Sabtu, 18 March 2023 | 11:24am
Pemakanan seimbang dan diet yang betul boleh mengurangkan tahap obesiti. Foto hiasan
Pemakanan seimbang dan diet yang betul boleh mengurangkan tahap obesiti. Foto hiasan

Makan semahunya, tak peduli risiko obesiti

Kepelbagaian budaya dan kecintaan terhadap makanan antara faktor membuatkan rakyat Malaysia berada dalam kelompoknya yang tersendiri.

Namun, daripada pemerhatian terkini menunjukkan obesiti antara isu membimbangkan mengatasi identiti budaya ditonjolkan itu dan menempatkan negara kita di tangga keenam di Asia yang mempunyai rakyat paling gemuk.

Pilihan gaya hidup, faktor genetik, tingkah laku dan kurang kesedaran terhadap kesihatan diri antara penyebab meningkatkan kadar masalah obesiti dalam kalangan masyarakat kita.

Terpanggil untuk mengurangkan masalah kesihatan umum ini daripada terus berleluasa, kerajaan bersama peminat kecergasan dan jenama pusat kecergasan cuba menyerlahkan komitmen dalam memancing perhatian rakyat untuk lebih prihatin menjaga kesihatan diri masing-masing.

Berat badan berlebih berlaku disebabkan ketidakseimbangan antara jumlah kalori diambil dan kalori yang dibakar.- Foto hiasan
Berat badan berlebih berlaku disebabkan ketidakseimbangan antara jumlah kalori diambil dan kalori yang dibakar.- Foto hiasan

Ia dilakukan dengan harapan dapat memberikan inspirasi bagi memastikan lebih ramai menjalani

bentuk gaya hidup sihat.

Pengkelasan obesiti boleh dibuat berdasarkan kiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI).

BMI boleh dikira secara membahagikan berat (kilogram) dengan ketinggian (meter) ganda dua.

BMI = Berat (kilogram)/tinggi (meter) x tinggi (meter).

Lihat tahap obesiti anda

Bagaimana hendak mengetahui sama ada anda obes atau tidak? BMI melebihi 27 sudah dianggap obes (tahap 0). Anda termasuk dalam kategori obesiti tahap 1 jika BMI anda berada dalam julat 30 hingga 34.9 manakala obesiti tahap 2 (35 hingga 39.9) dan obesiti tahap 3 pula merujuk kepada BMI

melebihi 40.

Obesiti tahap 0 bermakna seseorang itu obes, tetapi tiada masalah kesihatan yang disebabkan

kegemukan.

Tekanan darah kandungan lemak dan lain-lain ukuran berada dalam paras normal.

Orang yang berada dalam kategori obesiti tahap 1 pula menunjukkan gejala kesihatan seperti

tekanan darah agak tinggi, enzim hati meningkat dan mengalami kesakitan di sana sini.

Orang yang berada dalam kategori obesiti tahap 2 pula pula mempunyai masalah kesihatan seperti

tekanan darah tinggi, diabetes, apnea tidur, osteoartritis, asid refluks, kemurungan, gangguan

keresahan dan sukar melakukan pelbagai aktiviti harian.

Manakala obesiti tahap 3 pula menandakan kegemukan itu sudah menjejaskan pelbagai fungsi badan seperti berlakunya serangan jantung, komplikasi diabetes, osteoartritis yang teruk dan amat sukar bergerak.

Penentu paling asas terhadap berat badan berlebihan ialah apabila berlaku ketidakseimbangan antara jumlah kalori diambil dan juga kalori yang dibakar.

Tetapi yang nyata kurangnya kesedaran terhadap isu ini diburukkan lagi oleh hakikat bahawa negara kita sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan lazat yang berkalori tinggi seperti char kuey teow, mi goreng, roti canai, nasi lemak dan banyak lagi.

Hidangan ini melebihi jumlah pengambilan

kalori diperlukan badan dalam setiap sajian harian iaitu 2,400 kalori bagi lelaki dan 1,700 kalori bagi wanita.

Tidak dapat dinafikan hidangan ini amat menyelerakan tetapi perlu diketahui bahawa kandungan nutriennya rendah dan boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti jantung, tekanan darah tinggi dan juga diabetes.

Untuk mengurangkan kebimbangan masalah obesiti, amalkan gaya hidup sihat. Paling penting ialah untuk melakukan senaman secara berkala dan berpegang kepada budaya pemakanan seimbang.

Selain itu, antara langkah mudah ke arah kehidupan lebih sihat ialah dengan mengamalkan

pengambilan kalori harian ditetapkan, melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari tiga kali seminggu dan juga memastikan memperoleh tidur yang cukup.

Berita Harian X