Khamis, 28 Disember 2023 | 8:39am
Jangan terlalu banyak makan serat kerana ia dikaitkan dengan perut kembung dan susah berak.- Foto hiasan
Jangan terlalu banyak makan serat kerana ia dikaitkan dengan perut kembung dan susah berak.- Foto hiasan

Faktor usia, stres beri kesan berapa kerap buang air besar

BERAPA kerap anda perlu membuang air besar? Jawapannya mungkin tidak seperti yang anda fikir.

Semua orang membuang air besar dan ia menjadi lebih mudah jika mengamalkan cara pemakanan yang sihat.

Pakar Gastroenterologi David Geffen School of Medicine, Universiti California, Los Angeles, Dr Folasade May, berkata ramai yang salah faham dan percaya mereka perlu membuang air besar setiap hari.

"Ramai orang menganggap bahawa membuang air besar setiap hari menjadikan kita lebih sihat, tetapi sebenarnya tidak ada jumlah tetap buang air besar," katanya.

Ada orang akan membuang air besar satu hingga tiga kali sehari atau tiga kali seminggu.

Apa yang lebih penting bukan sahaja perlu tahu berapa kerap, sebaliknya perlu juga mengetahui mengenai ciri-ciri najis anda.

Doktor menggunakan carta najis yang dikenali sebagai 'Bristol Stool Chart', iaitu rujukan untuk membandingkan ciri-ciri najis yang berbeza serta terjemahan mengenainya.

Najis yang normal berada pada carta jenis yang ke tiga dan ke empat, ia lembut dan mudah dikeluarkan, sekali gus ia dianggap paling sihat.

Jika najis keras dan bersaiz seperti batu, anda mungkin perlu membuat perubahan untuk membuang air besar lebih kerap untuk mengelak sembelit dan mendapat penyakit-penyakit lain.

Faktor seperti diet, hidrasi, stres, umur, penggunaan ubat dan keadaan sosial boleh mempengaruhi kekerapan seseorang itu membuang air besar.

Makan makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin dan kacang boleh membantu mencegah sembelit.

Mengikut Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat, jumlah pengambilan serat adalah sekurang-kurangnya 25 gram setiap hari.

Minum air yang secukupnya sekurang-kurangnya lapan gelas sehari juga amat penting kerana ia turut mempengaruhi kelancaran buang air besar anda.

Selain itu, untuk mengelak sukar membuang air besar, seseorang itu perlu tidur nyenyak dan tidur yang lebih berkualiti, selain mengambil diet seimbang untuk menjaga kesihatan usus.

Beberapa kajian mendapati, makanan seperti buah kiwi dan kurma sangat membantu mengatasi masalah sembelit, namun jangan terlalu banyak makan serat kerana ia dikaitkan dengan perut kembung.

Selain itu, pastikan anda menjaga tubuh tetap terhidrasi bagi memastikan tiada masalah ketika membuang air besar atau mengelak meneran.

Lakukan senaman

Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk melancarkan pergerakan usus, selain

membantu usus memproses makanan dan mendorong pergerakan najis.

Jangan terlalu lama di tandas dan jika perubahan gaya hidup tidak membantu, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. - Agensi

Berita Harian X