Ahad, 9 April 2023 | 10:45am
Kekurangan kalium berpanjangan berisiko lemah otot, kejang, sembelit dan jantung berdebar. - Foto hiasan
Kekurangan kalium berpanjangan berisiko lemah otot, kejang, sembelit dan jantung berdebar. - Foto hiasan

Kalium rendah berisiko ancam nyawa

JIKA seseorang itu kerap mengalami muntah atau cirit-birit ketika berpuasa, berkemungkinan besar individu itu berhadapan dengan masalah potassium atau kalium rendah atau lebih dikenali sebagai hipokalemia.

Hipokalemia adalah satu situasi di mana paras kalium dalam badan agak rendah daripada paras normal yang sepatutnya, iaitu antara 3.5 dan 5.0 mmol/L.

Kalium membantu membawa isyarat elektrik ke sel-sel di dalam badan dan ia penting untuk sel saraf serta otot berfungsi dengan baik terutamanya sel-sel otot jantung. 

Tahap kalium yang sangat rendah, iaitu kurang daripada 2.5 mmol/L boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan segera.

Punca hipokalemia

Mengulas lanjut mengenai hipokalemia, Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Ampang, Dr Norazinizah Ahmad Miswan, berkata banyak punca yang boleh menyebabkan potassium rendah termasuk pengambilan diuretik atau pil pembendung air, cirit-birit dan penyalahgunaan laksatif atau julap secara berterusan.

Katanya, terdapat juga penyakit yang boleh menurunkan paras kalium seperti kerosakan buah pinggang yang berpunca daripada masalah tertentu seperti asidosis tiub ginjal, iaitu pinggang kronik dan kegagalan buah pinggang akut.

Selain itu, juga akibat kekurangan magnesium, penyakit leukimia, penyakit Sindrom Cushing serta gangguan adrenal lain.

"Potassium juga boleh hilang melalui perut dan usus menerusi muntah, enema atau cecair yang dimasukkan di dalam dubur bagi memudahkan pembuangan air besar, penggunaan julap yang berlebihan, cirit-birit dan selepas pembedahan ileostomi iaitu pembedahan melubangkan abdomen ke usus.

Pemakanan seimbang boleh boleh mengelak penyakit Hipokalemia. - Foto hiasan
Pemakanan seimbang boleh boleh mengelak penyakit Hipokalemia. - Foto hiasan

"Kesan sampingan ubat pula seperti dari pil diuretik, ubat yang digunakan untuk asma atau emfisema iaitu ubat-ubatan agonis beta-adrenergik seperti bronkodilator steroid atau theophylline, aminoglycosides iaitu sejenis antibiotik serta pengambilan produk yang tidak diluluskan seperti ubat kurus," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kesan peralihan potassium yang masuk dan keluar daripada sel hingga boleh mengurangkan kepekatan kalium dalam darah seperti akibat penggunaan insulin dan kerana keadaan metabolik tertentu seperti alkalosis.

Katanya, kekurangan potassium juga boleh berlaku akibat mengurangkan pengambilan makanan atau kekurangan zat makanan seperti anorexia, bulimia, pembedahan bariatrik dan penggunaan alkohol.

Kaitan puasa dan kalium rendah

Mengulas mengenai kaitan puasa dengan kalium rendah dalam badan, Dr Norazinizah berkata, secara umum, apabila berpuasa untuk tempoh yang lebih lama, badan akan mengeluarkan elektrolit seperti kalium dan natrium melalui air kencing.

Selain itu, katanya, jika bersenam atau kekal aktif ketika berpuasa hingga menyebabkan berpeluh, boleh juga menyebabkan kehilangan lebih banyak elektrolit.

"Jika tidak menghidrat dengan sewajarnya boleh mengalami ketidakseimbangan elektrolit dalam badan dengan mudah.

"Selain itu, dengan kurangnya kekerapan pengambilan makanan ketika berpuasa, elektrolit dalam badan mungkin tidak dapat digantikan semula sepenuhnya walaupun makan makanan yang sihat dan minum banyak air.

"Ini bermakna jika berpuasa lebih lama daripada 12 jam boleh menyebabkan kekurangan elektrolit kerana apabila berpuasa kurang akses kepada elektrolit," katanya.

Dr Norazinizah Ahmad Miswan
Dr Norazinizah Ahmad Miswan

Oleh itu katanya, untuk menambah kandungan kalium ketika berpuasa, perlu pastikan badan menerima nutrien yang mencukupi sebelum dan selepas setiap waktu berpuasa.

Katanya, terdapat beberapa jenis makanan terbaik dan mempunyai kalium tinggi untuk menambah tahap elektrolit seperti pisang, anggur, tembikai dan avokado selain sayur-sayuran hijau serta buah kurma.

Penghidap hipokalemia boleh puasa

Bagaimanapun katanya, individu yang mengalami hipokalemia masih boleh berpuasa, tetapi mereka harus mengamalkan atau memastikan pengambilan air yang secukupnya serta memastikan diet lengkap dengan makanan yang tinggi kalium.

Katanya, mereka juga perlu mengelakkan aktiviti riadah berlebihan bagi mengurangkan dehidrasi serta memastikan mengambil ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor.

Dr Norazinizah berkata, hipokalemia boleh dirawat dan rawatan adalah bergantung kepada paras kalium dalam darah sama ada sekadar rendah sedikit atau sangat rendah.

Katanya, bagi pesakit yang paras kaliumnya berkurang secara ringan atau sederhana rendah, iaitu antara 2.5 hingga 3.5 mEq mmol/ L serta tidak mempunyai simptom, hanya perlu dirawat dengan kalium yang diberikan dalam bentuk pil atau cecair.

Rawatan sedemikian lebih sesuai kerana ia mudah dikendalikan, selamat, murah dan mudah diserap dari saluran gastro intestinal atau salur pencernaan.

Namun katanya, jika aritmia jantung atau simptom penting muncul atau jika paras kalium kurang daripada 2.5 mEq/L, kalium secara intervena harus diberikan.

"Dalam keadaan ini, pesakit perlu dimasukkan ke unit kecemasan kerana memasukkan kalium melalui intravena mengambil masa beberapa jam berikutan ia perlu diberikan secara perlahan-lahan untuk mengelakkan masalah jantung yang serius dan mengelakkan iritasi saluran darah di mana intravena diletakkan.

"Bagi mereka yang mempunyai paras kalium yang sangat rendah bersama dengan simptom, kedua-dua kaedah intravena dan oral diperlukan," katanya

Beliau berkata, seseorang itu boleh mengalami kekurangan kalium secara berpanjangan dan simptom berkenaan termasuk kelemahan otot, kesakitan otot kekejangan otot, sembelit, keletihan dan rasa jantung berdebar atau degupan jantung yang tidak teratur.

Justeru katanya, penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berusaha untuk menambahkan kalium dalam badan.

Katanya, jika mendapati paras kalium rendah, elakkan aktiviti fizikal yang berat kerana kehilangan kalium berlaku dengan berpeluh.

"Elakkan mengambil suplemen makanan, suplemen herba, diuretik atau pil pembendung air atau julap hingga menyebabkan simptom kalium yang rendah.

"Jangan berhenti mengambil ubat yang ditetapkan tanpa terlebih dahulu berunding dengan doktor," katanya.

Berita Harian X