Sabtu, 14 Oktober 2023 | 9:30am
Pemeriksaan mamogram sebagai langkah awal mengesan kemungkinan wanita hidap kanser payudara. - Foto hiasan
Pemeriksaan mamogram sebagai langkah awal mengesan kemungkinan wanita hidap kanser payudara. - Foto hiasan

Ketulan di payudara mungkin petanda kanser

Kanser payudara pembunuh dalam diam. Lantas wanita yang lebih berisiko mendapat penyakit ini perlu sentiasa prihatin terhadap penjagaan kesihatan.

Dalam hal ini, perkara penting adalah dengan membuat pemeriksaan secara berkala termasuk saringan mamogram.

Namun, sejauh manakah keberkesanan pemeriksaan mamogram dalam pengesanan awal kanser payudara?

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Radiologi Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan, Dr Nik Munirah Nik Mahdi, berkata mamogram mampu mengesan ketulan payudara setahun sebelum ia dapat dikesan atau dirasai oleh pesakit.

Katanya, kelebihan utama pemeriksaan mamografi adalah dapat mengurangkan kadar kematian yang berkaitan dengan kanser payudara.

"Pengurangan relatif berbeza daripada kira-kira 15 sehingga 25 peratus dalam percubaan rawak kepada anggaran yang lebih terkini, iaitu sebanyak 13 hingga 17 peratus dalam meta-analisis kajian pemerhatian," katanya.

Dr Nik Munirah Nik Mahdi
Dr Nik Munirah Nik Mahdi

Kajian 2020 diterbitkan dalam Pusat Maklumat Bioteknologi Kebangsaan, menekankan pemeriksaan kanser payudara secara berkala nampaknya dikaitkan dengan penurunan ketara dalam bilangan kes kanser payudara yang teruk dan maut.

Pengurangan ini bukan semata-mata disebabkan oleh penambahbaikan dalam kaedah rawatan tetapi, pada tahap tertentu, adalah hasil daripada proses penyaringan itu sendiri.

Apakah itu mamogram?

Mamogram ialah imej x-ray payudara anda. Ia boleh digunakan sama ada untuk pemeriksaan kanser payudara atau untuk tujuan diagnostik, seperti untuk menyiasat simptom atau penemuan luar biasa pada ujian pengimejan yang lain.

Siapakah yang boleh menghidapi kanser payudara?

Kanser payudara adalah kanser yang utama dalam kalangan wanita dan ia menjejaskan satu daripada lapan wanita di seluruh dunia, dengan kadar kira-kira satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko.

Menurut Yayasan Kanser Payudara Malaysia, wanita Cina paling berisiko dengan kadar insiden 59.7 peratus setiap 100,000; diikuti India (55.8 peratus) dan Melayu (33.9 peratus).

Apakah tanda-tanda kanser payudara?

1. Ketulan baharu di payudara atau ketiak.

2. Penebalan atau bengkak pada bahagian payudara.

3. Kerengsaan atau lesungan pada kulit payudara.

4. Kulit kemerahan atau menggelupas di kawasan puting atau payudara.

5. Puting ditarik masuk atau sakit di kawasan puting.

6. Keputihan selain susu ibu, termasuk darah.

7. Sebarang perubahan dalam saiz atau bentuk payudara.

8. Sakit di mana-mana bahagian payudara.

Apakah faktor risiko yang tidak boleh diubah suai untuk kanser payudara?

1. Pertambahan umur lebih 50 tahun

2. Mutasi genetik: BRCA1 dan BRCA2, berisiko tinggi mendapat kanser payudara dan ovari.

3. Sejarah reproduktif: Haid awal dan menopaus lewat

4. Mempunyai payudara yang padat.

5. Sejarah peribadi kanser payudara atau kanser tertentu yang bukan penyakit payudara.

Sesetengah penyakit payudara bukan kanser seperti atypical hyperplasia atau lobular carcinoma in situ dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

6. Sejarah keluarga kanser payudara atau ovari

7. Rawatan terdahulu yang menggunakan terapi radiasi. Wanita yang menjalani terapi radiasi pada dada atau payudara sebelum umur 30 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara di kemudian hari.

Apakah faktor risiko boleh diubah suai untuk kanser payudara?

1. Tidak aktif secara fizikal.

2. Berat badan berlebihan atau mengalami obesiti selepas menopaus.

3. Mengambil hormon. Sesetengah bentuk terapi penggantian hormon (termasuk estrogen dan progesteron) yang diambil semasa menopaus boleh meningkatkan risiko kanser payudara apabila diambil selama lebih daripada lima tahun.

Kontraseptif oral tertentu (pil kawalan kelahiran) juga didapati meningkatkan risiko kanser payudara.

4. Sejarah reproduktif. Mengalami kehamilan pertama selepas umur 30 tahun, tidak menyusu dan tidak pernah hamil jangka penuh boleh meningkatkan risiko kanser payudara.

5. Minum alkohol.

Bolehkah lelaki terkena kanser payudara?

Ya. Ia adalah penyakit yang jarang berlaku, menyumbang kurang daripada satu peratus daripada semua diagnosis kanser payudara di seluruh dunia.

Hanya satu dalam seribu lelaki yang akan didiagnosa dengan kanser payudara. Sejarah keluarga dan mutasi genetik adalah kedua-dua faktor risiko yang penting.

Sebagai langkah pencegahan, apakah jenis saringan yang perlu dilakukan?

Saringan mammografi pada umur 40 dan ke atas setiap tahun atau dua tahun sekali mengikut budi bicara doktor anda.

Untuk yang berisiko tinggi, disarankan saringan mammogram pada seawal usia 35 tahun.

Berita Harian X