Ahad, 28 Ogos 2022 | 11:18am
Hampir 50 peratus wanita tidak tahu mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami gejala penyakit itu. - Foto hiasan
Hampir 50 peratus wanita tidak tahu mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami gejala penyakit itu. - Foto hiasan

Fibroid besar ganggu bayi

FIBROID atau nama lainnya 'Leiomyoma' atau 'Myoma', iaitu sejenis ketumbuhan biasa yang terbentuk daripada dinding atau otot rahim (uterus) antara simptom yang biasa berlaku dalam kalangan wanita.

Lazimnya berlaku ketika mereka berada dalam lingkungan umur subur (reproduktif) disebabkan hormon estrogen berlebihan.

Bagaimanapun, hampir 50 peratus wanita tidak tahu mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami gejala atau tanda menderita penyakit itu.

Hanya 20 peratus mungkin mengalami gejala dihadapi itu, tetapi ia bergantung pada saiz, lokasi dan bilangan fibroid.

Laporan menunjukkan wanita terutama berusia lingkungan 30 tahun mengalami ketumbuhan fibroid yang tidak membawa kemudaratan kepada kanser dan boleh dirawat dengan konsultasi pakar dalam bidang itu.

Ramai bimbang fibroid boleh mengundang kepada kanser dan adakah mereka mampu mendapatkan zuriat?

Fibroid bukan kanser

Mengulas lanjut, Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Hospital Az-Zahrah, Bangi, Dr Noraini Nor, berkata fibroid adalah ketumbuhan benign (bukan kanser) yang sering terjadi pada wanita pada usia reproduktif.

Katanya, dianggarkan 20 daripada 100 wanita pada usia reproduktif mengalami fibroid.

"Apa yang perlu diambil tahu oleh wanita adalah fibroid bukanlah kanser seperti yang digambarkan pesakit.

"Pesakit fibroid boleh dirawat melalui pembedahan (melihat pada jenis dan lokasi fibroid) atau tanpa pembedahan," katanya.

Jelasnya, ada pesakit beranggapan fibroid akan membawa kepada kanser, perlu dibedah dan membuang rahim serta-merta adalah tidak tepat sama sekali.

Beliau berkata, ketumbuhan berasal daripada otot pada dinding rahim dengan kedudukan yang pelbagai.

"Antaranya adalah pada permukaan luar rahim (subserosal), di dalam rahim (intramural) atau di permukaan dalam rahim (submucosal).

"Kedudukan fibroid, saiz dan bilangannya akan menentukan gejala fibroid.

"Punca sebenar fibroid tidak dapat dikenal pasti secara tepat. Namun, kemungkinan terdapat faktor genetik dan persekitaran mempengaruhi seperti hormon estrogen berlebihan," katanya.

Dr Noraini Nor
Dr Noraini Nor

Masalah hormon tak stabil

Dr Noraini berkata, ada kemungkinan wanita menjangkau umur 30 hingga 40-an mula dilanda dengan masalah hormon yang tidak stabil.

Ini mendorong ketumbuhan itu mula dikesan pada umur berkenaan.

Katanya, perkara perlu diketahui terutama wanita adalah fibroid boleh dijumpai atau disedari secara kebetulan.

"Ini termasuk mereka yang mengalami masalah seperti pendarahan yang panjang atau banyak waktu haid. Ia tidak mengganggu pusingan, tetapi menjejaskan proses pendarahan haid.

"Simptom lain adalah tekanan yang boleh berlaku kepada organ seperti pundi kencing, saluran uretra dan usus.

"Namun, terdapat juga pesakit yang datang tanpa simptom pendarahan yang panjang atau gejala lain sebaliknya saiz abdomen membesar atau membengkak seperti usia kandungan empat bulan," katanya.

Boleh hamil meskipun ada fibroid

Beliau berkata, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan berusia lingkungan 40-an, sudah berkahwin selama 20 tahun dan tidak mempunyai anak hanya mengalami bengkak di bahagian abdomen seakan usia kandungan 35 minggu.

Pesakit itu tidak mengetahui selama ini pesakit mempunyai fibroid yang menyebabkan beberapa simptom seperti abdomen membengkak seterusnya menyebabkan kesukaran untuk hamil.

"Ada ketikanya, walaupun fibroid banyak dan saiznya kecil, kita tak perlu berbuat apa-apa. Pembedahan hanya apabila apabila simptom atau gejala pendarahan, sukar dapat anak, berulang kali gugur atau terlalu besar.

"Kita anggap lebih lima sentimeter (sm) itu besar. Tapi kalau, lebih lima sm, tidak menyebabkan apa-apa masalah atau gejala kita boleh diamkan.

"Lazimnya, apabila putus haid dan hormon estrogen tidak lagi aktif, fibroid itu akan mengecut," katanya.

Fibroid juga sering dikaitkan dengan wanita hamil sama ada mempunyai gejala atau diketahui secara tanpa sedar sewaktu kehamilan.

Dr Noraini berkata, kebanyakan pesakit dikatakan boleh mengandung secara seperti biasa, malah tidak memerlukan bantuan reproduksi.

"Jika wanita mempunyai fibroid, kehamilannya perlu dipantau kerana dijangka satu pertiga daripada fibroid ini akan membesar.

"Ini disebabkan oleh hormon kehamilan yang tidak boleh menampung bekalan darah ke uterus dan menyebabkan degenerasi merah atau berlakunya kematian sel dalam fibroid yang mendorong kesakitan," katanya.

Kesan kepada bayi

Beliau berkata, fibroid yang besar boleh mengganggu kedudukan bayi, menyebabkannya kedudukan bayi dalam kandungan songsang atau melintang serta perlu dilahirkan secara pembedahan kerana boleh mengganggu tumbesaran bayi menyebabkan bayi menjadi kecil atau kerencatan pertumbuhan intrauterin.

Ditanya sama ada ibu hamil mempunyai pilihan untuk bersalin secara normal dalam situasi fibroid berada pada rahim, beliau berkata, ia bergantung pada kedudukan bayi, ketumbuhan dan saiz ketumbuhan itu sendiri.

"Ada pesakit cukup risau untuk bersalin secara pembedahan (caesarean section atau czer).

"Secara umum, jika saiz dan lokasi fibroid tidak menghalang serviks atau dilihat tidak menghalang keupayaan bayi untuk bergerak, peluang untuk bersalin normal adalah besar," katanya yang menggalakkan wanita mempunyai gejala fibroid dapatkan rawatan segera.

Info: Mengenai fibroid

  • Ketumbuhan tidak normal berkembang di dalam atau pada rahim wanita.
  • Simpton fibroid

  • Haid tak teratur atau berpanjangan
  • Sakit perut
  • Sakit ketika hubungan kelamin
  • Perut membuncit
  • Pendarahan abnormal
  • Berita Harian X