Selasa, 28 November 2023 | 11:34am
Ramai lelaki tidak menyedari hidap prostat dianggap pembunuh senyap. - Foto hiasan
Ramai lelaki tidak menyedari hidap prostat dianggap pembunuh senyap. - Foto hiasan

Lelaki kencing tak lawas

APABILA ditanya kepada lelaki di mana prostat mereka, ramai memberikan jawapan yang salah atau mereka tidak pasti.

Ramai juga yang langsung tidak tahu apa itu prostat. Organ lelaki ini adalah kelenjar sebesar kacang walnut yang terletak pada pangkal pundi kencing.

Kelenjar ini menghasilkan cecair yang melindungi dan menyuburkan sperma, manakala ototnya memastikan pundi kencing tidak mengalami kebocoran.

Bagaimanapun, organ penting ini boleh menimbulkan masalah apabila seseorang lelaki itu semakin menginjak usia dan salah satunya ialah hiperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kita-kira 16 peratus lelaki Malaysia berusia lebih 40 tahun menghidap beberapa tahap BPH, dan angka itu meningkat kepada 33 peratus dalam kalangan lelaki berusia 75 tahun dan ke atasi.

Meskipun keadaan ini lazim dihidapi kebanyakan lelaki, BPH selalunya berlaku tanpa disedari, menyebabkan ramai individu tidak menyedari keadaan mereka dan menderita secara senyap.

Pakar Perunding Urologi dan Endourologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway,

Dr Christopher Lee Kheng Siang, berkata

BPH ini berlaku akibat pembesaran kelenjar prostat bukan kanser.

Ia boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang lelaki akibat gejala urinari yang menyulitkan." katanya.

Kajian NHMS 2019 turut menguatkan lagi kenyataan Dr Christopher, yang mana tiga daripada lima lelaki yang disahkan menghidap BPH mempunyai tahap kualiti hidup yang rendah dan mengalami masalah kencing tidak lawas.

"BPH adalah penyakit serius yang mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan dan kesukaran pada peringkat awal.

Hiperplasia prostat benigna boleh jejaskan kualiti lelaki. - Foto hiasan
Hiperplasia prostat benigna boleh jejaskan kualiti lelaki. - Foto hiasan

"Namun, jika tidak ditangani sebaiknya, ia boleh menjadi semakin teruk. Keadaan yang dikenali sebagai pengekalan kencing akut ini mengakibatkan uretra menjadi tersumbat sepenuhnya sekali gus menyebabkan ketidakupayaan untuk membuang air kecil serta menimbulkan risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing, dan pembentukan batu karang." katanya.

Gejala senyap BPH

Ramai lelaki menganggap gejala urinari ini sebagai sebahagian daripada proses penuaan semula jadi tanpa menyedari bahawa ia keadaan perubatan yang perlu diberi perhatian.

Jika anda tidak mengambil alkohol atau minum air berlebihan sebelum tidur, anda tidak sepatutnya terjaga di tengah malam untuk pergi ke bilik air.

Beliau turut mengenal pasti beberapa gejala lain yang perlu diperhatikan oleh golongan lelaki:

* Kerap membuang air kecil, terutama di waktu malam hingga mengganggu corak tidur

* Terdesak membuang air kecil dan kesukaran menahan air kecil hingga menyebabkan sedikit kebocoran.

* Sukar untuk mula membuang air kecil kerana ia terhalang oleh uretra, menjadikan penghidapnya sukar untuk mula kencing dan terpaksa meneran semasa membuang air kecil.

* Aliran air kencing tidak lancar kerana uretra menjadi sempit disebabkan pembesaran prostat.

* Kencing tidak lawas atau meleleh sesudah membuang air kecil, menyebabkan penghidapnya sering berasa tidak selesa atau kerap membuang air kecil.

* Ketidakupayaan membuang air kecil dalam kes-kes yang serius apabila seseorang lelaki tidak boleh membuang air kecil. Ia keadaan kecemasan dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera.

Bertindak Ttngani BPH

Jelas Dr Christopher, antara golongan berisiko lebih tinggi untuk mendapat BPH ialah lelaki berusia lebih 40 tahun, mempunyai sejarah keluarga mengalami BPH, individu mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung, masalah peredaran darah, diabetes jenis 2, atau kurang bersenam.

Dr Christopher Lee Kheng Siang
Dr Christopher Lee Kheng Siang

Bagaimanapun, terdapat cara berkesan menangani keadaan ini, bergantung kepada tahap penyakit:

* Bagi gejala ringan, pengubahsuaian gaya hidup seperti mengawal pengambilan cecair serta mengurangkan pengambilan kafein dan gula boleh membantu meringankan gejala BPH.

* Bagi gejala sederhana, pengambilan ubat-ubatan boleh membantu melegakan otot prostat dan uretra atau mengurangkan saiz prostat secara beransur-ansur bagi membolehkan air kencing mengalir dengan lancar.

* Bagi lelaki yang mengalami BPH lebih teruk atau mereka yang tiada kesan dengan ubat-ubatan, beberapa prosedur pembedahan yang berbeza boleh dilakukan, dan pilihan yang terbaik bergantung kepada keadaan pesakit.

"Pesakit perlu berunding dengan pengamal penjagaan kesihatan profesional dan meneroka pilihan sesuai dengan keadaan.

Pengesanan awal penting

Pemeriksaan berkala dapat membantu memastikan diagnosis dilakukan tepat pada masanya dan pengurusan BPH sesuai dapat diberikan.

Lelaki perlu memahami mendapatkan nasihat perubatan dan melihat pilihan rawatan yang ada boleh meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara," ulas Dr Christopher.

Bagi pesakit merasakan mereka menghidap atau mengesyaki mereka mungkin menghidap BPH, Dr Christopher mengesyorkan agar mereka melakukan ujian Skor Gejala Prostat Antarabangsa (IPSS) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menilai gejala BPH dan tahap keseriusan penyakit itu. Beliau menambah,

"Dengan melakukan ujian darah dan air kencing setahun sekali bagi mengesan jangkitan, kanser prostat atau BPH serta berjumpa dengan pakar urologi atau doktor sememangnya boleh membantu, tetapi skor gejala itu sendiri dapat memberikan banyak maklumat kepada kami," terangnya.

Pilihan rawatan untuk BPH bergantung pada tahap kronik penyakit:

Dr Christopher juga berkongsi beberapa pilihan rawatan pembedahan bagi kes BPH yang sederhana hingga teruk, termasuk:

• Reseksi Prostat Melalui Uretra (TURP) adalah salah satu pembedahan yang paling biasa dan diamalkan secara meluas untuk merawat BPH dalam 40 tahun lalu, namun mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini, khususnya disfungsi seksual.

• Terapi wap air atau terapi gelombang mikro ialah prosedur moden, invasif minimum yang dilakukan sebagai rawatan pesakit luar dan sesuai untuk kes prostat bersaiz sederhana. Ia mempunyai kelebihan tambahan iaitu risiko kesan sampingan seksual yang jauh lebih rendah.

• Laser enukleasi atau bipolar enukleasi pada prostat paling sesuai dilakukan untuk prostat besar sebagai alternatif kepada kaedah pembedahan TURP.

• Prostatektomi robotik ialah pembedahan tercanggih untuk prostat yang sangat besar sebagai alternatif kepada pembedahan terbuka untuk membuang kelenjar prostat.

Kejituan dan Kemajuan: Kaedah Pembedahan Robotik untuk Merawat Kes BPH yang Teruk

Pembedahan robotik untuk BPH telah mengubah landskap rawatan, menawarkan pendekatan invasif minimum dengan manfaat yang luar biasa kepada pesakit.

Dr Christopher berkongsi, pembedahan invasif minimum akan menembusi pelvis secara mendalam yang mengurangkan impak kepada ketebalan dinding abdomen pesakit. Ia melibatkan inisisi kecil yang tidak melebihi satu sentimeter berbanding kaedah pembedahan tradisional yang membuat potongan sepanjang 15 hingga 20 sentimeter pada bahagian tengah abdomen.

Kaedah pembedahan robotik untuk BPH dapat mengurangkan kesakitan dengan ketara dan mempercepat proses pemulihan pesakit.

Pesakit juga boleh meneruskan rutin harian mereka dengan lebih cepat berbanding kaedah pembedahan tradisional.

Memperkasa pengurusan kesihatan

Memahami kesihatan urinari dan mengetahui bahawa terdapat terdapat kaedah untuk merawatnya dapat memberi harapan kepada ramai lelaki untuk mencari rawatan yang sesuai bagi menjalani kehidupan

mereka dengan sempurna.

"Lelaki tidak sepatutnya menderita dalam senyap. Mereka perlu melakukan saringan dan mendapatkan rawatan yang sesuai untuk kembali kepada gaya hidup normal mereka.

Tidak perlu menganggap gejala urinari sebagai sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan. Dengan mendapatkan bantuan dan memahami pilihan rawatan yang ada adalah cara yang bijak dan memperkasakan," nasihat Dr Christopher.

Berita Harian X