Ahad, 31 Disember 2023 | 11:50am
Pengambilan gula harus dikekalkan pada tahap minimum tetapi pasti tidak melebihi lima hingga enam sudu teh (25 hingga 30 gram) sehari.- Foto hiasan.
Pengambilan gula harus dikekalkan pada tahap minimum tetapi pasti tidak melebihi lima hingga enam sudu teh (25 hingga 30 gram) sehari.- Foto hiasan.

Ketagih gula seperti dadah bahayakan kesihatan, bagaimana mengelaknya?

PENGAMBILAN gula tidak hanya meningkatkan risiko diabetes, tetapi juga menyebabkan pelbagai penyakit seperti meningkatkan mengakibatkan obesiti, penyakit hati berlemak, ketidaknormalan lipid, rintangan insulin, hipertensi dan jantung.

Gula tebu antara manisan yang sering digunakan dalam minuman dan masakan.

Apa menyebabkan kita menginginkan atau ketagihan gula?

Beberapa faktor mungkin memainkan peranan dalam meningkatkan keinginan kita terhadap gula.

Mengambil gula menyebabkan pelepasan neurotransmitter seperti dopamine dan serotonin, mencipta sensasi yang menyenangkan, diikuti oleh keinginan untuk mengambil lebih banyak gula.

Keadaan yang berkaitan dengan tahap serotonin rendah, seperti kemurungan, gangguan kepada 'mood', sindrom menopaus atau pra-menstruasi, dan penggunaan alkohol kronik, sekali gus menyebabkan keinginan terhadap gula.

Stres, kemurungan, kebimbangan atau kebosanan menyebabkan ramai yang mengambil gula.

Kekurangan tidur juga dikaitkan dengan peningkatan keinginan terhadap gula.

Manis dikaitkan dengan segala sesuatu yang baik sejak kecil dan sering digunakan sebagai bentuk ganjaran, selain tidak dapat dielakkan menjadi sebahagian daripada hidangan ketika musim perayaan.

Justeru, menyebabkan kebiasaan mengambil gula, malah ketiadaannya menyebabkan perasaan kosong dan hampa, selain iklan komersil membuatkan tambah menggoda terhadap semua jenis manisan dipaparkan.

Bagaimana keinginan pengaruhi pesakit diabetes

Pada orang yang mengalami fluktuasi gula darah seperti mereka yang ada diabetes, keinginan gula boleh menjadi lebih teruk.

Penurunan dalam gula darah boleh menyebabkan keinginan yang kuat untuk makanan bergula, yang kemudiannya akan menyebabkan kenaikan gula dengan cepat, pelepasan insulin, dan penurunan semula.

Malah situasi itu menyebabkan pertambahan berat badan dan memberi kesan kepada kawalan gula darah.

Oleh itu, memakan makanan bergula akan meningkatkan keinginan anda, dan anda boleh terperangkap dalam satu keadaan yang berbahaya.

Bagaimana mengawal keinginan itu?

Pengambilan gula harus dikekalkan pada tahap minimum tetapi pasti tidak melebihi lima hingga enam sudu teh (25 hingga 30 gram) sehari.

Mengawal keinginan gula lebih mudah dikatakan daripada dilakukan, tetapi tidak pernah terlambat untuk memulakannya!

Hidrasi yang mencukupi:

Pengambilan air yang kurang boleh membuatkan anda ingin mengambil makanan bergula.

Justeru, minum segelas air apabila anda merasa keinginan untuk makan manis.

Gantikan pencuci mulut dengan buah-buahan daripada mengambil makanan bergula.- Foto hiasan.
Gantikan pencuci mulut dengan buah-buahan daripada mengambil makanan bergula.- Foto hiasan.

Makan pada masa yang betul dan memiliki diet seimbang:

Diet yang kaya serat, dengan kandungan protein mencukupi, dimakan pada waktu yang betul, membantu anda kenyang untuk masa lebih lama.

Gantikan dengan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh, sayur-sayuran, dan buah-buahan yang boleh melambatkan lonjakan gula.

Makan pada waktu yang betul dan mengelakkan cepat lapar.

Makan secara berkesan:

Makan dengan perlahan tanpa gangguan seperti menonton televisyen atau bermain dengan telefon.

Tidur yang mencukupi dan strategi pengurangan stres:

Hindari kebiasaan makan untuk keselesaan.

Jangan bawa makanan bergula ke rumah. Anda boleh mula dengan menggantikan pencuci mulut dengan buah jika anda rasa ingin. Pemanis tiruan tidak mengurangkan keinginan gula.

Tukar pilihan minuman anda

Tinggalkan minuman berkarbonat kaya gula dan jus buah, pilih limau segar, air kelapa, atau air biasa saja.

Mula dengan menetapkan had 150 kalori untuk snek bergula, atau menggabungkannya dengan item makanan yang sihat, yang akan membuat anda kenyang lebih lama.

Sekadar mengalihkan fikiran pada masa anda rasa keinginan, seperti membuat panggilan telefon atau pergi berjalan kaki, akan mengalihkan fikiran anda.

Sesetengah orang mendapati mengunyah gula-gula getah cara yang baik untuk mengatasi keinginan itu.

Perubahan ini tidak akan berlaku segera. Sesetengah orang mampu berhenti sekali gus tetapi sukar untuk dikekalkan. Langkah-langkah kecil secara beransur-ansur adalah cara yang baik untuk dilakukan. - Agensi

Berita Harian X