita Harian X