Ahad, 6 Ogos 2023 | 10:00am
Ambil peluang ‘sains dan masa’ untuk bergerak lebih 100 langkah ke hadapan dalam menangani isu obesiti. - Foto hiasan
Ambil peluang ‘sains dan masa’ untuk bergerak lebih 100 langkah ke hadapan dalam menangani isu obesiti. - Foto hiasan

Pembedahan bariatrik, belon intragastrik kaedah selamat dan cepat kuruskan badan

[email protected].

RAMAI individu mula menunjukkan keinginan menjalani gaya hidup sihat dan berusaha mencapai berat ideal.

Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) dijalankan setiap empat tahun, iaitu data pada 2019 mencatatkan 50.1 peratus populasi dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan, iaitu 30.4 peratus atau obesiti (19.7 peratus).

Pakar Perunding Pembedahan Gastrousus dan Obesiti Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood, berkata ada beberapa kaedah menurunkan berat badan dengan cara yang lebih cepat, selamat dan berkesan.

Katanya, antaranya pembedahan bariatrik, namun ia bukan jalan pintas untuk kurus, tetapi alternatif meningkatkan kualiti hidup dan pemulihan kesihatan.

Jadi, pilihan pembedahan hanya disyorkan selepas pesakit terus mengalami obesiti ketara, iaitu indeks jisim tubuh (BMI) 37.5 ke atas atau gagal mencapai sasaran turunkan berat walaupun menjalani pemantauan klinik (obesiti), menghidap kencing manis tidak terkawal dan masalah kesihatan lain akibat kegemukan.

"Mereka akan dirujuk kepada klinik bariatrik bagi menilai tahap kesesuaian rawatan langkah tiga dan empat, iaitu kaedah belon atau pembedahan bariatrik.

"Untuk pembedahan bariatrik ada dua kaedah, iaitu pertama, gastrektomi lengan (sleeve gastrectomy), iaitu 70 peratus perut dikecilkan dan hanya satu pertiga bahagian itu berfungsi.

"Kedua, prosedur pintasan gastrik, iaitu proses membuat kantung kecil di perut bagi menghubungkannya terus ke usus kecil supaya dapat mengurangkan penyerapan nutrisi terutama lemak atau karbohidrat dan kalori dalam badan, sekali gus menurunkan paras gula dalam darah," katanya.

Ambil peluang 'sains dan masa'

Beliau juga pakar perunding pembedahan esofagus, perut, usus kecil, pedih hulu hati atau refluks berkata, pesakit hanya disyorkan menjalani pembedahan bariatik selepas usaha diet dan bersenam berbulan atau bertahun menurunkan berat badan tidak berhasil.

"Jadi kita perlu mengambil peluang 'sains dan masa' untuk bergerak lebih 100 langkah ke hadapan dalam menangani isu obesiti.

"Apabila berat berlebihan, mereka berdepan 108 masalah kesihatan dan risiko 13 kanser.

"Lazimnya, pakar tidak melakukan pembedahan untuk sakit kronik kerana mereka terdedah pelbagai komplikasi," katanya HCTM, pusat pembedahan terbesar bariatrik dengan setakat ini lebih 3,500 prosedur dilakukan dan lebih 1,000 pesakit melakukan penggunaan belon jenis Allurion hanya perlu ditelan.

Isu obesiti kian membimbangkan

Dr Nik Ritza juga Ahli Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk Pengurusan Obesiti, berkata obesiti kian membimbangkan dan semakin tidak terkawal.

Malah, kelompok itu boleh berisiko kepada pesakit komorbid, iaitu individu menghidap dua atau lebih penyakit tidak berkaitan serentak.

"Mereka ini menghidap kencing manis, darah tinggi, kolesterol, mengalami penyempitan saluran pernafasan ketika tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA), sakit tulang sendi, sukar mengandung serta lain akibat kegemukan.

"Lebih merisaukan kadar kencing manis meningkat 5.5 peratus dalam sedekad lalu, walaupun dari segi teknologi ada rawatan serta banyak ubat obesiti, namun kadarnya naik daripada 13 kepada 17.5 peratus sekali gus menyaksikan ramai menghidap diabetes jenis 2," katanya.

Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood
Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood

Kaedah belon Allurion

Berkenaan penggunaan belon Allurion dalam rawatan obesiti, Dr Nik Ritza Kosai, menjelaskan ia berkesan menurunkan enam hingga 15 peratus berat, manakala bariatik boleh menurunkan 30 hingga 40 peratus lebihan berat dalam masa empat hingga enam bulan.

Prosedur ini disyorkan mereka mempunyai BMI 27.5 ke atas.

"Tujuannya untuk mengawal selera makan, membuatkan cepat kenyang dan kawal kelaparan supaya isyarat hipotalamus diterima otak mengurangkan hormon ghrelin.

"Ini juga membuatkan hilang selera makan, kenyang dan tidak kelaparan.

"Cuma intragastrik belon rawatan tanpa pembedahan, mengawal selera makanan, kekenyangan dan kelaparan, berbanding sebelum prosedur mereka makan bertambah.

"Dengan kaedah belon hanya berupaya menghabiskan suku pinggan sekali gus mengurangkan kalori, jadi badan membakar lemak dan membantu badan langsing," katanya.

Telan kapsul belon

Katanya, kaedah memasukkan belon sebelum ini dibuat melalui endoskopi tetapi dengan cara terbaharu, pesakit hanya perlu menelan kapsul belon yang dimasukkan cecair patosoium bikarbonat yang boleh mengembang 550 milimeter dan berada dalam perut selama empat bulan.

"Kemudian, ia akan keluar menerusi najis atau ada pesakit muntah. Kesan samping ringan dilalui mereka seperti rasa terlalu kenyang, kekejangan dan muntah, pedih ulu hati. Kita memberikan ubat diperlukan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa kelompok tidak sesuai kaedah belon, iaitu yang pernah menjalani pembedahan kanser di perut termasuk bariatik kerana parut lama boleh menyebabkan belon terbabit pecah.

"Juga pesakit yang ada ensofagus sempit dan tidak boleh menelan kapsul, ada kontraindikasi relatif dan dalam kalangan wanita mengandung," katanya.

Formula turunkan berat badan

Kongsinya, individu mereka yang mempunyai masalah berat badan perlu menggunakan formula 80 peratus diet pemakanan dan 20 peratus senaman, termasuk mengubah gaya hidup, defisit kalori serta meningkatkan kadar pembakaran kalori melalui bersenam.

"Sebagai contoh, untuk mengurangkan satu kilogram berat, kita perlu membakar sekitar 7,700 kalori.

"Sekiranya berhasil mengurangkan 500 hingga 1,000 kalori setiap hari, maka anda akan dapat menurunkan berat badan sebanyak sekilogram seminggu atau empat kilogram sebulan.

"Namun, perlu diingat berat badan manusia bukan saja mengandungi lemak, tetapi juga otot, air dan tisu lain dalam badan," katanya.

Info: Pengkelasan BMI Malaysia (Asia Pasifik)
* Sihat (unggul) : 18 - 23.5
* Berlebihan : 23.5 - 27.5
* Obes tahap 1 : 27.5 - 32.5
* Obes tahap 2 : 32.5 - 37.5
* Obes Tahap 3 : 37.5 -47.5
* Terlalu obes : Melebihi 47.5

Pengkelasan BMI WHO* Sihat (unggul) : 18 - 24.5* Berlebihan : 25.0 - 29.9* Obes tahap 1 : 30.0 - 35.* Obes tahap 2 : 35.0 - 39.9 * Obes Tahap 3: Melebihi 40.0

Berita Harian X