Isnin, 18 Disember 2023 | 10:41am
Aktiviti mudah diamalkan, namun perlu tahu caranya untuk manfaat yang maksimum. - Foto hiasan
Aktiviti mudah diamalkan, namun perlu tahu caranya untuk manfaat yang maksimum. - Foto hiasan

Berlari mampu serikan wajah, tubuh sihat

BERLARI, aktiviti menyihatkan mudah dan boleh diamalkan sesiapa saja bertujuan mengeluarkan toksik melalui kaedah perpeluhan.

Aktiviti kecergasan secara konsisten berupaya meningkatkan metabolisme badan, merancakkan proses mengepam oksigen terus ke paru-paru dan melancarkan peredaran darah dalam sistem badan.

Individu yang sering bersenam memperoleh kebaikan seperti memiliki wajah berseri, badan sihat, proaktif bekerja, fokus dan produktiviti meningkat ketika berada di tempat kerja.

Acara maraton atau larian jarak jauh dilakukan di lebuh raya atau lokasi tertentu mula menjadi ikutan di negara ini, bahkan dianjurkan secara besar-besaran bagi menekankan kepentingan kesihatan dan memupuk semangat kesukaan dalam kalangan orang ramai.

Kebanyakan orang salah faham dan akan melakukan tiga kesilapan besar ketika menjalani kecergasan utama.

Antaranya, berlari untuk mengurangkan berat badan bukannya untuk tujuan kecergasan dan membakar kalori.

Tidak menjaga makan selepas bersenam sedangkan pengambilan nutrien sesuai penting bagi membantu proses kecergasan dan pembinaan otot.

Bersenam secara tidak sistematik tanpa mendapat panduan daripada pakar.

Senaman yang tidak berkualiti memenatkan dan memperlahankan proses pembinaan otot. Badan tiada masa untuk pulih.

Bersenam setiap hari tidak bermakna anda cergas dan kuat, tetapi senaman berkualiti lebih penting.

Berlari ada masanya menjadi sukar. Apabila memulakan larian, sistem pernafasan dan kardio terpaksa bekerja lebih kuat, serta 'mencuri' oksigen yang dipam ke seluruh badan.

Proses berkenaan membuatkan anda cepat letih. Lebih banyak anda berlari, lebih banyak anda mengumpulkan kapasiti aerobik. Lebih lama tempoh berlari, anda berkebolehan berlari lebih pantas, lebih jauh dan mudah. dan tercungap-cungap.

Tip larian

Bersedia

Sebulan atau dua bulan sebelum larian, lakukan larian berjadual. Set masa larian sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Rehat dalam tempoh masa berkenaan untuk elakkan terlalu semput. Ajak rakan jika anda tidak bersemangat melakukannya seorang diri.

Regangan

Lakukan latihan regangan dalam tempoh 20 minit sebelum berlari. Regangan dan larian setempat penting bagi menjana momentum.

Elak risiko otot anda dengan memaksanya berlari tanpa melakukan regangan asas.

Latih menggunakan 'trek'

Belajar jenis laluan dalam program larian yang disertai, sama ada dijalankan di kawasan perkampungan, bukit-bukau, jalan raya, jambatan atau hutan.

Kelebihan memahirkan diri dengan laluan memberikan anda keyakinan dan kebiasaan ketika hari pertandingan.

Makan dengan betul

Ketika melakukan larian, makanan tinggi protein berupaya membina otot dan meningkatkan kecergasan.

Anda mungkin boleh mengamalkan pemakanan seimbang mengambil telur dan kepingan ayam. Ambil dua atau tiga bahagian buah dan sayuran setiap hari. Sekiranya anda mengambil karbohidrat tiga kali setiap hari, cuba kurangkan jumlahnya bagi mengelakkan anda menggigil ketika larian.

Kompilasi lagu

Motivasi ketika berlari akan meningkat mengikut rentak lagu yang anda mainkan. Sekiranya ada masa, simpan dan muat naik lagu berirama rancak setiap minit supaya kelajuan larian konsisten.

Berita Harian X