Sabtu, 30 Disember 2023 | 9:47am
Mengurangkan satu sudu teh garam daripada diet anda setiap hari boleh menurunkan bacaan tekanan darah tinggi. - Foto hiasan
Mengurangkan satu sudu teh garam daripada diet anda setiap hari boleh menurunkan bacaan tekanan darah tinggi. - Foto hiasan

Garam berlebihan 'pembunuh senyap'

GARAM atau natrium memberi perasa dalam hidangan, selain mineral penting yang berperanan penting dalam mengekalkan kesihatan manusia seperti mengawal elektrolit dan bendalir dalam badan serta untuk urat dan fungsi otot.

Bagaimanapun, mengambil terlalu banyak garam boleh menjejaskan kesihatan.

Berdasarkan garis panduan terkini pemakanan Amerika Syarikat, satu sudu teh garam bersamaan 2,300 miligram sodium, iaitu had harian maksimum bagi individu berusia lebih 14 tahun.

Bagaimanapun, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan diet seharusnya dikurang daripada 1,500 miligram natrium sehari.

Justeru, mengurangkan satu sudu teh garam daripada diet anda setiap hari boleh menurunkan bacaan tekanan darah tinggi, iaitu mempunyai manfaat yang sama seperti mengambil ubat hipertensi biasa.

Dalam penemuan kajian terbaharu, disyorkan amalan mengurangkan sesudu teh garam, walaupun anda tidak mempunyai penyakit tekanan darah tinggi.

Menurut Ketua Penyelidik yang juga profesor perubatan pencegahan di Northwestern University's Feinberg School of Medicine, Norrina Allen, kajian menunjukkan seseorang yang sudah mengambil ubat tekanan darah boleh menurunkan tekanan darah mereka lebih baik lagi dengan mengehadkan natrium.

"Ia penemuan pertama dalam kajian dilakukan pasukan penyelidik yang menunjukkan seseorang yang sudah mengambil ubat tekanan darah boleh menurunkan tekanan darah mereka lebih baik lagi dengan mengehadkan natrium.

"Tanpa mengira ubat, kami mendapati 70 hingga 75 peratus individu mungkin melihat pengurangan tekanan darah mereka jika mereka menurunkan natrium dalam diet mereka," katanya.

Menurut laporan 2023 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tekanan darah tinggi sering dipanggil 'pembunuh senyap,' berikutan ia menunjukkan simptom atau tiada simptom.

Satu-satunya cara mengetahui sama ada seseorang itu menghidap penyakit terbabit adalah dengan melakukan ujian untuk mengesannya.

Penurunan tekanan darah ketika menjalani diet rendah natrium lebih cepat berbanding diet tinggi natrium. - Foto hiasan
Penurunan tekanan darah ketika menjalani diet rendah natrium lebih cepat berbanding diet tinggi natrium. - Foto hiasan

Menurut WHO, penyakit hipertensi menjejaskan satu dalam tiga orang dewasa di seluruh dunia dan boleh menyebabkan serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan strok.

Hampir separuh daripada rakyat Amerika hidup dengan tekanan darah tinggi, menurut Persatuan Jantung Amerika.

Ini bermakna kira-kira satu pertiga daripada mereka mempunyai hipertensi 'resistant', iaitu tekanan darah tinggi yang tidak bertindak balas walaupun menggunakan tiga jenis ubat secara serentak.

Kajian pada 2021 mendapati hingga 70 peratus lelaki berumur 20 hingga 49 tahun lebih berkemungkinan menghidap hipertensi yang tidak terkawal berbanding wanita pada usia sama.

Punca tekanan darah tinggi

Pengarah Pencegahan dan Kesejahteraan Kardiovaskular dan kesejahteraan di National Jewish Health di Denver, Dr Andrew Freeman, berkata kebanyakan orang hari ini mengambil terlalu banyak garam yang ditambah dalam hampir semua makanan.

"Satu sudu teh garam mungkin kelihatan jumlah kecil. Bagaimanapun, garam tambahan itu nampaknya memberi kesan pada tekanan darah yang sangat besar," katanya.

Kajian diterbitkan, baru-baru ini dalam jurnal JAMA, membabitkan 213 orang berusia 50 hingga 75 tahun terbabit dalam diet tinggi atau rendah natrium dalam tempoh satu minggu.

Selepas mereka selesai diet selama tujuh hari, setiap peserta beralih kepada diet alternatif.

Kira-kira 25 peratus daripada peserta mempunyai tekanan darah normal, manakala 25 peratus lagi mempunyai hipertensi yang tidak dirawat.

Bagi peratusan selebihnya, 20 peratus mempunyai tekanan darah terkawal, manakala 31 peratus tidak dirawat.

Satu sudu teh garam mungkin kelihatan jumlah kecil. Bagaimanapun, garam tambahan itu nampaknya memberi kesan pada tekanan darah yang sangat besar. - Foto hiasan
Satu sudu teh garam mungkin kelihatan jumlah kecil. Bagaimanapun, garam tambahan itu nampaknya memberi kesan pada tekanan darah yang sangat besar. - Foto hiasan

Ketika minggu diet rendah garam pula, mereka mengambil sedikit, diberikan oleh pakar diet. Matlamatnya ialah hanya 500 miligram garam sehari dan ia menunjukkan penurunan dramatik.

Menurut kajian itu, penurunan tekanan darah semasa menjalani diet rendah natrium adalah cepat, berbanding diet tinggi natrium, tekanan darah pada diet garam sangat rendah turun lapan milimeter merkuri.

"Berbanding dengan diet biasa, mereka berupaya mengurangkan tekanan darah mereka sebanyak kira-kira enam milimeter merkuri, kesan sama jika mengambil ubat tekanan darah 'first-line'.

"Selain itu, penurunan itu berlaku dengan cepat dan konsisten untuk mereka yang mempunyai tekanan darah normal, tekanan darah tinggi sedikit atau mereka yang sudah mengambil ubat," kata Allen.

Katanya, mengurangkan jumlah garam tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan ketara, melainkan jika seseorang sedang menyesuaikan diri dengan 'diet blander'.

"Apabila anda beralih daripada diet tinggi garam kepada diet rendah garam, semuanya terasa hambar.

"Saya mahu menggalakkan orang ramai untuk terus menggunakannya kerana deria rasa anda menyesuaikan diri dalam masa beberapa minggu atau lebih dan boleh menerima rasa itu dan makanan yang biasa dimakan sebelum ini akan terasa sangat masin.

"Pelarasan rasa mengambil masa lebih lama, tetapi peningkatan tekanan darah ke tahap lebih baik berlaku agak cepat," katanya.

Kesan sampingan ubat

Bagaimanapun, ubat tekanan darah boleh menyebabkan banyak kesan sampingan, termasuk batuk, sembelit atau cirit-birit, pening, kurang tenaga, sakit kepala, sakit otot, loya, gementar, keletihan, penambahan atau penurunan berat badan, serta masalah ereksi.

Biasanya, ia hilang dari masa ke masa, menurut Perpustakaan Perubatan Negara.

Menurut Freeman, menggunakan 'saltshaker' adalah permulaan yang baik, tetapi ia bukan cara bagi kebanyakan orang untuk menikmati makanan bergaram mereka.

"Ia ada dalam makanan yang anda tidak menjangkakan mempunyai banyak garam, misalnya dalam beberapa keping roti boleh mempunyai 400 atau 500 miligram garam; jeruk mempunyai nilai garam sehari penuh; dan semangkuk sup boleh mengandungi garam untuk pengambilan beberapa hari," katanya. - Agensi

Berita Harian X