Rabu, 8 Februari 2023 | 3:46pm
Ali Karimi (tengah) ketika sidang media selepas majlis sambutan Ulang Tahun Ke-25 Hospital Islam Az-Zahrah.
Ali Karimi (tengah) ketika sidang media selepas majlis sambutan Ulang Tahun Ke-25 Hospital Islam Az-Zahrah.

Hospital Islam Az-Zahrah rancang buka cawangan baharu

BANGI: Hospital Islam Az-Zahrah merancang membuka 12 cawangan baharu hospital milik syarikatnya di seluruh negara menjelang 2035.

Timbalan Pengurus Besarnya, Ali Karimi Abdul Rahman, berkata itu dalam tempoh lima tahun ini, pihaknya akan membuka sekurang-kurangnya lima cawangan.

Katanya, ketika ini, cawangan kedua hospital berkonsep Hospital Mesra Ibadah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu, kini sudah 80 peratus siap dan dijangka dibuka tahun ini.

Satu unit khas turut ditubuhkan bagi melatih bakat muda dan bakat baharu dalam usaha melebarkan perkhidmatan hospital berkenaan.

"Kami percaya model perniagaan hospital ini yang berkonsepkan Hospital Mesra Ibadah sudah matang untuk dikembangkan.

"Malah, kami akan terus kekal menawarkan kos rawatan yang berpatutan kepada pesakit iaitu kira-kira 30 peratus lebih murah berbanding hospital swasta lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis sambutan Ulang Tahun Ke-25 hospital berkenaan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ali Karimi berkata, pemilihan Cheras itu berikutan hasil kajian yang dilakukan, kawasan itu masih memerlukan hospital walaupun sudah ada hospital swasta di situ.

Malah katanya, hospital sedia ada di situ juga semakin padat berikutan penambahan penduduk yang semakin meningkat.

"Jadi dengan adanya di Cheras nanti, ia akan memberikan lebih pilihan kepada penduduk tanpa mengira bangsa dan agama.

"Malah ketika ini, terdapat kira-kira 20 peratus pesakit terdiri daripada mereka yang bukan Islam," katanya.

Katanya, selepas ini lokasi cawangan hospital itu adalah di Ayer Keroh, Melaka; Shah Alam, Selangor, Alor Setar, Kedah dan Kuantan, Pahang.

Ketika ini, pihaknya menyediakan perkhidmatan perbidanan, sakit puan, pesakit luar dan perkhidmatan multidisiplin dengan harga berpatutan dan kompetitif bagi khidmat hospital swasta.

Berita Harian X