Sabtu, 9 Disember 2023 | 12:09pm
AE pelbagai subjenis jika tidak dirawat boleh menyebabkan kecederaan otak kekal dan bawa maut. - Foto hiasan.
AE pelbagai subjenis jika tidak dirawat boleh menyebabkan kecederaan otak kekal dan bawa maut. - Foto hiasan.

Alami halusinasi, hilang kewarasan akibat sistem antibodi menyerang otak

ANDA seperti hilang kewarasan. Hari ini anda sihat dan kebimbangan hanya mengenai tugasan kerja. Namun esoknya anda mula mengalami halusinasi dan khayalan.

Ia mungkin simptom penyakit neurologi Autoimmune Encephalitis (AE) yang sering disalah diagnos.

Penyakit yang baharu ditemukan perubatan moden itu, iaitu kira-kira dua dekad, ialah keadaan sistem pertahanan tubuh (antibodi) menyerang otak dan menyebabkan simptom progresif atau bertambah teruk.

AE terdiri daripada pelbagai subjenis dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan kecederaan otak kekal dan membawa maut.

Pakar Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Ellie Kok Huey Tean, berkata AE adalah spektrum penyakit yang boleh menjejaskan fungsi kognitif individu dan menyebabkan pertimbangan pesakit terganggu.

AE sering diabaikan atau lewat dikesan ekoran simptom klinikalnya menyerupai penyakit mental.

Dr Ellie menjelaskan: "AE sering disalah diagnos memandangkan pesakit mempunyai simptom penyakit mental seperti halusinasi, paranoid, berkhayal serta perubahan tingkah laku dan personaliti.

Justeru, ia boleh disalah anggap sebagai penyakit mental.

"AE turut dimanifestasikan menerusi pelbagai simptom lain termasuk sakit kepala, penyusutan fungsi kognitif, sawan dan gangguan pergerakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdedah kepada jangkitan virus

Beliau berkata, antara punca AE ialah terdedah kepada jangkitan virus tertentu seperti virus herpes simplex atau pesakit mengalami kanser.

Kajian menunjukkan penyakit itu banyak menyerang remaja hingga individu berumur 50 tahun dengan wanita lebih berisiko berbanding lelaki dan terdapat jenis AE spesifik lebih tinggi berlaku dalam kumpulan umur atau jantina tertentu.

"Sebagai contoh, N-methyl-D-aspartate receptor (NMDAR) encephalitis lebih cenderung dialami oleh golongan remaja dan dewasa.

"Terdapat kecenderungan penyakit ini berlaku dalam kalangan wanita muda, terutama individu yang mempunyai tumor khususnya 'teratoma gonodal' (tumor yang terletak dalam organ pembiakan) dan boleh menjejaskan sel-sel otak," katanya.

Dr Ellie memaklumkan terdapat jenis AE dikenali sebagai paraneoplastic encephalitis, yang biasanya terjadi apabila seseorang warga emas menghidap kanser tersembunyi, iaitu sel kanser tidak normal mengakibatkan sistem imuniti tubuh menghasilkan antibodi khusus yang menyerang otak, lalu menyebabkan simptom AE berlaku sebelum simptom kanser dikesan.

"Apabila gejala neuropsikiatri berlaku pada pesakit tua, pakar neurologi boleh mengenal pasti tumor kanser menerusi ujian pengimejan.

Biasanya, tumor itu berpunca daripada paru-paru manakala bagi pesakit wanita, ia boleh berpunca daripada ovari atau payudara," kata Dr Ellie.

Beliau menasihatkan ahli keluarga dan penjaga warga tua supaya berwaspada dengan simptom AE susulan golongan itu lebih terdedah kepada jangkitan kuman, iaitu punca utama AE.

Pantau simptom AE

Katanya penting untuk memantau simptom AE dalam warga emas seperti kemerosotan daya ingatan, perubahan tingkah laku, sawan dan masalah gait seperti kehilangan keseimbangan ketika berjalan.

Dr Ellie berkata, bagi merawat AE, pakar dan perunding harus mengikuti kaedah khusus untuk mendiagnosis AE termasuk membezakan antara simptom penyakit mental dengan penyakit neurologi.

Ini merangkumi penilaian kehilangan ingatan jangka pendek pesakit dan gejala penyakit mental yang lain dalam tempoh tiga bulan.

Penunjuk tambahan lain termasuk gangguan pergerakan dan sawan.

Katanya, bagi membantu pakar neurologi mendiagnosis penyakit ini, ujian khusus ialah electroencephalogram (EEG), analisis cecair serebrospina serta MRI otak.

Dr Ellie menasihatkan individu mendapatkan nasihat pakar neurologi jika mereka mengalami gejala penyakit mental secara akut.

"Setelah diagnosis disahkan dan diikuti dengan rawatan imunoterapi yang sesuai, kebanyakan pesakit boleh sembuh daripada AE," katanya.

Rawatan AE

Rawatan juga disasarkan untuk menghapuskan antibodi yang dikesan menyerang sel otak dan rawatan imunoterapi ini akan diberikan menerusi cecair IVIG, pertukaran plasma atau agen immunosuppression.

Bagaimanapun, katanya AE boleh berulang dalam tempoh lima tahun bagi sebilangan kecil pesakit, justeru, rawatan susulan amat penting untuk mencegah atau mengesan AE berlaku semula.

Dr Ellie menekankan kepentingan mengenali gejala AE: "Sama ada AE atau keadaan neurologi yang lain, pengesanan awal adalah asas kepada rawatan yang berkesan.

Bagi individu yang mengalami simptom AE, rundingan dengan pakar kesihatan sangat penting untuk diagnosis dan rawatan yang tepat pada masanya, " katanya. - BERNAMA

Berita Harian X