Isnin, 11 Disember 2023 | 8:34am
Mengawal tekanan dengan menerusi makanan makanan.
Mengawal tekanan dengan menerusi makanan makanan.

5 jenis makanan tenangkan jiwa kacau

KEHIDUPAN moden penuh dengan tekanan. Dari rumah ke pejabat, malah ketika merancang dan berada dalam percutian sekalipun kita tidak dapat lari daripada tekanan.

Disebabkan itu, kita memilih untuk mengambil makanan penenang (comfort food) bagi meredakan tekanan kerana ia kaedah paling mudah dan murah berbanding berjumpa pakar sakit jiwa atau kaunselor atau dengan mengambil ubat penenang.

Ramai menyangka dengan makan, kita akan menjadi lebih tenang berbanding mengambil ubat.

Melegakan tekanan atau jiwa kacau membantu kesejahteraan hidup, jadi makan bagi tujuan itu jatuh dalam lingkup frasa 'Makan Untuk Hidup'.

Ketika fikiran berkecamuk, diri dibelenggu stres, ramai yang memilih untuk makan sebagai jalan keluar.

Kurangkan stres menerusi makanan.- Foto hiasan
Kurangkan stres menerusi makanan.- Foto hiasan

Nikmat pencuci mulut yang manis, minuman bergas dan makanan segera, semua bagai 'menyembuhkan' kekusutan.

Tetapi ramai yang tidak sedar gula penyebab kepada kegemukan dan pelbagai penyakit berbahaya lain seperti artritis, diabetes, depresi, hipertensi, pening kepala, obesiti dan beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan berat badan.

Stres kurangkan daya tumpuan

Kebiasaannya, stres yang tidak terkawal mempercepatkan proses kehilangan tenaga dan daya tumpuan seterusnya menyebabkan kita sering berasa lapar dan memilih untuk makan meskipun perut masih kenyang.

Bagi meredakan kelaparan yang menambahkan lagi kerunsingan itu, kita kebiasaannya memilih untuk mengikut nafsu dan makan yang mana ia kerap kali berakhir dengan peningkatan pengambilan kalori serta menyebabkan pengumpulan lemak degil di dalam badan.

Bagaimanapun, keadaan ini boleh dielakkan jika anda berpegang kepada dua kata kunci iaitu disiplin dan sabar.

Anda perlu menanam dalam minda bahawa walaupun tekanan tidak boleh dielakkan, ia masih boleh diuruskan.

Dengan disiplin dan sabar anda pasti dapat mengelakkan beban kerja yang bertimbun atau apa jua penyebab kepada tekanan itu.

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), berkongsi beberapa tip untuk mengawal tekanan atau stres dengan menggunakan makanan.

1. Vitamin C

Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan vitamin C dapat membantu menurunkan kadar hormon penyebab stres yang dihasilkan otak.

Vitamin C banyak terkandung dalam buah-buahan seperti limau, jambu, paprika merah, kiwi dan strawberi.

Selain itu, buah-buahan ini juga mengandungi kandungan serat tinggi mampu mengelakkan kolesterol jahat daripada mendak di dalam tubuh.

2. Teh panas

Teh panas, apatah lagi yang dicampur dengan vanila atau pudina telah terbukti dalam beberapa kajian Barat untuk membantu mengatasi kecemasan dan meningkatkan daya tumpuan.

Tanpa tambahan banyak gula, teh minuman rendah kalori.

3. Karbohidrat kompleks

Hidangan mengandung karbohidrat menggalakkan pengeluaran hormon serotonin yang membuat anda tenang.

Pilih karbohidrat kompleks dan hindari gula. Misalnya oatmeal, sandwic roti gandum dan kekacang.

Elakkan snek yang berkanji dan kurang serat (biskut). Dapatkan tenaga menerusi snek yang kaya protein, karbohidrat dan lemak. Makan snek sejam sebelum bersenam.

Pastikan saiz hidangan snek terdiri 2/3 karbohidrat dan 1/3 protein dan lemak.

Contohnya roti jagung yang disapu mentega kacang atau jeli, sehiris buah-buahan dan segelas minuman yogurt.

Bersnek 20 minit selepas senaman untuk menggantikan tenaga yang hilang daripada otot.

Pilih snek gabungan karbohidrat dan protein seperti segelas susu coklat rendah lemak, sebiji epal dan sandwic.

4. Serat

Gantikan menu biskut kepada snek yang lebih rendah kalorinya untuk rasa kenyang yang lebih lama.

Amalkan snek yang penuh kandungan air dan serat seperti sup daging, ikan atau sayur serta buah-buahan seperti oren, epal dan pir.

5. Sematkan di fikiran

Semakin besar saiz snek anda, semakin kenyang terasa bila memakannya. Nikmati snek yang kelihatan 'memenuhi' mangkuk seperti salad, bijirin tinggi serat, atau popcorn supaya minda mendapat isyarat "saya sudah makan banyak".

Perangi lemak dengan snek hasil tenusu. Snek seperti yogurt rendah lemak, susu skim dan gulungan keju membantu melengkapkan keperluan harian sebanyak 1,000 miligram.

Ia kaya dengan kalsium yang meningkatkan enzim untuk memecahkan lemak.

Berita Harian X