Ahad, 17 Julai 2022 | 11:41am

Sakit belakang berpanjangan petanda kanser buah pinggang

SAKIT pinggang berlanjutan sehingga lebih sebulan tidak boleh lagi dianggap sakit biasa kerana ia adalah antara simptom kanser buah pinggang.

Ia bukan kanser lazim di negara ini dan jika gagal dikesan awal sel kanser boleh merebak ke seluruh anggota badan serta boleh menyebabkan maut.

Namun, dengan teknologi terkini dan pelbagai jenis rawatan mampu menyembuhkan penyakit itu sepenuhnya bergantung kepada tahap kanser.

Pakar Perunding Kanan Onkologi dan Radioterapi (Kanser) Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin, berkata buah pinggang adalah organ berada di bahagian belakang perut untuk menapis bahan toksin dalam badan.

Sel-sel dalam organ berkenaan boleh tumbuh di luar kawalan seterusnya membentuk kanser terutama di bahagian saluran kecil kencing.

"Punca utama kanser masih tidak diketahui kerana kebanyakan pesakit hanya sedar menghidap kanser selepas kebetulan menjalani ujian saringan.

Sel dalam organ boleh tumbuh di luar kawalan dan membentuk kanser terutama di bahagian saluran kecil kencing.
Sel dalam organ boleh tumbuh di luar kawalan dan membentuk kanser terutama di bahagian saluran kecil kencing.

"Bagaimanapun, terdapat pelbagai simptom lain, selain sakit pinggang berlarutan antaranya kencing berdarah, keletihan berpanjangan dan demam," katanya.

Cegah dengan buat pemeriksaan awal

Akuinya, kanser buah pinggang kurang dikesan di peringkat awal kerana gejalanya agak lazim seperti kanser atau penyakit lain.

Justeru, jika ada gejala itu atau rasakan ada tidak kena pada organ perlu menjalani ujian saringan, imbasan atau ultrasound.

Katanya, punca kanser merebak adalah disebabkan kegagalan mendapatkan pengesanan lebih awal.

"Mencegah lebih baik daripada mengubati, tetapi apabila membabitkan kanser, pengesanan awal lebih baik kerana dapat membantu penyembuhan.

"Dalam keadaan sekarang, sesiapa sahaja boleh mendapat kanser. Dulu hanya berusia lebih 60 tahun, kini golongan berusia 30 sehingga 40 tahun juga mendapat kanser ini," katanya

Dr Aminudin menegaskan, kanser buah pinggang boleh berlaku disebabkan keadaan persekitaran, pemakanan tidak sihat dan kerana gagal amalkan penjagaan kesihatan seperti tidak bersenam.

Faktor lain termasuk usia, merokok, obesiti, tekanan darah tinggi, sejarah keluarga, faktor genetik serta dialisis untuk tempoh yang panjang dan pengambilan ubat Paracetamol berlebihan.

"Jika ada gejala seperti kencing berdarah, jumpa pakar urologi untuk pemeriksaan terperinci termasuk buah pinggang sehingga pundi kencing.

"Pemeriksaan lain seperti ujian darah, imbasan, ultrasound, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) dan terkini PET CT Scan.

"Apabila ujian menemui ketumbuhan, biopsi mungkin dilakukan untuk mengambil sampel sebelum mengesyorkan sebarang rawatan," katanya.

Rawatan sesuai rawat kanser

Dr Aminudin berkata, jika ketumbuhan bersaiz kecil, iaitu masih di tahap satu hingga tiga, pembedahan buah pinggang separa boleh dilakukan dengan membuang ketumbuhan bersama separa buah pinggang terbabit.

Sakit pinggang berlanjutan sehingga lebih sebulan jangan ambil mudah kerana ia petanda barah. - Gambar hiasan.
Sakit pinggang berlanjutan sehingga lebih sebulan jangan ambil mudah kerana ia petanda barah. - Gambar hiasan.

Saiz buah pinggang yang perlu dibuang bergantung kepada saiz ketumbuhan itu sendiri dan baki buah pinggang yang tinggal masih dapat berfungsi seperti biasa.

"Bagi ketumbuhan yang sudah di peringkat empat dan sudah merebak, rawatan pembedahan tidak lagi berkesan dan ketika ini pesakit akan dirujuk kepada pakar onkologi untuk rawatan perubatan serta radioterapi.

"Sebelum ini, jika sudah berada di tahap ini, pesakit tiada pilihan selain akur dengan tempoh jangka hayat antara enam bulan sehingga setahun kerana rawatan kemoterapi sudah tidak berkesan," katanya.

Dengan teknologi terkini dan kajian mendalam, pesakit di tahap empat masih boleh sembuh dengan rawatan ubat dikenali sebagai terapi target, iaitu penggunaan ubat bagi menghentikan penyebaran sel kanser.

Ubat itu dalam bentuk pil dan suntikan mampu membantu menghentikan dan mematikan sel kanser buah pinggang.

"Ada banyak jenis ubat berkesan untuk rawatan jenis terapi target bagi memastikan keberkesanannya," katanya.

Elakkan guna kaedah rawatan alternatif

Ada rawatan terkini, iaitu immunotherapy iaitu suntikan yang mampu membunuh sel kanser menerusi sistem imun dalam badan.

"Stereotactic Body Radiation Therapy (SBRT) pula, membantu menyembuhkan dengan mematikan sel kanser pada bahagian tertentu menggunakan sinar X," katanya.

Pesakit di tahap satu hingga tiga boleh bebas daripada kanser selepas menjalani rawatan, pembedahan buah pinggang. Untuk pesakit di tahap empat, rawatan perubatan berterusan dan radioterapi, kanser boleh dikawal selama yang mungkin.

Ada pesakit selepas tahu hidap kanser mereka enggan menjalani rawatan di hospital kerana mahu guna alternatif banyak dipromosikan termasuk di media sosial.

"Selepas kanser merebak dan semakin teruk, mereka akan kembali ke hospital mendapatkan rawatan.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. Kira-kira 30 peratus pesakit kanser dikesan gagal meneruskan rawatan di hospital kerana disyaki mendapatkan rawatan alternatif.

"Kurang kesedaran menyebabkan pesakit yang masih boleh dirawat mungkin gagal sembuh," katanya.

Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin.
Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin.

Berdasarkan pengalamannya, pada 2018 ada pesakitnya berusia awal 50-an yang disahkan menghidap kanser buah pinggang di tahap empat sudah merebak sehingga ke paru-paru, tulang belakang dan otak.

Dengan pelbagai rawatan, kini pesakit dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Sebaik disahkan mendapat kanser, jalani rawatan terapi target dan kini masih meneruskan rawatan secara kombinasi dengan immunotherapy.

"Pesakit itu turut menjalani Stereotactic Radiosurgery (SRS) untuk kanser buah pinggang yang merebak ke otak dan SBRT untuk kanser di buah pinggang kanan, tulang belakang dan paru-paru," katanya.

Kini selepas hampir empat tahun walaupun masih menjalani rawatan berterusan namun keadaan kanser terkawal dan sudah hampir pulih sepenuhnya

Justeru katanya, penjagaan kesihatan secara umum perlu diamalkan termasuk memastikan mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam dan makan makanan seimbang dan berkhasiat.

Makan ubat seperti ubat tahan sakit secara berlebihan atau untuk jangka masa panjang secara berlebihan tidak baik untuk kesihatan buah pinggang.

"Oleh itu, saya amat berharap orang ramai jalani ujian saringan secara berkala bagi mengesan lebih awal penyakit termasuk kanser buah pinggang sukar dikesan," katanya.

Berita Harian X