Ahad, 14 Ogos 2022 | 11:42am
Dunia kini sedang berdepan dengan strain COVID-19 yang baharu, iaitu Deltacron menggabungkan varian Delta dan Omicron. - Foto hiasan
Dunia kini sedang berdepan dengan strain COVID-19 yang baharu, iaitu Deltacron menggabungkan varian Delta dan Omicron. - Foto hiasan

COVID-19 masih berleluasa

PANDEMIK COVID-19 masih belum berakhir. Lebih membimbangkan, sekiranya tidak dibendung dan dikawal secara berterusan ia mampu untuk terus berada di persekitaran manusia bagi tempoh lama.

Virus ini kebanyakannya menular antara individu melalui titisan pernafasan atau bawaan udara daripada batuk atau bersin. Ia paling mudah berjangkit apabila seseorang yang bergejala berada berhampiran dengan individu sihat.

Justeru, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mohd Ihsani Mahmood, mengingatkan orang ramai perlu sentiasa berwaspada.

Katanya, dunia kini sedang berdepan dengan strain COVID-19 yang baharu, iaitu Deltacron menggabungkan varian Delta dan Omicron dan ditemukan di Cyprus.

Varian pada virus terjadi apabila mengalami perubahan dikenali sebagai mutasi kepada struktur genetik virus. Kajian menunjukkan virus RNA, contohnya Coronavirus dapat mengalami evolusi dan berubah dalam satu jangka masa.

Vaksinasi termasuk dos penggalak masih berkesan kurangkan jangkitan COVID-19. - Foto hiasan
Vaksinasi termasuk dos penggalak masih berkesan kurangkan jangkitan COVID-19. - Foto hiasan

Dr Mohd Ihsani berkata, sifat virus RNA seperti Coronavirus untuk bermutasi dan berubah secara beransur-ansur.

"Semua virus RNA bermutasi dari masa ke masa, malahan varian baharu yang terhasil boleh memberi kesan sampingan seperti varian dan subvariant sebelumnya.

"Namun, masih tidak dapat dipastikan, sama ada individu yang dijangkiti COVID-19 berulang kali boleh mendapat kesan sampingan yang lebih teruk.

"Itulah sebabnya disyorkan agar mendapatkan vaksin bagi mengoptimumkan perlindungan. Kita semua tahu vaksinasi termasuk dos penggalak masih berkesan dalam mengurangkan keterukan jangkitan COVID-19," katanya.

Ambil langkah berwaspada

Menurut Dr Mohd Ihsani, negara ketika ini belum berada di fasa endemik, sebaliknya masih di peringkat peralihan pandemik ke endemik.

"Tempoh peralihan ini waktu sangat penting bagi melihat sejauh mana tahap perlindungan kendiri dan kesedaran seseorang terhadap pencegahan COVID-19," katanya kepada BH.

"Ramai beranggapan COVID-19 muncul semula, hakikatnya gelombang terdahulu masih belum berakhir. Pelbagai faktor yang menyumbang kepada penularan jangkitan ini kerana SARS-CoV2 sentiasa aktif di persekitaran, malahan sentiasa bermutasi dan menghasilkan menjana varian baharu," katanya.

Dr Mohd Ihsani Mahmood.
Dr Mohd Ihsani Mahmood.

Bagaimanapun katanya, peningkatan semula kes boleh disebabkan tahap kesedaran masyarakat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang semakin berkurangan, seiring dengan kelonggarannya.

"Kita jangan leka, sentiasa ambil langkah pencegahan terutama memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal apabila berada di persekitaran ramai,"

"Kalau kita lihat sekarang, di kedai makan, di pusat beli-belah...penjarakan fizikal sudah tidak lagi diamalkan, malah cecair pembasmi kuman pun sudah jarang ditemui dan digunakan," katanya.

Dos penggalak kurangkan jangkitan

Mengenai suntikan dos penggalak, Dr Mohd Ihsani berkata ia membantu bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan lebih teruk terutama golongan berisiko tinggi jangkitan.

Vaksinasi lebih kepada konsep pencegahan, walaupun ia tidak dapat mengelakkan seseorang daripada terkena jangkitan, namun mampu mengurangkan keterukan jangkitan.

"Sekiranya seseorang tidak menerima suntikan vaksin, kemungkinan mendapat jangkitan lebih teruk sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan dan pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekali gus boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata, kadar mortaliti COVID-19 dalam kalangan individu tidak menerima suntikan vaksin lebih tinggi berbanding penerima lengkap vaksin, malah mengurangkan keterukan jangkitan.

Tambahnya, imuniti kelompok mampu untuk menjadi benteng kepada golongan berisiko tinggi.

"Sekiranya majoriti mengambil vaksin, sekurang-kurangnya kelompok kecil tidak divaksin atas sebab kesihatan akan dilindungi daripada mendapat jangkitan.

"Vaksin dan dos penggalak sememangnya sangat membantu dalam memberi perlindungan daripada mendapat jangkitan yang teruk dan pada masa yang sama dapat melindungi kumpulan berisiko," katanya.

Hilang tempoh imuniti

Bagaimanapun, katanya, imuniti vaksin akan berkurang dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menambah perlindungan dalam badan dengan pengambilan dos penggalak.

"Kita juga perlu lihat kepada faktor risiko dedahan kepada jangkitan, jika rutin kita terdedah dengan persekitaran yang boleh menyebabkan jangkitan, justeru, bagus ambil.

"Saya berpendapat sebaiknya dos penggalak diambil agar perlindungan diri terhadap jangkitan COVID-19 dapat ditingkatkan," katanya.

Membidas kritikan peningkatan kes COVID-19 disebabkan keputusan kerajaan melonggarkan SOP, Dr Mohd Ihsani, berkata perkara itu dilakukan kerana kerajaan mendapati situasi berada dalam keadaan terkawal dan baik.

Katanya, keputusan melonggarkan SOP disebabkan pemerhatian dan kajian dijalankan mendapati masyarakat sudah mempunyai tahap kesedaran sangat tinggi untuk mencegah dan melindungi diri daripada mendapat jangkitan.

"Kalau berlaku juga jangkitan, kita tengok balik, di mana faktor signifikan yang boleh menyebabkan penularan itu.

"Adakah disebabkan kelekaan atau kecuaian individu itu sendiri dalam mempraktikkan SOP…walaupun dah longgar, kita dinasihatkan memakai pelitup muka," katanya.

Mungkinkah COVID-19 akan hilang sepenuhnya? Dr Mohd Ihsani berkata, virus itu akan sentiasa ada.

"Kalau nak habis pun lambat, mungkin akan mengambil tempoh beberapa tahun. Mengambil contoh kes kusta, polio, walaupun sudah mencapai tahap eliminasi, namun masih ada kes dilaporkan," katanya.

Walaupun COVID-19 sudah mula menurun, jika virus itu tidak dikawal dengan ia akan merebak semula.

"Oleh itu, kombinasi vaksin, dos penggalak, penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kebersihan diri cara terbaik menghindarkan kita daripada jangkitan," katanya.

Berita Harian X