HAMPIR semua orang mempunyai masalah tersendiri sehingga sesetengahnya terlalu banyak fikir atau berfikir secara berlebihan berulang kali ('overthinking') termasuk membayangkan akan berlaku sesuatu perkara yang buruk.
Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Management and Science University (MSU), Dr Muhammad Faiz Ramli, mereka yang berfikir berlebihan boleh memudaratkan, iaitu mudah merasa cemas dan sukar tidur lena kerana merenung perkara sama berulang kali sekali gus membuat otak terus aktif.
"Lebih teruk ketika mahu tidur, fikirannya tidak tenang dan akhirnya susah memejamkan mata. Mereka mempunyai masalah ini sukar membuat sesuatu keputusan segera atau jangka masa panjang.
"Jadi, mereka juga sukar menganalisis masalah dihadapi. Akibatnya, proses membuat keputusan akan semakin rumit dan membuang banyak masa," katanya mengulas mengenai Hari Berfikir Sedunia yang disambut setiap 22 Februari.
Cepat cemas dan depresi
Tanda yang sinonim mengenai berfikir secara berlebihan adalah sering menyalahkan diri sendiri, sukar 'move on' keputusan sudah dibuat dan lain-lain.
"Banyak yang keliru menganggap kecenderungan berfikir itu sebagai sikap berhati-hati sebelum membuat keputusan. Jadi, ia akan memberikan impak tidak baik kepada kesihatan dan mengganggu kualiti kehidupan.
"Faktor penyebab ini berlaku masih tidak diketahui secara spesifik. Biasanya individu dalam kategori ini, adalah orang yang sama mengalami masalah psikologi, seperti cepat merasa cemas dengan sesuatu perkara atau depresi.
"Justeru, masalah itu memberi impak buruk, iaitu stres dan depresi. Ini kerana sistem pemikiran kita melalui otak akan menjadi sibuk memikirkan perkara tidak perlu secara berlebihan sehingga menyebabkan tekanan psikologi menjadi lebih besar.
"Akibatnya, sistem saraf pusat dalam tubuh akan menghantar isyarat ke kelenjar adrenalin dan melepaskan hormon stres dalam jumlah yang banyak," katanya.
Gejala berfikir secara berlebihan
Gejala fizikal akibat stres pula mencetuskan simptom seperti sakit kepala, mual, daya tumpuan terganggu, degupan jantung meningkat secara signifikan dan nafas tercungap-cungap.
"Jika stres berterusan berisiko mengalami gangguan mental seperti gangguan kecemasan, depresi dan risiko serangan panik semakin tinggi.
"Ini kerana bagi sesetengah individu yang ada sejarah penyakit mental, fikir berlebihan mengenai perkara remeh boleh mempengaruhi simptom negatif kepada kesihatan.
"Hal ini akan menyulitkan lagi proses perubatan, menurunkan tahap dan kualiti hidup mereka," katanya.
Memetik laporan pakar di laman sesawang Cleveland Clinic, Dr Muhammad Faiz berkata, fikir berlebihan menyebabkan berisiko mendapat penyakit berkaitan jantung dan boleh meningkat secara signifikan serta berpanjangan.
Stres juga boleh mencetuskan tingkah laku kompulsif (kecelaruan) untuk melegakan tekanan.
"Hal ini boleh menyebabkan individu cenderung melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ketagihan alkohol dan menghisap dadah," katanya.
Implikasi berfikir secara berlebihan
Mengenai kesan berfikir secara berlebihan, katanya, hormon kortisol boleh rosak dan membunuh sel-sel otak dalam hippocampus, iaitu komponen utama otak manusia.
"Sebagai contoh, penyelidik di Universiti California mengatakan tekanan kronik menyebabkan masalah mental seperti kegelisahan dan gangguan emosi.
Sama seperti didedahkan pengkaji dari Universiti Sains dan Perubatan Rosalind Franklin, Amerika Syarikat, stres mampu mematikan sel yang baru terbentuk dalam hippocampus.
Hippocampus ialah sebahagian otak yang sangat berkait rapat dengan memori, emosi dan pembelajaran. Ia juga satu dari dua bahagian di mana proses 'neurogenesis' berlaku," katanya.
Ramai mengaitkan masalah mental dengan tragedi buruk memberi kesan kepada kesihatan mental seperti cepat lupa, tidak dapat tidur waktu malam dan peningkatan berat badan.
"Malah, ia juga boleh menyebabkan paras kortisol (hormon stres) dalam badan kekal tinggi, mengurangkan isi padu otak, mengecutkan saiz dan sesetengah kes teruk menyebabkan sel otak mati secara perlahan-lahan mengikut 'time frame' dilalui oleh individu," katanya.
Beberapa kajian juga mendapati, stres mampu mengubah fungsi, struktur otak dan aktivitinya. Otak manusia meliputi neuron dan sel-sel yang dikenali sebagai 'grey matter' dan 'white matter'.
"Grey matter membantu proses berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, manakala 'white matter' membantu menghubungkan maklumat dan isyarat elektrik daripada satu bahagian ke bahagian otak yang lain.
"Terlalu banyak fikir dan stres yang teruk boleh mengakibatkan ketidakseimbangan kepada dua bahan ini yang akhirnya akan menyebabkan fungsi otak terjejas dalam jangka masa panjang. Malah, ia akan mengecutkan dan mematikan sel otak," katanya.
Ganggu sistem pencernaan
Dr Muhammad Faiz berkata, banyak berfikir juga mengakibatkan individu mengalami tekanan hingga boleh mempengaruhi sistem pencernaan serta menyebabkan masalah gastrousus seperti radang usus, sindrom jangkitan usus, gastrik dan sebagainya.
"Dalam sesetengah kes, sistem penghadaman terjejas termasuk kerap membuang air kecil ketika menghadapi masalah dan lain-lain," katanya.
Akibat tingkah laku itu, ia juga membahayakan kesihatan jantung seperti degupan jantung laju, sakit dada, kegelisahan, kemurungan dan sebagainya.
Ini kerana sistem otak akan menghantar isyarat kepada jantung dan menyebabkan degupan jantung tidak stabil atau di luar normal mengakibatkan tahap pernafasan seseorang berubah.
"Jika dibiarkan dalam jangka masa lama akan menyebabkan serangan jantung secara tiba-tiba, susah bernafas dan berpeluh dalam kuantiti sangat banyak.
"Implikasi lain termasuk mengalami masalah kesihatan kulit seperti psoriasis, atopic dermatitis, pruritus, alopecia, areata dan seborrheic dermatitis.
"Ini disebabkan berlakunya keradangan di dalam tubuh, selain sistem kulit yang saling berhubungan dengan perubahan hormon secara mendadak ," katanya.