Ahad, 26 March 2023 | 9:00am
Mulut kering, berpuasa dan banyak faktor lain punca nafas berbau. - Foto hiasan
Mulut kering, berpuasa dan banyak faktor lain punca nafas berbau. - Foto hiasan

Mulut kering punca nafas berbau

NAFAS atau mulut berbau berpunca daripada penyakit oral seperti mulut kering dan jangkitan di dalam rongga dan gigi.

Lazimnya, pada waktu pagi dan ketika berpuasa mulut akan lebih mudah berbau kerana kerana keadaan mulut kering.

Mulut kering boleh disebabkan oleh pengeluaran air liur yang kurang, membuatkan sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut selepas makan tidak dapat dibersihkan secara neutral dan optimum.

Akhirnya, terdapat peningkatan pengumpulan makanan dan proses penggunaan sisa makanan oleh kuman terdapat di dalam mulut.

Pada masa sama, sejenis rembesan yang dikenali sebagai keton, iaitu bahan buangan daripada penghasilan sumber tenaga yang terhasil oleh hati akibat ketiadaan glukos di dalam badan boleh menyebabkan mulut bau.

Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang berpuasa atau tidak makan untuk satu jangka masa yang lama.

Lebih buruk, jika seseorang itu merokok menyebabkan mulut kering dan tembakau mengandungi sulfur juga boleh menyebabkan mulut berbau.

Tambahan lagi, perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah radang gusi.

Rongga mulut jadi tempat pembiakan kuman

Kajian menunjukkan 90 peratus mulut berbau adalah disebabkan oleh masalah di dalam rongga mulut.

Ini adalah kerana suhu dan struktur di dalam rongga mulut adalah tempat yang kondusif untuk pembiakan kuman.

Lidah bersalut dengan kekotoran penyebab utama kepada mulut berbau kerana permukaan lidah kasar menjadi kawasan ini sesuai untuk kuman berkumpul dan membiak terutama kawasan yang hampir dengan saluran menelan.

Jenis makanan seperti bawang juga antara punca mulut berbau. - Foto hiasan
Jenis makanan seperti bawang juga antara punca mulut berbau. - Foto hiasan

Tambahan pula, lokasi ini sukar diakses oleh prosedur kebersihan mulut yang rutin.

Masalah radang gusi

Masalah keradangan gusi terutama penyakit periodontal menyumbang punca nafas berbau. Keradangan gusi dan ruang yang terbentuk di antara permukaan gigi dan gusi menjadi tempat pengumpulan kuman.

Bukan itu sahaja, kerosakan gigi boleh menyebabkan mulut berbau kerana gigi yang rosak mudah mengumpul sisa makanan dan plak gigi.

Faktor lain turut menyumbang kepada masalah mulut berbau termasuk pulpa gigi terdedah, gigi telah mati dan bernanah, luka sedang sembuh dan pemakaian pendakap gigi.

Semua keadaan ini memudahkan makanan atau plak tersangkut menyebabkan sebatian sulfur dihasilkan oleh kuman.

Tambahan lagi, jangkitan akut akibat pertumbuhan gigi bongsu dan ulser mulut juga boleh menjadi punca kepada mulut berbau.

Ada juga keadaan mulut berbau hanya untuk sementara waktu seperti apabila seseorang mengambil makanan berbau berlebihan seperti bawang putih, petai dan durian.

Sebaliknya, makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayuran dilaporkan dapat mengurangkan bau mulut.

Penyakit hati punca mulut berbau

Selain itu, faktor luaran juga boleh menyebabkan mulut berbau, iaitu disebabkan penyakit hati yang menghasilkan sebatian sulfur seperti dimetil-sulfida.

Malah, kajian menunjukkan penyakit hati seperti kegagalan fungsi hati dan keradangan hati itu salah satu sumber penyebab mulut berbau dan bertambah buruk apabila digabungkan dengan faktor lain seperti penyakit periodontal, mulut kering dan merokok.

Faktor luaran lain menjadi punca kepada mulut berbau adalah rembesan daripada sinus atau hidung akibat jangkitan pada saluran pernafasan.

Penyakit kencing manis juga boleh menyebabkan mulut berbau kerana ia dikaitkan dengan penyakit keradangan gusi.

Panduan elak mulut berbau

Malah, halitosis iaitu keadaan mulut yang berbau busuk dan boleh dikategorikan sama ada subjektif dan objektif halitosis.

Subjektif halitosis adalah mulut berbau yang hanya dapat dikesan oleh individu itu manakala sekiranya bau busuk dapat dikesan oleh orang lain, ia dikategorikan sebagai objektif halitosis.

Kajian menunjukkan mulut berbau dapat memberi kesan negatif terhadap interaksi sosial di dalam masyarakat, menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti kerja sekali gus menyebabkan impak negatif kepada psikososial kepada individu yang mempunyai mulut yang berbau.

Ramai individu menyedari mereka mempunyai masalah ini dan mendapatkan rawatan, namun masih ada sesetengah individu yang tidak menyedari masalah ini sehingga dimaklumkan kepada mereka.

Subjektif halitosis sering berkait rapat dengan masalah psikologi manakala objektif halitosis boleh disebabkan oleh faktor dalaman atau luaran.

Penyebab utama kepada masalah ini adalah kuman atau sebatian sulfur dihasilkan oleh kuman daripada sisa makanan yang berada di dalam mulut seperti hidrogen sulfida dan metil mercaptan.

Bau yang terhasil ini dicirikan seperti bau telur yang busuk.

Bersihkan lidah, guna ubat kumur

Untuk mengelak mulut terus berbau, pastikan amalkan penjagaan makanan baik, buang tabiat merokok dan membersih lidah menggunakan pembersih lidah serta penggunaan ubat kumur, guna ubat gigi soda bikarbonat boleh membantu dalam menyelesaikan masalah mulut berbau.

Jika mulut berbau disebabkan faktor luaran, iaitu bukan berpunca dari masalah di dalam rongga mulut setelah pemeriksaan mulut, pesakit akan dirujuk kepada doktor perubatan untuk

rawatan lanjut.

Secara amnya, walaupun terdapat pelbagai jenis ubat gigi atau ubat kumur yang boleh didapati di pasaran, dapatkan nasihat dan pandangan profesional doktor bertauliah dahulu bagi mengenal pasti punca mulut berbau yang sebenar bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Jumpa pakar pergigian

Oleh itu, semua masalah berkenaan perlu diberi perhatian dan dapatkan rawatan doktor pergigian bagi mengelakkan kesan negatif.

Pemeriksaan yang teliti akan dibuat bagi mengenal pasti punca mulut berbau agar rawatan sewajarnya dapat diberikan.

Sekiranya mulut berbau berpunca daripada faktor dalaman, rawatan seperti cucian, tampalan, rawatan, jangkitan atau nanah pada gigi dan penjagaan kebersihan mulut dapat diberikan.

Berita Harian X