Khamis, 14 Disember 2023 | 5:25pm
Pesakit resdung alami hidung sumbat, berdengkur dan berisiko dapat obstructive sleep apne. - Foto hiasan
Pesakit resdung alami hidung sumbat, berdengkur dan berisiko dapat obstructive sleep apne. - Foto hiasan

Resdung kronik berisiko terhenti pernafasan ketika dalam tidur

PENYAKIT resdung kronik boleh mempengaruhi kualiti hidup individu dengan pelbagai masalah kesihatan jika tidak dirawat.

Pensyarah dari Jabatan Otorinolaringologi, Pembedahan Kepala dan Leher, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Aneeza Khairiyah Wan Hamizan, berkata masalah yang boleh berlaku akibat resdung adalah gangguan tidur, masalah telinga, lelah, masalah sosial, jangkitan sinus dan keracunan makanan.

"Pesakit resdung mengalami hidung sumbat dan ini mengganggu kualiti tidur. Pesakit juga boleh berdengkur dan lebih berisiko untuk mendapat obstructive sleep apnea.

"Obstructive sleep apnea berlaku apabila pesakit berhenti bernafas seketika semasa tidur dan boleh menyebabkan masalah darah tinggi, penyakit jantung dan angin ahmar," katanya.

Menurutnya, antara masalah kesihatan lain yang timbul adalah seperti masalah telinga yang boleh mengganggu deria pendengaran.

Pesakit juga boleh mengalami asma tidak terkawal dan lebih berisiko mendapat jangkitan sinus.

Akibat hilang deria bau, pesakit juga sukar mengenal pasti makanan yang sudah basi dan boleh mendapat keracunan makanan.

Punca resdung kronik

Beliau menjelaskan punca resdung kronik disebabkan radang yang berpanjangan di rongga hidung dan sinus yang dipanggil penyakit sinus kronik (Chronic rhinosinusitis).

Menurutnya, penyakit ini kerap terjadi pada pesakit di pertengahan usia.

"Pesakit biasanya mengalami hidung tersumbat atau hidung berair yang biasanya pekat atau kekuningan.

"Malah, keadaan mereka akan menjadi lebih teruk apabila hilang deria bau, batuk, serta mengalami sakit kepala," katanya.

Punca radang penyakit sinus masih belum dapat dipastikan.

"Namun, terdapat pesakit yang hanya mengalami gejala gatal gatal hidung, bersin, hidung berair yang jernih atau hidung sumbat tanpa hilang deria bau atau sakit muka dan kepala.

"Biasanya, gejala ini terjadi pada pesakit yang masih muda dan akan pulih dengan sendirinya sebelum gejala berulang lagi.

"Ini adalah penyakit alahan hidung atau allergic rhinitis. Namun allergic rhinitis juga boleh membawa kepada penyakit chronic rhinosinusitis," katanya.

"Bagaimanapun, faktor seperti pencemaran, cuaca, merokok, dan jangkitan kuman akan membuat keradangan bertambah teruk."

Jika dibiarkan berlanjutan, gejala ini akan mengganggu kualiti hidup. Malah, resdung juga boleh memberikan kesan sosial kepada pesakit.

"Sesetengah pesakit resdung mengatakan mereka berasa malu apabila berada dalam kalangan orang ramai. Terdapat juga pesakit yang mudah marah kerana tidak cukup tidur akibat resdung."

Rawatan dan pemeriksaan

Menurutnya, resdung masih boleh dirawat meskipun gejala ini tidak akan sembuh sepenuhnya.

"Pesakit boleh mengawal gejala dengan ubat yang diberikan oleh doktor," katanya.

Beliau menjelaskan, pesakit boleh terus menemui doktor untuk memastikan sama ada mereka berisiko mendapat resdung.

"Jika pesakit menghadapi gejala lebih daripada tiga bulan, berkemungkinan pesakit mengalami resdung. Doktor akan mendiagnosis penyakit berdasarkan gejala yang disifatkan oleh pesakit.

"Selain itu, doktor akan membuat pemeriksaan hidung yang akan menentukan sama ada pesakit

mengalami allergic rhinitis atau chronic rhinusinusitis.

Ujian alahan juga akan dibuat untuk memastikan pesakit mengalami alahan atau tidak," katanya.

Pesakit resdung perlu menemui doktor apabila resdung mengganggu aktiviti harian.

"Jika pesakit sukar tidur, berdengkur, atau kurang deria bau, berjumpa dengan doktor adalah langkah awal yang perlu dilakukan.

"Selain itu, jika pesakit mengesyaki terkena jangkitan kuman bakteria perlu mendapatkan diagnosis dengan segera.

Demam, sakit sebelah muka dan hingus bertukar warna adalah simptom yang boleh dilihat dengan jelas.

"Pesakit boleh berjumpa doktor jika mengesyaki terdapat ketumbuhan hidung, hidung berdarah atau hidung yang hanya sumbat di sebelah hidung," katanya.

Berita Harian X