Esok atau lusa kita akan berpuasa sekali gus bermula ibadah itu yang lazimnya mengambil tempoh 14 jam berlapar dan dahaga serta mengelak perkara yang boleh membatalkan puasa.
Dalam situasi itu, ada beberapa golongan yang diberikan kelonggaran daripada kewajipan puasa, antaranya atas faktor kesihatan.
Bagi wanita mengandung dan ibu yang sedang menyusukan anak adalah antara golongan yang dibolehkan untuk tidak berpuasa dan dikehendaki menggantikan puasa pada bulan lain.
Namun begitu, kajian yang dilakukan di sekitar Putrajaya mendapati 95 peratus wanita mengandung dan 90 peratus ibu menyusu berpuasa pada Ramadan tahun lalu.
Malah, sebanyak 22 peratus wanita hamil dan 10 peratus ibu menyusu dapat berpuasa penuh untuk sebulan.
Kajian ini juga mendapati majoriti ibu berkenaan tidak beranggapan bahawa berpuasa akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan mereka dan anak.
Hampir keseluruhan mereka juga memahami hukum syariat bahawa mereka dibolehkan untuk berbuka puasa kerana keletihan semasa mengandung dan menyusukan anak.
Mengulas lanjut, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Shuib Yahaya, berkata kajian dilakukan pasukan mereka itu juga mendapati 40 peratus wanita hamil dan 25 peratus ibu menyusu melaporkan beberapa gejala kepayahan ketika berpuasa.
Katanya, gejala utama adalah keletihan dan lesu dan gelaja lain seperti pening kepala, loya dan sakit perut.
"Dari segi perubatan, wanita hamil dan ibu menyusu yang tidak mempunyai masalah kesihatan lain adalah dibenarkan untuk berpuasa Ramadan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.
Dapatkan nasihat doktor untuk berpuasa
Beliau berkata, berdasarkan kajian dijalankan oleh banyak pihak sebelum ini mendapati tidak terdapat kesan sampingan yang berbahaya dan signifikan terhadap kesihatan ibu dan bayi daripada amalan berpuasa ketika Ramadan.
Mereka yang berpuasa adakah digalakkan untuk mengamalkan makan ketika sahur dengan tetap dan minum banyak air sewaktu malam, iaitu selepas berbuka sehingga sahur.
Selain itu, ibu dan ahli keluarga terutama suami perlu faham bahawa mereka dibolehkan berbuka jika mengalami kesan seperti keletihan dan kelesuan, sakit perut dan pening, terutama jika ia berlaku agak awal, beberapa jam selepas mula berpuasa.
Bagi ibu yang mengalami masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, gastritis, anemia atau perlu mengambil ubat secara berkala pada waktu siang, dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.
"Mereka juga perlulah akur jika dinasihati untuk tidak berpuasa ketika mengandung, bagi menjaga kesihatan diri dan kandungan.
"Faktor usia kandungan memainkan peranan dalam amalan berpuasa. Kajian kami mendapati pada trimester pertama kandungan (tiga bulan pertama) ibu selalunya mengalami gejala yang lebih berbanding ketika trimester kedua dan ketiga.
"Hal ini adalah disebabkan ketika awal kandungan, sebahagian mereka masih mengalami gelaja muntah (morning sickness) dan tidak dapat makan dan minum dengan baik," katanya.
Ibu hamil kurangkan aktiviti berat
Dr Ahmad Shuib berkata, ibu perlu peka dengan tahap kesihatan dan kemampuan sendiri dan tidak perlu memaksa diri untuk berpuasa jika mengalami gelaja yang serius.
Terlupa untuk bersahur atau perlu mengambil ubatan pada siang hari seperti dinasihatkan perawat.
Pastinya terdapat hikmah terhadap kelonggaran yang diberikan oleh Allah terhadap mereka yang dibolehkan berbuka dan menggantikan puasa pada bulan lain.
"Wanita hamil dan ibu menyusu juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti berat dan berada dalam keadaan panas terik terlalu lama bagi mengurangkan risiko kekeringan yang boleh membahayakan.
"Selain tidak berada di luar rumah jika tiada keperluan, mereka juga digalakkan bersahur dan berbuka dengan makanan yang dimasak sendiri.
"Amalan pemakanan sihat dan berkhasiat perlulah diutamakan bagi menjamin kesihatan diri, kandungan serta bayi yang sedang disusui," katanya.
Kawal pergerakan janin
Sebagai langkah pemantauan tambahan, wanita hamil boleh memantau pergerakan janin selepas kandungan berusia 28 minggu dan segera mendapatkan pemeriksaan jika merasakan pergerakan yang kurang.
Bagi ibu menyusu pula, boleh memantau keadaan bayi dan haruslah berbuka puasa jika merasakan susu kurang mengalir dan menyebabkan bayi menjadi lebih kerap menangis.
"Ibu menyusu digalakkan untuk mengepam susu dengan lebih kerap pada waktu malam dan memberikan susu itu pada waktu siang ketika berpuasa pada Ramadan.
"Minum banyak air dan amalkan makanan berkhasiat seperti kurma sebagai usaha menambah pengaliran susu," katanya.
Justeru, beliau berharap wanita hamil dan ibu menyusu dapat melalui Ramadan ketika fasa pasca pandemik kali ini dengan lebih sempurna.
Tingkatkan juga amalan sunat seperti bacaan al-Quran, solat tarawih dan qiam serta kurangkan masa leka bersama peranti, televisyen dan media sosial, kecuali untuk perkara kebaikan.
"Saya berharap Ramadan tahun ini menjadi tempoh terbaik agar kandungan dan bayi yang sihat," katanya.