Ahad, 24 Disember 2023 | 9:27am
Pelbagai rawatan bantu kurang derita pesakit. - Foto hiasan
Pelbagai rawatan bantu kurang derita pesakit. - Foto hiasan

6 pekerjaan berisiko tinggi hidap sakit sendi

ANTARA punca sakit sendi lutut atau osteoartritis (OA), lazim didengar berkaitan faktor usia, obesiti badan dan kecederaan lampau (diakibatkan faktor kemalangan atau sukan).

OA sejenis artritis (sakit sendi) paling kerap ditemui dan ia disebabkan oleh kerosakan sendi tulang rawan (kartilaj) akibat usia semakin meningkat menyebabkan rawan menjadi haus dan botak.

Namun, tidak ramai tahu beberapa sektor pekerjaan dibuat berulang-ulang kali turut mempengaruhi dan menyebabkan risiko tinggi individu menghidap OA.

Pakar Ortopedik dan Kecederaan Sendi Columbia Asia Hospital, Cheras, Dr Azfar Rizal Ahmad, berkata kajian menunjukkan ada sektor pekerjaan tertentu lebih berisiko mendapat OA.

Di bawah antara pekerjaan berisiko dapat OA dikongsi Dr Azfar Rizal:

1. Petani dan peladang

Disebabkan banyak berdiri lama, selain membabitkan pergerakan seperti mencangkung, melutut, melompat (lompat daripada lori ke tanah), mendaki bukit dan banyak lagi sekali gus berlakunya risiko OA.

2. Pekerja kontrak

Golongan itu membuat kerja mengangkat barangan berat seperti angkat simen dan sebagainya.

Apa-apa jenis pekerjaan membabitkan angkat berat akan meningkatkan stres atau tekanan pada tulang rawan dan menyebabkan dia (tulang rawan) menjadi nipis, haus, botak dan sebagainya.

3. Guru

(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/AIZUDDIN SAAD
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Ramai kalangan guru juga menghidap OA khususnya yang mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) yang tinggi.

Guru kerap berdiri ketika mengajar, membawa buku yang berat hingga meningkatkan tekanan kepada lutut mereka.

"Keadaan berdiri lama itu akan memberikan stres dan tekanan kepada lutut dan mengajar perlu pergi pula ke kelas demi kelas dan menaiki beberapa tingkat untuk ke kelas.

Keadaan berulang tempoh lama sehingga bertahun-tahun mengakibatkan risiko OA.

Guru menulis di papan putih atau hitam, kerap mengangkat tangan lebih tinggi daripada bahu boleh menyebabkan tendon tersepit antara tulang dan lama-kelamaan ia boleh menyebabkan 'impingement syndrome'.

4. Pemandu bas, trak atau lori

Dr Azfar juga pakar perubatan sukan menjelaskan, risiko OA berpotensi berlaku kepada pemandu bas, trak atau lori yang memandu untuk jangka masa panjang.

Memandu tempoh lama dalam keadaan lutut membengkok (flexion). Apabila kaki lurus, kepada lutut terapung di atas namun, apabila bengkok, urat atau otot akan tarik kepala lutut ke arah tulang paha.

Jadi, akan meningkatkan tekanan pada kepala lutut (patella) dan individu berisiko mendapat pattela kondromalasia, iaitu tisu rawan atau kartilaj yang terletak di bahagian belakang pattela itu menjadi lembut dan nipis.

Memandu kenderaan manual kerap tekan minyak, klac dan break juga akan menyebabkan banyak tekanan berulang-ulang dan stres pada lutut.

5. Pekerja rumah (cleaner)

Golongan itu banyak bekerja di bahagian lantai selain kerap mencangkung.

Golongan itu banyak bekerja di bahagian lantai selain kerap mencangkung.

6. Ahli sukan, dan masalah obesiti

Ahli sukan mudah cedera sama ada pada lutut, buku lali, bahu dan bahagian lain. Ketika lanjut usia golongan ini akan terdedah kepada masalah OA.

Sejarah trauma, kecederaan akibat sukan dan kemalangan di usia muda dan masalah obesiti antara faktor mempercepatkan proses pembentukan OA.

Kebiasaannya OA berlaku kepada golongan berusia melebihi 50 tahun, manakala orang muda disebabkan kecederaan spesifik kepada ligament, meniskus, kartilaj dan sebagainya.

"OA merujuk kepada keseluruhan kartilaj yang haus dan botak disebabkan aktiviti seharian yang memberi tekanan pada sendi selama bertahun-tahun.

"Golongan muda, disebabkan proses 'wear and tear' mengambil masa lama. Orang muda selalunya babitkan kecederaan kartilaj.

Fokus sakit sendi

Sakit hanya memfokus kepada satu kawasan dan tidak merebak ke semua tempat serta boleh dirawat seperti 'cartilage defect'

Antara rawatan 'cartilage defect' ialah 'microfracture'. Prosedur antara teknik rawatan tulang rawan paling biasa dan popular.

Teknik babitkan lubang-lubang kecil dibuat dalam tulang untuk merangsang sumsum bagi mengeluarkan sel stem.

"Di dalam sumsum akan ada banyak sel stem dan sel boleh berubah menjadi kartilaj. Selepas microfracture dilakukan pada kartilaj yang rosak, kawasan terbabit boleh ditampal dengan kartilaj tiruan," katanya.

Kajian lalu, mendapati wanita lebih tinggi risiko mendapat OA, iaitu 60 peratus manakala lelaki 40 peratus.

Sebelum dirawat penilaian dan penelitian perlu secara keseluruhan termasuk umur, saiz badan dan pekerjaan pesakit.

Perlu diteliti sama ada pesakit mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan lain-lain.

"Biasanya rawatan awal diberi ubat tahan sakit, fisioterapi dan suntikan tambahkan gel cecair hyaluronic acid (HA) ke dalam lutut bagi memberi kelegaan dan mengurangkan rasa sakit.

"Imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) untuk melihat kecederaan lain seperti meniskus dan masalah ligamen sendi.

"Rawatan terakhir ialah pembedahan tukar sendiri lutut atau total knee replacement (TKR).

"Pembedahan penukaran sendi lutut, babitkan permukaan tulang rawan sendi lutut rosak dibuang dan digantikan dengan implan logam dan plastik.

"Implan dibuat daripada besi iaitu aloi titanium, kobalt kromium atau seramik. Ia bersifat kekal dan minimum ketahanannya mencecah 15 tahun dan lebih.

Sakit sendi lutut atau osteoartritis (OA) sejenis artritis (sakit sendi) paling kerap ditemui dan ia disebabkan oleh kerosakan sendi tulang rawan (kartilaj) akibat usia semakin meningkat menyebabkan rawan menjadi haus dan botak. - Foto hiasan
Sakit sendi lutut atau osteoartritis (OA) sejenis artritis (sakit sendi) paling kerap ditemui dan ia disebabkan oleh kerosakan sendi tulang rawan (kartilaj) akibat usia semakin meningkat menyebabkan rawan menjadi haus dan botak. - Foto hiasan

Rawatan sakit sendi

Antara kaedah rawatan lain menggunakan rawatan radiofrekuensi (RF) bagi mengurangkan rasa sakit dalam lutut dengan menghentikan saraf membawa deria sakit ke otak.

"Suntikan dilakukan melalui kulit dan tanpa pembedahan. Rawatan lebih berkesan jika diberi suntikan cecair pelincir lutut.

"Bagi pesakit yang tiak mempunyai masalah obesiti, rawatan ini boleh mengurangkan kesakitan antara 50 hingga 80 peratus.

"Rawatan bersifat sementara dan mampu bertahan sehingga satu ke dua tahun.

"Fisioterapi pula pesakit disaran mengurangkan berat badan. Penghidap artritis perlu bersenam namun bukan senaman berat.

"Joging tidak digalakkan kerana akan memberi tekanan dan stres kepada lutut," katanya.

Apabila bersenam akan menguatkan otot dan lutut akan jadi lebih stabil.

"Ketika bersenam dan banyak bergerak, lutut dengan sendirinya mengeluarkan cecair sendi dan melancarkan pergerakan kaki berbanding yang tidak aktif dan duduk rumah.

"Bila tak bersenam, otot menjadi lembut dan kecil serta tidak mengeluarkan minyak gris.

"Sebab itu, kita galakkan pesakit osteoartritis bersenam," katanya.

Rawatan kiropraktik untuk osteoartritis, tiada kajian saintifik dilakukan pada rawatan kiropraktik.

"Tiada data membuktikan kiropraktik itu selamat atau berkesan," katanya.

Berita Harian X