ZAMAN pasca COVID-19 membuka lembaran dan cabaran baharu kepada kehidupan manusia terutama dari segi kualiti tidur.
Menurut Perpustakaan Maklumat Ubat dan Bioteknologi Kebangsaan, mendapati COVID-19 menimbulkan kesan sampingan jangka pendek dan panjang dengan 40 peratus individu mengalami kesukaran tidur ketika pandemik dan 31 peratus menderita akibat gangguan tidur selepas COVID.
Laporan dalam Jurnal Perubatan dan Sains Kesihatan Asia, perangkaan menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia (kesukaran tidur) dan menghadapi satu atau lebih masalah tidur.
Sebanyak 35 peratus rakyat pula dibelenggu gangguan tidur dengan lebih 53 peratus tenaga kerja Malaysia, jumlah tidur minimum tujuh jam sehari manakala sekurang-kurangnya 51 peratus mengalami tekanan berkaitan kerja.
Tinjau selidik dalam talian mengenai kesihatan kerja dijalankan Pusat Perkhidmatan Kesihatan Komuniti Fakulti Sains Kesihatan dan beberapa universiti tempatan, melaporkan pada 2021, sebanyak 54 peratus daripada 11,356 dewasa bekerja tidak cukup tidur.
Faktor waktu tidur kurang daripada tujuh jam sehari antaranya berpunca daripada menjaga anak, gaya hidup, keadaan tidur kurang baik dan isu kesihatan mental seperti kemurungan.
Tidur berkualiti minda jadi tenang
Pakar pemakanan bertauliah, Dr Choo Hao Jian, yang juga doktor yang mengkhusus dalam bidang geriatrik dan perubatan regeneratif, berkata cara mendapatkan tidur berkualiti menerusi adalah menerusi pemakanan seimbang dan akiviti sihat di rumah.
"Tidur berkualiti mampu membantu menenangkan badan dan minda bagi mendapatkan tidur yang nyenyak," katanya ketika forum berkaitan menangani isu tidur yang semakin berleluasa menerusi acara kesihatan tidur serantau, sempena Hari Tidur Sedunia, baru-baru ini.
Tidur yang berkualiti boleh dicapai dengan mengamalkan kitaran sirkadian (suatu ritma dalaman hidupan yang sentiasa berjalan mengikut kitaran 24 jam sehari), di mana melatih badan untuk membiasakan diri dengan rutin yang mengawal kitaran tidur-bangun.
Satu cara untuk mengamalkan ini adalah dengan menutup lampu apabila kita pulang ke rumah selepas bekerja, letakkan semua peranti elektronik supaya badan secara automatik akan tahu bahawa sudah tiba masanya untuk berehat.
Pemakanan dan senaman juga penting untuk memastikan tidur lebih lena.
Justeru, amalkan diet dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran serta makan lebih banyak daging tanpa lemak.
Orang ramai juga harus mengelakkan makanan yang diproses.
Tidur elak hidap kesihatan mental
Sementara itu, pakar psikologi klinikal kesihatan dan pakar perubatan tidur, Dr Ariel B Neikrug, berkata tidur memainkan peranan sangat penting dalam proses penuaan, kesihatan mental dan kesejahteraan umum.
"Tidur juga berperanan dalam proses baik pulih badan dan otak individu," katanya.
Pengasas dan presiden AmLife International Sdn Bhd, Lew Mun Yee, pula menjelaskan pendidikan tidur kini semakin penting memandangkan gangguan tidur boleh mencetus pelbagai masalah kronik termasuk diabetes jenis 2, sakit jantung, kegemukan, kemurungan dan penyakit berkaitan keimunan.
"Dalam jangka panjang, kekurangan tidur boleh menyebabkan penyakit degeneratif.
"Kajian saintifik mendapati tidur ialah cara terbaik untuk menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko jangkitan virus, selain mempercepatkan penuaan.
"Terapi sel stem umpamanya membolehkan lebih ramai orang menjalani terapi dan membuka lembaran baharu dalam hidup lebih bahagia," katanya.