Khamis, 11 Januari 2024 | 11:38am
Kanak-kanak terdedah pada skrin gajet seperti iPad boleh jejaskan keupayaan tumpuan dan keadaan sekeliling. - Foto hiasan
Kanak-kanak terdedah pada skrin gajet seperti iPad boleh jejaskan keupayaan tumpuan dan keadaan sekeliling. - Foto hiasan

Kanak-kanak terdedah skrin gajet, berisiko lambat bercakap, hidap autisme

KANAK-KANAK yang terdedah dengan skrin gajet seperti iPad dalam tempoh singkat boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memahami dunia sekeliling termasuk tidak endah apabila dipanggil namanya.

Pendedahan itu diperoleh hasil kajian dijalankan penyelidik dari Universiti Drexel di Philadelphia.

Memetik laporan portal Dailymail UK, kaji selidik itu mendedahkan keupayaan seorang kanak-kanak boleh terjejas apabila terdedah skrin gajet dalam tempoh tertentu seawal usia setahun.

Terdedah dengan skrin gajet dikesan boleh mempengaruhi peningkatan dua kali ganda risiko terhadap tingkah laku deria yang luar biasa, seperti ketidakupayaan untuk bertindak balas apabila nama dipanggil.

Di samping itu, tambahan setiap jam terdedah dengan skrin gajet juga berpotensi memburukkan lagi masalah berkaitan tingkah laku deria

Kanak-kanak yang mengalami gangguan pemprosesan deria sama gejala seperti menghidapi Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan gangguan spektrum austisme (ASD), apabila kanak-kanak terbabit mungkin sangat sensitif kepada lampu serta bunyi kuat termasuk tidak menolak, mereka mungkin mencari rangsangan tambahan dengan cara lain.

Lambat bercakap, berpotensi autisme

Kajian sama turut menemukan, kanak-kanak yang terdedah masa lama dengan skrin gajet berisiko lambat bercakap, disamping memiliki fungsi kognitif lemah dan berpotensi menghidap autisme.

Dapatan setakat 2014 menunjukkan, kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) berumur dua tahun ke bawah terdedah skrin gajet lebih tiga jam sehari, meningkat satu jam 19 minit sehari pada 1997.

Pakar di Universiti Drexel menganalisis data responden membabitkan hampir 1,500 kanak-kanak yang diambil antara 2011 dan 2014. Pada waktu itu, ibu bapa disoal mengenai tahap pendedahan anak-anak mereka kepada televisyen dan filem pada usia 12 bulan, 18 bulan dan 24 bulan.

Hasil tinjauan mendapati sekitar 11 peratus ibu bapa berkata anak mereka tidak menonton televisyen atau cakera padat video (DVD) pada usia 18 bulan.

Sekitar 48 peratus daripada mereka pula mengaku bahawa anak mereka menghabiskan kira-kira setengah jam menggunakan media setiap hari.

Manakala 18 peratus lagi berkata anak mereka menonton televisyen sekitar dua jam sehari; dan lapan peratus berkata anak mereka menghabiskan masa selama tiga hingga lima jam sehari.

Pada usia 12 bulan, sebarang pendedahan kepada skrin dikaitkan dengan 105 peratus kemungkinan lebih besar untuk mempamerkan tingkah laku deria tinggi berkaitan dengan kegagalan untuk bertindak balas dengan sewajarnya kepada rangsangan dalam persekitaran mereka pada usia 33 bulan, berbanding kanak-kanak yang tidak terdedah dengan skrin gajet.

Menjelang umur 18 bulan, setiap jam tambahan masa terdedah dengan skrin setiap hari berpotensi meningkatkan kemungkinan kanak-kanak itu mengalami tingkah laku deria tinggi berkaitan dengan kecenderungan mengelak deria rangsangan dan menghidap perlakuan tidak sedar apabila nama dipanggil. Ia merekodkan 23 peratus.

Pada usia 24 bulan, tambahan jam masa terdedah dengan skrin dikaitkan dengan peningkatan 20 peratus kemungkinan tinggi untuk mencari rangsangan, kepekaan deria dan mengelak rangsangan pada usia 33 bulan.

Pakar psikiatri bersekutu Kolej Perubatan Drevel, Prof Dr Karen Heffler, merangkap pengarang utama kajian itu, berkata terdapat hubung kait antara masa terdedah skrin dengan masalah perkembangan tingkah laku.

Ia mungkin mempengaruhi anak kecil apabila menunjukkan beberapa gejala sewaktu menjalani tempoh pengurangan masa terdedah skrin, seiring dengan amalan pemprosesan deria menerusi rawatan oleh juruterapi pekerjaan.

Mencari stimulasi boleh dikesan apabila seseorang itu merenung lampu terang, melihat kipas siling berpusing, berpusing setempat, mengunyah atau sentiasa menyentuh objek serta mendengar bunyi kuat.

Menghindari stimulasi pula adalah gejala ditunjukkan kanak-kanak yang aktif, cuma melarikan diri daripada rangsangan berlebihan dalam bentuk bunyi kuat dan lampu terang atau rasa atau bau tidak menyenangkan.

Bagaimanapun, kajian tidak menemui sebarang hubung kait sebab-akibat secara langsung antara gangguan deria dan masa terdedah skrin yang berlebihan pada peringkat awal usia.

Untuk itu, penyelidik menjelaskan terdedah skrin dalam tempoh lama boleh meningkatkan risiko gejala ASD termasuk tidak menolak boleh memberi kesan kepada perkembangan deria.

Kajian itu cuma tertumpu kepada tontonan televisyen dan DVD, bukan tablet dan telefon pintar.

Walaupun terdapat sedikit perbezaan teknologi antara skrin TV dan iPad, kesannya mungkin sama tetapi tidak serupa.- AGENSI

Berita Harian X