Jumaat, 5 Ogos 2022 | 11:10am
Demensia menyebabkan emosi dan perubahan watak seseorang. - Gambar hiasan
Demensia menyebabkan emosi dan perubahan watak seseorang. - Gambar hiasan

Elak nyanyuk sebelum waktu

Nyanyuk atau demensia sering kali dikaitkan dengan golongan warga emas dan menjadi lumrah, di mana jika umur meningkat ke usia lanjut mungkin ada kalangan mereka yang mendapat penyakit itu.

Namun, tidak semua orang lanjut usia akan menjadi nyanyuk meskipun sudah melepasi usia 90 tahun masih mampu bergerak cergas dan berfikiran cerdas serta contohnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini memimpin negara.

Istilah nyanyuk sendiri membawa persepsi dan tanggapan negatif daripada masyarakat. Ramai dalam kalangan tidak tahu risiko menjadi nyanyuk dan bagaimana untuk kita mencegahnya.

Perkara ini penting kerana buat masa ini, rawatan utama untuk demensia adalah melalui pencegahan dan pengesanan pada peringkat awal supaya tidak termasuk dalam kelompok insan nyanyuk.

Umum mengetahui nyanyuk dikaitkan dengan usia lanjut dan faktor keturunan atau genetik. Bilangan warga emas dianggarkan menghidap demensia di negara ini dijangka mencecah seramai 590,000, menjelang 2050.

Antara faktor lain menyumbang demensia dan ia tidak diketahui ramai adalah penyakit kronik yang berkait dengan amalan cara hidup kurang sihat seperti kegemukan, hipertensi, kencing manis, tahap kolesterol tinggi, merokok dan pengambilan alkohol.

Faktor risiko itu juga boleh menyebabkan seseorang mengalami strok atau angin ahmar yang secara langsung boleh mengakibatkan demensia tidak kira pada usia lanjut atau ketika umur muda.

Amalkan gaya hidup sihat

Ramai yang mendapat rawatan penyakit kronik di klinik atau hospital lebih menyedari mengenai komplikasi kardiovaskular penyakit berkenaan seperti strok dan penyakit jantung, namun mereka tidak sedar mengenai kaitannya penyakit terbabit adalah demensia.

Bilangan warga emas dianggarkan menghidap nyanyuk di negara ini dijangka seramai 590,000, menjelang 2050. - Gambar hiasan
Bilangan warga emas dianggarkan menghidap nyanyuk di negara ini dijangka seramai 590,000, menjelang 2050. - Gambar hiasan

Mengikut kajian kira-kira 40 peratus kes nyanyuk boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pengawalan penyakit kronik di atas.

Kajian dijalankan dalam kalangan warga emas yang mendapat rawatan untuk penyakit kronik di Klinik Primer PPUKM, tahun lalu mendapati kesedaran mengenai demensia masih rendah walaupun mereka mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit itu.

Majoriti mereka kurang peka mengenai simptom nyanyuk dan tidak pernah berbincang dengan doktor yang merawat mengenai gejala dan tanda awalnya.

Mereka beranggapan demensia lumrah dihadapi apabila meningkat pada usia lanjut dan mungkin tidak perlu dilaporkan kepada doktor.

Ramai simpan masalah nyanyuk

Demensia juga membawa stigma negatif dalam masyarakat membuatkan seorang lebih cenderung menyembunyikan masalah dialaminya kepada umum.

Ini mengakibatkan kadar pengesanan atau diagnosis kepada penyakit demensia adalah tidak tinggi dan hanya dikenal pasti pada tahap lewat, di mana sudah menyebabkan kemudaratan dan komplikasi pada individu mengalaminya.

Contohnya, kemudaratan sering kali dilaporkan seperti kes warga emas yang sesat dan hilang dari rumah atau memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Pengesanan awal penyakit ini, sebaliknya memberikan implikasi positif kepada pesakit dan penjaga atau ahli keluarga mereka. Kesedaran awal mengenai masalah berhubung kait dengan nyanyuk memberikan peluang kepada pesakit untuk:

● Memilih dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi mencegah serta melambatkan proses komplikasi demensia daripada menjadi teruk.

● Mendapatkan rawatan perubatan dan khidmat nasihat kesihatan daripada doktor dan pengamal perubatan yang lain mengenai gejala demensia dan komplikasinya.

● Membuat perancangan awal mengenai penjagaan kesihatan mereka ('advanced directives') contohnya 'keputusan untuk ditidurkan', pendermaan organ sebagai contoh, dan urusan wasiat atau harta pusaka, kebolehan memandu kenderaan secara selamat misalnya.

● Mengenal pasti kumpulan sokongan ahli keluarga dan khidmat swasta yang dapat membantu dalam penjagaan dan aktiviti harian bila diperlukan.

● Perbincangan dengan ahli keluarga terdekat amat penting untuk mengelakkan konflik keluarga jika status pesakit tidak diketahui mengakibatkan kesahihan keputusan diambil oleh pesakit.

Gejala nyanyuk atau demensia

Gejala atau tanda demensia bukan hanya membabitkan masalah ingatan dan pemikiran di mana mereka akan mengulangi pertanyaan soalan sama, lupa temujanji atau nama kawan dan ahli keluarga.

Ia juga boleh mengakibatkan seorang mempunyai masalah menumpukan perhatian dan menyelesaikan sesuatu pekerjaan mengambil masa lama daripada kebiasaan.

Demensia boleh menyebabkan masalah emosi dan perubahan kepada watak seseorang. Individu mengalami pada peringkat akhir juga boleh bertindak agresif, menimbulkan konflik, pergaduhan kepada keluarga dan penjaga terdekat.

Perkara ini dielakkan dan ditangani dengan lebih baik jika kesedaran mengenai gejala demensia ini dapat dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat terutama individu yang ada risiko kepada demensia.

Mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya digalakkan melaporkan gejala demensia pada peringkat awal kepada doktor ketika menerima rawatan agar dapat mengawal risiko penyakit itu dengan mengambil langkah tertentu dan menanganinya pada peringkat awal.

Info:

Mengenai nyanyuk

* Berkaitan kemerosotan fungsi kognitif otak

Tanda nyanyuk

* Sukar menerima perubahan seperti jadual harian atau persekitaran.

* Ingatan jangka pendek berkurang.

* Masih boleh ingat peristiwa berlaku 15 tahun lalu

* Sukar mencari perkataan ketika bercakap

* Lakukan perbuatan berulang.

* Tanya soalan dan cerita sama berulang kali

* Hilang deria arah.

* Tempat biasa dikunjungi dirasakan asing

* Sukar memahami cerita

* Murung, cepat marah dan kecewa

* Hilang minat pada hobi tertentu. Kadangkala seperti tiada perasaan. Pesakit juga hilang minat melakukan hobi digemari

* Keliru mengingati orang dikenali

Berita Harian X