Rabu, 13 Disember 2023 | 7:55am
Pelbagai manfaat mengamalkan rutin harian berjalan untuk tingkatkan tahap kesihatan optimum. - Foto hiasan
Pelbagai manfaat mengamalkan rutin harian berjalan untuk tingkatkan tahap kesihatan optimum. - Foto hiasan

Berjalan 30 minit sehari, umur lebih panjang

SENAMAN mudah dengan berjalan kaki sebagai satu aktiviti kecergasan terkenal dalam kalangan semua peringkat umur.

Ini kerana risikonya rendah dan mudah untuk dilakukan membuktikan banyak manfaat kesihatan dalam pelbagai kajian oleh pakar.

Satu penyelidikan kecergasan selama lapan tahun membabitkan 13,000 orang mendapati individu yang berjalan selama 30 minit sehari mempunyai risiko kematian awal jauh lebih rendah atau umur lebih panjang berbanding mereka yang jarang melakukannya.

Berjalan biasanya boleh membantu:

• Mengurangkan kolesterol

• Menurunkan tekanan darah

• Mempertingkatkan daya tahan kardiovaskular

• Meningkatkan kekuatan tulang

• Membakar kalori dan mengawal berat badan

Berjalan sebagai aktiviti kecergasan yang membolehkan anda mempelbagaikan pilihan.

Sebaik anda mencapai jarak di mana anda boleh berjalan kaki beberapa kilometer dengan mudah, anda sebenarnya sudah boleh untuk mengubah tahap.

Berjalan menaiki bukit, dapat meningkatkan daya tahan kardiovaskular.

Berjalan 30 minit sehari risiko kematian awal jauh lebih rendah berbanding yang jarang melakukannya. Foto hiasan
Berjalan 30 minit sehari risiko kematian awal jauh lebih rendah berbanding yang jarang melakukannya. Foto hiasan

Anda boleh tumpukan perhatian kepada memanjangkan langkah atau meningkatkan kelajuan anda.

Mendengar muzik yang rancak ketika berjalan juga boleh memberi impak kepada latihan anda. Tetapi jika anda memakai fon kepala, kurangkan kadar kelantangan supaya anda dapat mendengar lalu lintas di jalan raya.

Buat catatan kemajuan anda. Ramai pakar mencadangkan supaya anda berjalan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

Pastikan anda dapat berjalan sebagai rutin harian.

Berjalan selama 10 minit tiga kali setiap hari ataupun berjalan selama sejam, dua hingga tiga kali seminggu. Rutin terbaik ini boleh membuatkan anda kekal sihat dan cergas.

Sebagai permulaan, seseorang itu boleh melakukan senaman dengan mengehadkan kepantasan dan jarak mereka berjalan.

Antara panduan berguna:

• Berjalan jarak pendek dan mulakan dengan lima minit berjalan biasa dan secara beransur tingkatkan jarak anda.

• Jangan hiraukan kepantasan tetapi berjalan pada kelajuan yang selesa. Beri tumpuan kepada postur yang baik, pastikan kepala anda tegak dengan lengan bebas bergerak.

• Hayun tangan secara semula jadi dan tarik nafas dalam. Jika anda tidak boleh menarik nafas, kurangkan laju serta elakkan bukit.

• Pastikan anda boleh bercakap ketika sedang berjalan. Jika anda tidak boleh bertutur bermakna anda berjalan terlalu pantas

Aktiviti berjalan mudah dimulakan. Apa yang anda perlu hanyalah pakaian dan kasut yang selesa.

Memastikan pakaian yang agak longgar kerana senaman akan menaikkan suhu badan.

Kasut yang direka khusus untuk berjalan adalah pilihan terbaik. Setiap senaman harus bermula dengan memanaskan badan secara ringkas dan regangan yang mudah.

Berjalan di sekitar rumah atau setempat selama beberapa minit untuk membolehkan pengaliran darah ke otot sebelum anda bertindak untuk meregangkan otot terbabit.

Walaupun berjalan hanya membabitkan otot bawah badan terutama otot di bahagian paha dan betis, jangan lupakan pula bahagian belakang, bahu dan lengan anda untuk diregangkan.

Proses ini membantu melegakan sebarang ketegangan otot dan membuatkan aktiviti berjalan kaki anda lebih menyeronokkan serta lebih berkesan.

Berita Harian X