Isnin, 15 Januari 2024 | 8:20am
Bakteria air kencing tikus dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air. - Foto hiasan
Bakteria air kencing tikus dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air. - Foto hiasan

Jangkitan air kencing tikus ketika banjir boleh bawa maut

SEMUA individu harus berwaspada mengenai kesan dan peningkatan kepada penularan penyakit berjangkit akibat banjir.

Pada musim banjir, antara jenis penyakit berjangkit yang dikenal pasti mudah untuk menjangkiti adalah penyakit kencing tikus (leptospirosis), kepialu, kolera, hepatitis A, melioidosis dan penyakit bawaan air yang lain.

Selain itu, penyakit bawaan vektor seperti denggi juga akan meningkat.

Justeru, ketika ini perlu ditekan mengenai bahaya penyakit leptospirosis terutama kepada mangsa banjir dan sukarelawan serta anggota agensi penyelamat.

Jangkitan leptospirosis boleh meningkat pada musim banjir jika pihak yang terbabit tidak mengambil tindakan pencegahan dengan lebih awal daripada dijangkiti leptospirosis.

Penyakit ini boleh membawa maut jika rawatan segera tidak diberikan.

Kuman daripada air kencing tikus

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit berpunca daripada kuman bakteria leptospira boleh didapati pada air kencing tikus.

Ia boleh juga dijumpai pada air kencing haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing serta haiwan lain seperti lembu dan haiwan liar.

Lazimnya, bakteria ini akan dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air.

Ketika banjir, bakteria akan lebih mudah menjangkiti manusia dan memasuki badan melalui kawasan luka pada kulit, makanan, minuman yang dicemari serta organ seperti mata.

Gejala penyakit

Gejala yang akan timbul akibat leptospirosis ini boleh dikenal pasti selepas lima hari sehingga dua minggu dijangkiti.

Kebiasaannya, pesakit akan mengadu demam panas, sakit kepala, loya dan muntah, sakit otot, mata merah dan cirit-birit.

Jika dibiarkan berterusan, penyakit ini akan berlarutan dan pesakit boleh mendapat komplikasi seperti keradangan selaput otak (meningitis), pendarahan paru-paru, kegagalan hati dan kerosakan buah pinggang.

Justeru, langkah pencegahan sebaiknya dengan mengelak terdedah dengan air banjir, jaga kawasan luka dibalut, mata dan mulut supaya tidak dijangkiti penyakit.

Pastikan amalan membasuh anggota badan yang terdedah kepada air banjir menggunakan air bersih dan dilakukan dengan segera.

Jangan biarkan anak bermain air banjir manakala sukarelawan dan anggota penyelamat disarankan sentiasa memakai kasut but getah kalis air.

Penting untuk mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya berasa kurang sihat dan mengalami tanda-tanda itu.

Sentiasa menjaga kebersihan diri dan memastikan pembuangan sampah terutama sampah makanan yang teratur supaya tidak menarik perhatian tikus.

Berita Harian X