Ahad, 26 November 2023 | 9:39am
Gangguan dan kitaran haid yang tidak normal antara perkara perlu diberi perhatian untuk elak kemungkinan petanda kanser dinding rahim. - Foto hiasan
Gangguan dan kitaran haid yang tidak normal antara perkara perlu diberi perhatian untuk elak kemungkinan petanda kanser dinding rahim. - Foto hiasan

Gangguan haid petanda kanser dinding rahim

KITARAN haid sebahagian daripada rutin kehidupan wanita yang sudah akil baligh dan normal berlaku sebulan sekali antara 21 sehingga 35 hari daripada satu kitaran ke kitaran yang lain.

Aliran haid yang normal, antara dua sehingga tujuh hari dengan penggunaan tuala wanita tidak melebihi satu tuala per jam pada hari aliran berat dan tanpa ada darah beku.

Kitaran haid yang normal membolehkan wanita terus melakukan aktiviti harian tanpa mengalami keletihan atau kekurangan tenaga.

Selepas selesai pendarahan haid, pendarahan tidak akan berlaku sehingga kitaran haid seterusnya.

Wanita juga tidak sepatutnya mengalami pendarahan selepas berhubungan intim.

Darah haid terhasil setiap kitaran bulanan disebabkan oleh kitaran naik turun hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Apabila tiba penghujung kitaran haid dan tiada kandungan terbentuk di dalam rahim, hormon progesteron akan berkurangan menyebabkan dinding rahim tidak disokong dan akhirnya luruh dalam bentuk pendarahan.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Felo Gine-Onkologi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Noor Azura Noor Mohamad.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Felo Gine-Onkologi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Noor Azura Noor Mohamad.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Felo Gine-Onkologi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Noor Azura Noor Mohamad, berkata pendarahan ini berlaku secara semula jadi bagi meluruhkan dinding rahim lama dan digantikan dengan lapisan baru.

Proses peluruhan dan penggantian dinding rahim ini berlaku pada setiap kitaran haid yang normal.

"Dinding rahim diperbaharu ini berfungsi sebagai perumah yang bakal menerima benih yang disenyawakan sekiranya berlaku proses persenyawaan dalam kitaran haid yang baru.

"Proses peluruhan dinding rahim boleh terjejas sekiranya kitaran haid dari satu kitaran ke kitaran yang lain menjadi semakin berpanjangan, contohnya daripada 30 hari menjadi 60 hari.

"Apabila dinding rahim terkumpul dalam jangkamasa melebihi kitaran haid normal iaitu 30 hari, kelenjar dinding rahim akan menjadi semakin bercambah dan memadat sesama sendiri," katanya.

Sel-sel normal akan menjadi semakin tidak sihat dan akhirnya membawa kepada sel menjadi besar (hyperplasia) atau tidak normal (atypical) atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, sel-sel ini akan berubah menjadi sel barah dinding rahim.

Wanita berumur 40 tahun dan ke atas akan mula mengalami keadaan pra-putus haid (pre-menopause) disebabkan oleh rezab folikel telur semakin menyusut.

Ada wanita mencapai fasa putus haid pada umur ini bergantung kepada faktor keturunan.

Fasa praputus haid berlaku apabila rezab folikel telur semakin berkurangan, bertepatan dengan pergerakan umur.

Dalam fasa ini, kadar penghasilan hormon wanita, iaitu estrogen dan progesteron sudah mula menjadi tidak stabil.

"Gangguan kadar hormon ini menyebabkan haid tidak teratur, kesukaran untuk fokus dalam urusan harian, tidur yang terganggu, berpeluh dan kesejukan secara rawak, dan ada juga yang mengalami kemurungan," katanya.

Gangguan rutin haid

Gangguan rutin haid boleh juga berpunca daripada masalah kesihatan pada organ tubuh selain rahim.

Terdapat wanita yang mengalami kurang hormon tiroid (hipotiroid) pada usia begini dan mengalami aliran haid yang lebih lama dari tujuh hari.

Ada juga wanita yang mengambil ubat cair darah seperti aspirin dan klopidogrel bagi merawat penyakit serangan jantung.

Ubat-ubatan ini menyebabkan darah haid lambat membeku dan mengalir keluar dengan kadar lebih cepat, menyebabkan berlakunya ketirisan sekiranya tidak memakai tuala wanita yang bersesuaian.

Ubat mengandungi steroid juga boleh menyebabkan gangguan haid kerana steroid ini akan diserap dan ditukarkan kepada hormon wanita, iaitu estrogen dan progesteron.

Kegemukan jadi punca

Kegemukan antara punca pembentukan sel pra-barah dan barah dinding rahim.

Lemak berlebihan dalam badan akan ditukarkan kepada estrogen yang akan merangsang pertumbuhan dinding rahim.

Dengan kegemukan, wanita terdedah kepada risiko menghidapi penyakit kencing manis. Kandungan gula berlebihan daripada kencing manis mengurangkan keupayaan sel-sel dinding rahim untuk memperbaiki kerosakan genetik, menyebabkan sel-sel itu bertukar menjadi sel pra-barah mahu pun barah.

Masalah gangguan aliran haid

Masalah gangguan aliran haid yang serius adalah yang berpunca dari barah dinding rahim.

Barah ini biasanya boleh dikesan pada peringkat awal (tahap 1) kerana wanita akan mengalami pendarahan yang lebih banyak berbanding biasa.

Ada kalangan wanita yang mengalami pendarahan terlalu banyak sehingga menyebabkan lemah badan dan memerlukan pemindahan darah.

Namun, perubahan pada pola pendarahan ini mungkin berlaku secara beransur-ansur, menyebabkan ada kalangan wanita yang kurang peka untuk mengesan perubahan ini dan membiarkan barah berlarutan sehingga tahap lanjut (tahap 4).

Wanita yang mengalami perubahan pola kitaran haid perlu berhubung segera dengan pakar perubatan keluarga atau pakar sakit puan.

Melalui temu janji di klinik, wanita akan ditanya mengenai gejala yang dialami dan kesannya kepada keadaan kesihatan seperti cepat letih atau jantung berdegup lebih laju daripada biasa.

Adakalanya wanita tidak menyedari kehilangan darah haid terlalu banyak sehingga menyebabkan letih teramat dan wajah pucat.

Jadi, wanita digesa untuk tidak berlengah menunggu tarikh temu janji sebaliknya, perlu terus hadir ke unit kecemasan bagi mendapatkan rawatan segera.

Kesan kanser pada dinding rahim

Selepas menjalani proses temu janji dan pengesanan simptom, pemeriksaan fizikal dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran ketumbuhan pada bahagian leher, bahu, payudara, ketiak dan abdomen.

Ujian imbasan ultrabunyi akan dijalankan bagi mengenal pasti ketebalan dinding rahim, saiz rahim, kilang telur, juga kehadiran cairan dalam rongga pelvik.

"Ujian spekulum pula dilakukan untuk wanita yang pernah melakukan hubungan intim bagi memeriksa keadaan faraj dan pangkal rahim, dan seterusnya mengambil calitan pangkal rahim dan juga sampel dinding rahim.

"Sampel itu akan dihantar ke makmal untuk tempoh dua hingga tiga minggu untuk dianalisa.

Apabila barah dinding rahim dikesan melalui ujian sampel dinding rahim, ujian imbasan CT akan dilakukan bagi mengenalpasti kerebakan barah di organ lain. Wanita akan diberitahu mengenai pilihan rawatan yang ada, bergantung kepada keadaan kesihatan dan juga tahap barah yang dikenal pasti.

Pembedahan mengeluarkan rahim berserta kilang telur dan salur peranakan adalah pilihan rawatan utama.

Rawatan susulan akan ditawarkan bergantung kepada keputusan bacaan rahim yang dibedah.

Berita Harian X