Sabtu, 16 Disember 2023 | 7:49am
Komuniti setempat di kawasan Bukit Jalil sertai larian santai dan karnival keluarga anjuran Columbia Asia Hospital Bukit Jalil, baru-baru ini.
Komuniti setempat di kawasan Bukit Jalil sertai larian santai dan karnival keluarga anjuran Columbia Asia Hospital Bukit Jalil, baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan.

Larian santai pupuk kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR: Lebih 400 peserta memeriahkan acara larian santai dan karnival keluarga anjuran Columbia Asia Hospital Bukit Jalil, baru-baru ini.

Aktiviti itu adalah program pertama hospital berkenaan sejak ia mula dibuka kira-kira dua bulan lalu.

Pengurus Besar Columbia Asia Hospital Bukit Jalil, Dr Sharonpal Singh, berkata acara yang dikenali sebagai SIHAT! adalah aktiviti yang membabitkan penyertaan masyarakat setempat.

"Meskipun pertama kali diadakan, kami gembira ia berjaya menarik lebih 400 peserta dari kawasan Bukit Jalil serta kawasan sekitarnya termasuk Seri Kembangan, Serdang, Taman OUG, Taman Desa, Sri Petaling dan Sungai Besi.

"Konsep SIHAT! ini program yang bertujuan memupuk kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan," katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan acara pelepasan dengan membunyikan hon udara sambil Pengurus Besar Serantau Columbia Asia, Engku Marina Engku Hatim mengibarkan bendera sebagai peserta memulakan larian.

Larian sejauh tiga dan lima kilometer merentasi beberapa mercu tanda Bukit Jalil seperti taman rekreasi, Stadium Nasional Bukit Jalil, kelab golf dan beberapa kawasan perumahan.

Dr Sharonpal berkata, penganjuran aktiviti kemasyarakatan itu bertujuan menggalakkan komuniti setempat mengambil bahagian dalam kegiatan sihat di samping menyemarakkan masa berkualiti bersama keluarga.

Engku Marina (kanan atas) melepaskan kira-kira 400 peserta yang menyertai larian santai dan karnival.
Engku Marina (kanan atas) melepaskan kira-kira 400 peserta yang menyertai larian santai dan karnival.

"Sebagai jiran baru dalam komuniti ini, kami berasa larian santai dan karnival keluarga aktiviti yang sesuai untuk memperkenalkan Columbia Asia Hospital Bukit Jalil kepada mereka yang tinggal di kawasan ini serta kawasan berdekatan.

"Ia bukan hanya berkaitan dengan gaya hidup sihat, tetapi juga sesuatu yang akan menyatukan komuniti di sini," katanya.

Program SIHAT! menunjukkan dedikasi hospital untuk berhubung dengan masyarakat melalui inisiatif kekeluargaan yang sihat.

"Bukan hanya larian saja menjadikan larian peserta tetapi peserta beramai-ramai menyertai sesi pemanasan badan iaitu Zumba yang penuh bersemangat diketuai oleh Zin Jacinda Webb.

"Larian SIHAT! berjaya mengumpul dana sebanyak RM16,000 untuk disalurkan kepada tiga badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Bukit Jalil.

"Kami berharap dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti komuniti di masa akan datang yang sesuai untuk kanak-kanak, bengkel kesihatan, dan ceramah kesihatan," katanya.

 

Katanya, antara pengisian karnival keluarga ialah 'Young Doctor Challenge'.

"Ia satu aktiviti yang memperkenalkan kanak-kanak dengan tips penjagaan diri yang praktikal serta mengasah kemahiran komunikasi mereka terutama mengenai isu kesihatan.

Berita Harian X