Selasa, 28 November 2023 | 2:34pm
Mohd Haris ketika ditemubual dalam program Bicara BH bertajuk Memahami Myelofibrosis, secara maya di platform Facebook BH yang dihoskan oleh Fariha Onn, baru-baru ini.
Mohd Haris ketika ditemubual dalam program Bicara BH bertajuk Memahami Myelofibrosis, secara maya di platform Facebook BH yang dihoskan oleh Fariha Onn, baru-baru ini.

Rawatan awal myelofibrosis tingkat kualiti, panjangkan kelangsungan hidup

KERAP terasa penat biarpun tidak aktif, rasa senak selepas makan, letih dan terdapat lebam pada badan yang memerlukan masa yang lama untuk sembuh.

Sekiranya ada mengalami gejala di atas, pastikan anda memberitahu pakar penjagaan kesihatan apabila membuat pemeriksaan kesihatan kerana dikhuatiri anda menghidap myelofibrosis (MF).

Ia adalah gabungan daripada dua perkataan bahasa Inggeris iaitu 'myeloid' yang bermaksud kapasiti pembuatan sel darah dan 'fibrosis' yang bermaksud sel rosak yang bertukar kepada parut.

Myelofibrosis adalah sejenis kanser darah kronik yang jarang berlaku dan boleh berkembang atau menjadi lebih teruk di mana sumsum tulang, iaitu tisu lembut di dalam kebanyakan tulang tidak dapat menghasilkan sel darah normal lalu digantikan oleh tisu parut berserabut.

Ia juga adalah sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dipanggil "myeloproliferative neoplasm" (MPN) atau kanser sumsum tulang atau kanser darah di mana pesakit myelofibrosis mengalami kecacatan pada sumsum tulang mereka yang mengakibatkan pengeluaran sel darah yang tidak normal, menyebabkan parut tisu terbentuk.

Timbalan Presiden Persatuan Hematologi Malaysia, Dr Mohd Haris Fadzillah Abdul Rahman, berkata gejala yang sering dikaitkan dengan myelofibrosis adalah disebabkan pembesaran limpa atau splenomegali yang merupakan penemuan lazim dalam myelofibrosis dan terjadi apabila limpa terpaksa bekerja keras untuk menghasilkan sel darah akibat sum-sum tulang pesakit yang rosak tidak dapat menampung penghasilan sel darah yang normal.

Beliau berkata, pesakit akan sering letih, lesu dan mengalami ketidakselesaan di perut atau di bawah rusuk kiri dan/atau rasa kenyang walaupun belum makan atau hanya makan dalam jumlah yang sedikit.

"Pesakit dinasihatkan untuk sentiasa memaklumkan dan berkongsi sebarang perubahan kepada pakar penjagaan kesihatan tentang gejala dan mengesannya secara berkala kerana myelofibrosis berpotensi untuk berubah dari masa ke semasa.

"Ia bukan sahaja membantu mengenal pasti arah aliran dalam kesihatan anda, tetapi ia juga boleh membantu anda dan doktor atau pakar penjagaan kesihatan lebih memahami cara mengurus dan melaraskan penjagaan anda.

"Jangan menganggap bahawa sebarang gejala terlalu kecil atau tidak berbaloi untuk diberi perhatian kerana ada kemungkinan ia boleh bertukar kepada leukemia dalam 2 hingga 5 peratus dalam masa 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara BH bertajuk Memahami Myelofibrosis, secara maya di platform Facebook BH yang dihoskan oleh Fariha Onn, baru-baru ini.

Rujuk pakar, lakukan diagnosis

Image

Dr Mohd Haris berkata, memantau dan berbincang dengan pakar kesihatan tentang gejala membantu pesakit memahami cara myelofibrosis mempengaruhi anda, mengetahui perubahan myelofibrosis dari semasa ke semasa dan berbincang untuk menguruskan myelofibrosis dan simptomnya.

Contohnya, maklumkan kepada doktor di peringkat awal apabila pesakit mengalami demam dan mudah lebam atau luka kerana kapasiti untuk membekukan darah berkurangan.

Bagaimanapun, terdapat pesakit myelofibrosis yang didiagnosis tidak mempunyai gejala yang jelas kerana limpa yang membesar atau kiraan sel darah yang tidak normal mungkin dapat dilihat pada pemeriksaan darah.

"Sebaik sahaja limpa yang membesar atau kiraan sel darah yang tidak normal dikesan, doktor anda mungkin merujuk anda kepada pakar kaji darah untuk mengesahkan diagnosis anda dan menyelaraskan penjagaan anda.

"Selepas melalui diagnosis myelofibrosis, doktor akan menetapkan tahap risiko seperti tinggi, sederhana atau rendah, berdasarkan pelbagai faktor seperti umur (berumur lebih daripada 65 tahun), simptom, anemia, kiraan darah putih dan platelet, bilangan sel (sel darah tidak matang), faktor genetik serta kekerapan pemindahan darah," katanya.

Lakukan pemeriksaan kesihatan berkala

Dr Mohd Haris berkata, beritahu doktor sekiranya pesakit melihat gejala baharu atau semakin teruk di antara temu janji pemeriksaan kesihatan.

Katanya, tiada kekangan daripada segi pemakanan sebaliknya pesakit hanya perlu mengamalkan diet seimbang dan terus melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

"Walaupun berpotensi menjadi agresif, rawatan awal banyak bergantung kepada gejala yang ada pada pesakit. Oleh itu, perbincangan antara pakar dan pesakit adalah penting bagi menentukan halatuju rawatan yang perlu.

"Rawatan lebih awal dapat meningkatkan kualiti dan memanjangkan kelangsungan hidup pesakit myelofibrosis selain dapat mengawal gejala dari kekurangan darah dan perbengkakan limpa.

"Lakukan pemeriksaan kesihatan, fizikal dan ujian darah secara berkala bagi mengenalpasti myelofibrosis dan juga penyakit lain," katanya.

Orang ramai diharapkan lebih peka dengan simptom dan dapatkan rawatan perubatan lebih awal dan mematuhi rawatan serta memantau gejala dengan berhati-hati.

Bersikap terbuka dengan doktor untuk berkongsi keadaan atau sebarang kebimbangan supaya pelan rawatan berfungsi dengan terbaik untuk pesakit.

Berita Harian X